Thursday, 8 September 2022

MY BEST FRIEND'S BROTHER- BAB 1

 



KAWASAKI Ninja H2R meluncur laju membelah highway utara-selatan menghala ke arah Seremban. Si penunggang selamba sahaja memulas throttle. Makin laju motor itu, makin seronok dirasakannya. Manakala si pembonceng di belakang rasa macam nak putus nyawa!

"Abang! Slow lah sikit!" Jerit Hana di belakang Faris. Dia seakan mahu terbang ke belakang dek kerana angin kuat menerpa ke arahnya. Mujur dia memeluk erat tubuh Faris. Sementelah dia terlalu gayat bila Faris selamba saja mencilok-cilok di celah-celah kereta yang turut laju di atas lebuh raya itu.

"Hana bagitahu mommy abang bawa laju atas highway! Ini bukan litar sepang!" jerit Hana lagi bila Faris buat pekak aje dengan tegurannya tadi.

Di sebalik helmet yang menutup wajah, Faris berdecet sebal. Mendengus dia mendengar ugutan si adik. Lantas, motor yang memecut tadi kian diperlahankan.

Hana menarik nafas lega. Tersandar lemah dia di belakang tubuh si abang. Penat tahu tak naik motor dengan Faris yang suka berlumba itu. Nak luruh jantung dibuatnya. Tidak sampai satu jam, mereka berdua yang dari KL ni dah selamat sampai di Seremban. Tengoklah betapa lajunya Faris memandu.

Sebaik sahaja motor Faris berhenti di depan sebuah rumah banglo, Hana terus melompat turun sambil membuka helmet. Menjeling tajam dia bila Faris tayang muka bersalah melihat rambut dia yang dah serabai seperti sarang burung!

"Sorry... meh abang betulkan." Faris tersengih-sengih seraya menarik helmet di kepala si adik. Kesian bila rambut Hana yang tadinya lurus cantik kini dah berselirat.

Nak tergelak pun ada tapi ditahankan saja takut Hana yang manja itu merajuk dengannya.

"Abang la ni! Haish!" dengus Hana sebal. Ditampar-tampar lengan Faris melepas geram.

Faris tertawa kuat.

"Hana campak helmet ni karang!" Helmet di tangan Faris dirampas Hana.

"Princess.. helmet baru tu! Limited edition lagi tu." Menggelabah lelaki itu mahu menggapai helmet kesayangan dia dari tangan Hana.

Hana senyum sinis. Dikelek helmet jenama Arai itu dipinggang. Puas hati bila Faris seperti ibu kehilangan anak. Sayang sangat kat helmet dia.

"Pergh motor baru!" Sapa seorang lelaki sebaik sahaja muncul dari dalam rumah.

Faris dan Hana menoleh ke kanan. Tersengih mereka berdua melihat Qaiser yang sedang melangkah ke arah mereka.

"Cun tak bro?" Kening Faris terangkat tinggi. Bangga menayang motor baru berkuasa tinggi miliknya itu.

Jemari Qaiser menyentuh bahagian hadapan motor itu.

"Seksi!" ucapnya dengan senyuman nakal. Motor berwarna hitam itu mungkin nampak biasa saja di pandangan mata orang lain. Tetapi bagi peminat motor begitu, setiap lekuk dan reka menjadi igauan siang dan malam.

"Ehem!" Dehem Hana mahu menarik perhatian dua jejaka itu. Dia dah macam halimunan pula di situ. Tak habis-habis dengan motor!

Qaiser dan Faris tersengih.

"Hai Hana..." Sapa Qaiser lembut. Redup renungan mata dia melihat raut ayu Hana.

"Hai Abang Qaiser." Sahut Hana dengan muka tersipu-sipu.

Faris tercebik. Geli hati melihat adik dan kawan baiknya itu bermain mata.

"Ehem!"

"Hana masuk dulu. Nak jumpa Aunty Dhia." Sebelum Faris sempat mengenakan dia, laju Hana meminta diri ke dalam rumah. Bukan boleh percaya sangat dengan Faris yang suka mengusik itu. Nanti dia juga yang segan bila berhadapan dengan Qaiser.

"Mama ada dekat dapur." Laung Qaiser. Dia tahu kedatangan Hana ke situ kerana mahu belajar memasak dengan ibunya. Memang setiap kali cuti sekolah Faris atau kedua ibu bapa Hana menghantar gadis itu ke sini. Itu sebab mama sayang sangat dengan Hana.

"Okeh!" tanpa berpaling melihat dua jejaka itu, Hana angkat isyarat jari tanda OK sebelum menghilang di sebalik pintu.

Faris simpan senyum melihat si adik yang macam tak cukup tanah mahu melarikan diri. Ceh! Seganlah tu.

"Berapa ni bro? Cun!" Qaiser tepuk lembut lampu depan Kawasaki itu.

Pandangan mata Faris terus berubah bersinar. Seronok mahu bercerita tentang motor kesayangannya. Hobi yang paling diminati. Sayangnya, Qaiser yang tua beberapa tahun darinya itu tidak terlalu minat untuk berlumba. Lelaki itu minatnya memasak! Pelik betul!

"260k but..."

"What?" Qaiser ternganga tidak percaya. Direnung motorsikal berwarna hitam itu dengan mulut terlopong. Gila!

"But!" Jari Faris ternaik tinggi menahan Qaiser dari memotong penjelasannya. Tahu yang harga motor itu boleh dapat sebiji rumah, tapi ada sebab dia melabur ke situ.

"Okey apa?" soal Qaiser dengan muka speechless.

"Ni aku dapat sponsor. So it’s free!"

“Siapa pula nak sponsor kau? Sugar mommy?”

“Hooi!” Faris tarik muka bengang. Ada ke patut sugar mommy. Ingat dia anak ikan ke? Dia bekerja keras tau selama ni untuk dapatkan koleksi motor yang dia nak. Bukan ikut gaya mudah macam tu.

Qaiser tergelak besar.

“Habis siapa lagi yang nak sponsor kau? Uncle Dean dan Aunty Dina mesti takkan sokong punya minat kau yang ni.” Dia tahu sangat tentang hobi Faris yang tak disokong orang tua sahabatnya itu. Mereka terlalu risau tentang keselamatan Faris.

Tapi Faris yang keras kepala mana boleh nak dihalang-halang.

“Ada syarikat permotoran nampak aku race dekat Sepang haritu. Dia berminat nak aku join sebagai racer under dia untuk Asia Road Racing Championship.”

“What!” Tergeleng kepala Qaiser. Mamat ni memang gila! Gila motor!

Faris tayang sengih. Impiannya bakal tercapai tak lama lagi! Menjadi seorang pelumba motor. Kalau ada rezeki mana tahu nanti dia masuk pula MotorGp. Salah satu event permotoran yang paling tergempak sekali. Peringkat international.

“Aku blah dulu. Ada hal nak jumpa Farel kejap dekat Sepang.” Faris sarung helmet ke kepala. Tongkat ditolak naik sebelum motor berwarna hitam itu diundur keluar.

“Nak berlumba lagi la tu.” Kalau Faris dah bertemu Farel, nak pula berjumpa dekat Sepang… sah-sahlah untuk berlumba.

Faris sengih lagi. Selamba dia menghidupkan enjin motor dan mengangkat tangan pada Qaiser.

“Kirim salam dekat keluarga kau. Sorry tak boleh singgah lama-lama.”

“Okey bro. Hati-hati.” Pesan Qaiser.

Faris mengangguk faham. Throttle dipulas-pulas membuatkan kawasan perumahan yang tadinya sunyi sepi terus bingit dengan bunyi Ninja H2r itu. Usai memanaskan enjin, Faris memecut pergi dari situ.

          Tergeleng kepala Qaiser.

 

 

"HANIM, nah duit gaji bulan ni." Segumpal duit dihulur padanya. Hanim tersenyum lebar. Cepat-cepat tangan yang basah baru lepas mencuci kuali dilap pada kain yang tergantung di bahu.

"Terima kasih kak!" Hanim mengucap syukur dalam hati. Menunggu gaji keluar sangatlah menyiksakan! Dia perlu mengikat perut untuk berjimat cermat. Mujur dia bekerja sebagai tukang masak di restoran Kak Lina. Dapatlah juga makanan percuma untuk pekerja sepertinya.

Kak Lina tersenyum lembut bila wajah kepenatan Hanim berubah ceria saat dia menghulurkan duit. Gadis berumur 20 tahun itu memang seorang yang sangat rajin dan pandai memasak. Muda lagi, tapi tak pernah dia nampak Hanim merungut dan curi tulang.

Sepatutnya gaji untuk Hanim sebagai tukang masak dibayar RM 70 sehari. Tetapi Hanim sendiri meminta dia kumpul duit itu dan bayar pada hujung bulan. Kata Hanim, dia takut duit gajinya habis begitu saja kalau diberi setiap hari.

"Pergilah balik. Dah pukul 12 malam dah. Pekerja lain semua dah balik."

Hanim angguk dengan bibir yang masih tak lekang dengan senyuman.

"Saya balik dulu ya kak." Bergegas dia mendapatkan beg sandang dan helmet di penjuru dapur restoran.

Motor Honda EX5 milik abah dihidupkan untuk pulang ke rumah.

Sebaik sahaja sampai di rumah, Hanim sedikit pelik bila rumah papan dua bilik itu gelap gelita. Selalunya jam 12, rumah itu masih terang benderang. Ada abah dan si abang yang masih tidak tidur.

Motor dihentikan di tepi rumah. Dan dengan laju dia mendaki anak tangga kayu itu.

"Mak!" pintu diketuk kuat.

"Mak!" jerit dia lagi bila tiada sahutan dari dalam.

Tidak lama kemudian bunyi selak dibuka dari dalam dan wajah emak terjegul sebaik sahaja daun pintu terbuka.

"Tak reti bagi salam ke!" sergah mak dengan muka bengang dek tidurnya terganggu.

Hanim tersengih serba salah.

"Kenapa bergelap ni mak?" soalnya sambil melangkah masuk ke dalam rumah.

"Eletrik tak ada. Kena potong."

Dia yang baru sahaja nak masuk ke dalam bilik terhenti. Mengetap bibir kerana nampaknya duit gaji yang dia baru dapat akan hilang dalam sekelip mata.

Lambat-lambat dia berpaling mengadap mak yang berdiri tidak jauh dari situ.

"Berapa tertunggak?"

"Entahlah. Tak sempat tengok, abah kau dah koyakkan." Keluh mak. Sakit hati dengan perangai Hasan.

“Abah dengan Napi mana?”

“Entah! Seharian tak nampak muka dua orang tu. Entah berambu ke mana.” Bebel mak dengan muka bengang marahkan suami dan anak sulungya.

Hanim mengeluh panjang. Longlai bahu dia memikirkan duit.

"Tak apalah nanti Hanim tengok. Lagipun Hanim baru dapat gaji."

Mak senyum kelat. Bersyukur ada Hanim dalam hidupnya. Kalau tak, tak tahulah apa nak jadi dengan dia. Hanim sajalah yang boleh dia bergantung harap.

"Hanim nak mandi. Lepastu nak rehat. Penat." Hanim tolak pintu bilik tetapi sekali lagi keluhan panjang terlepas di bibir bila mak bersuara....

"Air pun kena potong, Nim. Tadi mak mandi di surau."

Allah... Badan direbah atas tilam nipis. Terkebil-kebil dia merenung siling bilik. Perlahan-lahan mata terpejam kepenatan. Walaupun badan terasa melengas dek peluh ketika bekerja tadi, tapi tetap Hanim tidur lena malam itu. Terlalu penat mental dan fizikal.

MY BEST FRIEND'S BROTHER- PROLOG

 




JERITAN mak dan pekikkan abah membuatkan Hanim dan Hanafi saling berpandangan, kemudian mata mereka serentak berputar dan dijulingkan ke atas. Sedari kecil mereka mendengar jerit pekik begitu. Sudah lali. Kalau dulu ketika mereka masih kecil, sudah pasti dua beradik itu berlari menyorok di bawah katil kerana ketakutan. Tetapi seiring menginjak dewasa, mereka hanya buat tidak tahu saja.

"Sial! Kau sorok mana hah duit kau! Aku nak duit!" jerkah abah. Bunyi barang dihempas berdentum dentam dari dalam bilik mak dan abah.

"Dah tak ada bang! Semua dah habis! Apa lagi yang abang cari! Sudahlah!" Tangisan nyaring mak makin membingkitkan telinga.

Hanim hempas botol air yang dipegang ke lantai. Rasa rimas berada di rumah yang tak pernah aman itu. Dah la rumah mereka rumah setinggan, sudah pasti suara mak dan abah didengari jiran tetangga.

Tidak menunggu lama lagi, dia bergegas mencari kunci motor milik abahnya. Tudung bawal yang terdampar di kepala sofa ditarik lalu disarung ke kepala. Sekadar ala kadar saja. Biarlah berkedut seribu pun tudung itu sekarang yang penting dia berhambus segera dari situ. Tidak kisahlah ke mana pun asalkan dia dapat berada di tempat yang tenang dan sunyi.

"Kau nak pergi mana, Nim?"

Langkah kaki Hanim terhenti bila Hanafi berdiri tegak depan dia. Menghalang dia keluar dari rumah.

Hanim jeling sekilas si abang.

"Rimas tahu tak duduk sini! Tepilah! Aku nak keluar." Tubuh kurus abangnya ditolak ke tepi. Hanafi yang tak bersedia sampai berundur setapak ke belakang dan ketika itulah Hanim menyelit keluar mendapatkan motor buruk abahnya.

"Aku ikut!" Hanafi bergegas menyarung selipar. Ingat dia nak duduk dekat rumah yang macam neraka tu? Memang tak lah!

"Sibuklah kau ni bang!" jerit Hanim bengang. Hanafi dah selamat bertenggek membonceng di belakang dia.

"Cepatlah! Nanti orang tua tu tahu pula kita rembat motor dia. Cepatlah Nim!" Bahu adiknya ditepuk-tepuk cemas. Kepala terteleng-teleng melihat ke pintu rumah. Takut abah keluar dan mengejar mereka dengan parang dek motornya dicuri si anak.

Hanim pantas menghidupkan enjin motor. Berkali-kali kaki dia bergerak menekan pedal untuk menghidupkan motor. Setelah berkali-kali mencuba barulah motor Honda EX5 buruk bapaknya itu menyala.

"Eii motor ni! Mengah aku!" Bebel Hanim lantas dipulas-pulas throttle beberapa kali sehingga menghasilkan bunyi yang agak bingit sebelum gerak keluar dari lorong rumah mereka itu.

"Hanim! Anak sial! Pulangkan balik motor aku!" jeritan si ayah membuatkan dua beradik itu tergelak-gelak. Dengan selamba Hanim menunggang motor itu meninggalkan rumah.

"Kita nak pergi mana ni, Nim?" soal Hanafi dengan suara yang kuat melawan bunyi angin.

Hanim angkat bahu.

"Aku tak tahu!"

"Biol la kau!" Hanafi ketuk kepala adiknya. Meter motor ditenung sekilas.

"Minyak nak habis ni! Kita mana ada duit!" Aduh! Masalah betullah!

Hanim terdiam. Motor masih digerakkan tanpa hala tujuan.

"Argh!" Jerit dua beradik itu. Serabut dengan kehidupan! Mereka miskin. Ada mak dan ayah pun tak berguna!

Motor membelok masuk Jalan Ameltis. Melalui rumah-rumah elit yang dilindungi dengan pagar-pagar besar. Sebaik sahaja motor berjalan masuk ke lorong lain, mendadak dua beradik itu cemas.

"Hanim! Ada road block tu!" Hanafi cepuk bahu adiknya.

"Alamak!" Tanpa berfikir panjang terus Hanim membelok masuk halaman rumah seseorang yang kebetulannya pintu pagar rumah itu terbuka luas.

"Gila la kau ni! Nak buat apa kat sini, samdol!"

Hanim garu kepala. Gara-gara tak ada lesen dan roadtax motor yang telah mati, dia tak dapat berfikir lagi. Menggigil kepala lutut bila nampak polis sedang buat sekatan jalan. Pelik betul… dah kenapa sekatan jalan dalam kawasan perumahan? Ada penjenayah ke?

Hanim dan Hanafi masih terkulat-kulat di perkarangan rumah mewah itu. Merenung kagum rumah banglo tiga tingkat yang tersergam indah itu. Ada kolam renang di tingkat 2 rumah. Ala-ala skypool yang sering dia lihat di Facebook.

“Maserati weh!” Bisik Hanafi. Kagum melihat deretan kereta mewah yang terparkir di dalam garaj.

“Ducati… KTM…Kawasaki…Yamaha..” Pergh! Mata Hanafi bersinar galak. Motor-motor berkuasa besar yang berderet itu membuatkan dia rasa mahu jatuh rahang melihatnya.

Sah kaya raya betul tuan rumah ni.

Hanim turut ternganga melihat motor-motor itu. Seksi gila! Iris matanya beralih pula melihat motor yang sedang dia tunggang sekarang. Allah! Jauh berbeza!

Terbit rasa cemburu menjentik hati dua beradik itu. Entah bila mereka akan dapat merasai segala kemewahan seperti yang dilihat sekarang. Macam mustahil saja. Agaknya sampai mati pun mereka akan tetap miskin. Tak pernah nak rasa senang.

Tidak berapa lama kemudian keluar seorang lelaki muda berumur dalam lingkungan awal 20an. Mulut Hanim sedikit ternganga. Terkejip-kejip mata dia melihat gaya santai lelaki itu melangkah mendekati mereka.

Rambut lelaki itu kelihatan lembut beralun. Berbentuk M ala-ala pelakon drama korea. Santai bertshirt hitam gambar kartun spongebob dan seluar bermuda paras lutut.

Handsome betul. Inilah lelaki pertama yang Hanim kata handsome yang pernah dia lihat secara nyata. Selalu dia memuji artis luar negara saja.

"Tuan rumah datang tu!" Hanafi dah gelabah kat belakang. Terloncat-loncat kaki dia sampai motor mereka bergoyang-goyang.

"Ehh...eh!" Hanim yang kecil molek tak tentu arah menahan motor dari terus bergoyang.

"Wei! Diamlah!" bisik Hanim tegas. Perut si abang disiku kuat memberi amaran.

"Aduh!" Menyeringai Hanafi menahan perit. Tajam betullah siku Hanim ni!

"Ya... Nak cari siapa ya?" soal si jejaka dengan mata yang mengecil menahan terik matahari. Tangan naik menahan di dahi dari silau panahan cahaya.

Hanafi diam. Masih baran kerana disiku Hanim. Biar adiknya sendiri menjawab.

"Er..." Hanim tergagap-gagap. Tak tahu nak cakap apa.

"Huh?" kening si jejaka terjongket tinggi. Masih sabar menunggu jawapan si gadis.

Mata sempat mengerling lelaki yang membonceng di belakang. Nampak cemas.

"Ada apa? Panas ni." Lelaki si tuan rumah dah bercekak pinggang dengan muka berkerut. Rasa geram pula bila dirinya dijemur bawah matahari oleh dua manusia yang entah datang dari mana ini.

Tertelan air liur dua beradik itu. Hanim kerling si abang. Dasar tak membantu! Selamba saja Hanafi pandang arah lain. Buat-buat menghayati permandangan di rumah orang itu.

Haish!

"Err.. Ada road block kat depan." Cicit Hanim.

"So?"

"Err..." Hanim garu leher. Serba tak kena bila lelaki itu minta penjelasan.

"Kitorang tak ada lesen. Motor pun tak ada roadtax."

What? Terbeliak mata Faris. Beraninya dua manusia ni melanggar peraturan!

"Lepastu kenapa masuk rumah saya?"

"Kebetulan pintu pagar rumah awak terbuka luas. Kami tak boleh nak fikir dah. Jadi kami masuklah. Tumpang kejap boleh? Sampai polis tak ada." Hanim tayang sengih sambil sengol perut si abang.

Nak tak nak Hanafi turut pamer sengih.

Dan Faris terdiam. Tergeleng kepala dia. Ada juga kejadian macam ni ya.

"Masuklah dulu. Panas dekat luar ni."

Hanafi yang mendengar pelawaan itu terus melompat turun dari atas motor. Memang panas terik kat luar ni. Baik dia setuju aje masuk ke dalam rumah besar itu. Mana tahu ada penyaman udara. Sejuk sikit. Dapat pula minum air oren. Pergh! Sejuk tekak.

"Abang!!" tegah Hanim. Malu dengan perangai jakun Hanafi.

Serentak Hanafi dan Faris berhenti melangkah dan toleh pandang Hanim yang masih bertenggek atas motor.

"Masuk ajelah wei. Orang dah pelawa ni."

Hanim renung sekilas tuan rumah. Saat mata mereka bertembung, Faris jongket kening menanti jawapan dia.

"Yelah..." akur Hanim. Lambat-lambat dia turun dari motor dan mengekori si abang.

"Aku nak air oren boleh tak? Ais banyak tau."

Ya Allah... Dia tak tahu dah nak letak muka di mana. Selamba saja si abang mengarah orang sesuka hati. Dah la masuk saja ke ruang tamu itu, Hanafi terus hempas bontot dekat sofa empuk si tuan rumah.

“Pergh! Empuknya sofa rumah kau ni weh!” laung Hanafi pada tuan rumah yang berjalan ke dapur meninggalkan mereka di ruang tamu.

Hanim rasa nak pelangkung aje Hanafi sekarang ni. Tak malu betullah! Macamlah orang tu kawan dia! Haish.

“Aku Hanafi, ni adik aku Hanim.” Hanafi perkenalkan diri sebaik sahaja lelaki muda itu menghidang dua gelas air oren pada mereka.

“Aku Faris.” Jawab Faris sambil menarik nafas dalam. Merenung lama tampang dua manusia yang tak dikenalinya itu.

Si abang berkulit hitam manis. Kelihatan seperti sebaya dengannya. Manakala si adik kelihatan macam masih bersekolah. Berkulit cerah dan comel bertudung bawal kosong yang agak lusuh.

“Kau memang tinggal seorang aje ke dekat rumah besar ni?” Hanafi tebarkan pandangan pada sekeliling kawasan.

Perabot dan semua barang di dalam rumah itu tampak mewah. Dinding rumah bercat putih tetapi perabotnya semuanya hitam. Nampak elegant.

          “Family aku semua pergi bercuti. Tengah cuti sekolah.” Jawab Faris ala kadar. Masih terkejut dengan sifat selamba Hanafi. Mata mengerling Hanim yang sejak tadi terketap-ketap bibir marahkan abangnya.

          “Oh… bestnya.” Hanafi sandar badan ke sofa. Empuk. Ditepuk-tepuk tempat kosong di sebelahnya sebelum dengan selamba dia merebahkan badan di atas sofa berbingkai tiga itu. Punyalah besar sofa ni, muat kalau dua orang baring.

          “Abang!” deram Hanim sebal. Rasa nak cekik saja Hanafi sekarang ni.

          Dalam diam Faris kulum senyum melihat tingkah Hanim.

“Aku ada kerja dekat atas. Kau orang duduklah sini. Nanti dah nak balik kau tutup aje pintu rumah.” Faris bingkas bangun.

“Eh! Awak tak takut ke kami curi apa-apa dalam rumah ni?” sampuk Hanim cemas. Rasa serba salah la pula bila tuan rumah tak ada sekali dengan mereka.

Faris sengih.

“Buat aje macam rumah sendiri. Jangan risau, ada CCTV.” Mata dia mengerling ke penjuru siling rumah.

Ternganga dua beradik itu melihat kemera CCTV ada di setiap penjuru siling. Pergh!

Monday, 8 February 2021

HERO UNTUK HEROIN

 



Blurb HERO untuk HEROIN

"I love you to the moon and never back. Because my love for you will never diminish." - Sharif

Al Sharif dan Elena bak hero dan heroin yang menjadi pasangan romantis semenjak di bangku sekolah. Tetapi cinta mereka teruji dengan cemburu dan salah sangka yang akhirnya memusnahkan hubungan itu.

"If I lie to you, it's either because I'm scared of you or scared of losing you, Sharif. I prefer the latter." -Elena

5 tahun terpisah, ikatan perkahwinan Tan Sri Rafiqi dan Puan Maria mengikat Sharif dan Elena dalam satu keluarga. Pertemuan demi pertemuan menggamit kenangan lalu. Apatah lagi Sharif ialah pengurus di tempat Elena bekerja.

Sharif yang sentiasa mencintai.
Elena yang sentiasa merindui.

Mengetahui rahsia perubahan Elena membuatkan Sharif tekad untuk mengejar gadis itu. Tetapi Elena yang sekarang bukan lagi Elena yang dia kenal 5 tahun dahulu.

"Kau kena terima Kaisara Elena yang sekarang. Yang beku. Yang garang. Yang hampir gila. Dia dah tak boleh jadi macam dulu, yang manja, yang cintakan kau. Dia dah tak ada! Faham!" – Elena

Sharif tidak mengalah, Elena sentiasa mengelak. Berjayakah Sharif mendapatkan heroinnya semula?

Wednesday, 23 December 2020

Order Ebook Pejuang Cinta

 

PREORDER 12 DISEMBER 2020- 1 JANUARI 2021

HARGA PREORDER RM 15

SELEPAS PREORDER RM 18


Blurb

Prinsip hidup Bunga tentang cinta mudah saja. Sesiapa yang inginkan cinta, dia perlu berjuang. Baru kita tahu adakah kita layak untuk mendapatkannya atau kita perlu melepaskannya pergi.

Kematian mengejut Nik Borhan merubah kehidupan Nik Wafiy dan Bunga. Demi ingin meneruskan hubungan kekeluargaan antara dua keluarga, Nik Wafiy diminta berkahwin dengan Bunga. Ikutkan hati mahu saja Wafiy memberontak, tetapi tatkala dia menangkap Amanda berlaku curang, lantas Bunga diterima menjadi isteri dengan rela hati.

“Marriage is not about finding the right person… it is being the right person." - Wafiy

Wafiy cuba untuk menerima status barunya, dan Bunga sangat bahagia dengan perkahwinan mereka.

"Kau menang. Tapi ingat, cinta tak boleh dipaksa! Kau akan jadi isteri pakai buang dia saja. Kemudian dia tinggalkan kau untuk pergi dekat aku!" – Amanda

Tak mungkin hati Wafiy semudahnya berubah. Apatah lagi kemunculan semula Amanda dalam hidup Wafiy mengelirukan Bunga. Juga kehadiran Hakim dalam setiap masalah Bunga menerbitkan rasa cemburu Wafiy.

“Dia pergi, sebab dia tahu… dia hadir tanpa cinta.”- Bunga

“Maafkan abang.” - Wafiy

“Papa kata saya kena fight untuk cinta saya… Tok daddy kata, awak pasti akan cintakan saya. Hakim kata, saya kena berusaha pikat awak, nanti mesti awak cintakan saya. Tapi saya lupa satu hakikat, cinta tak boleh dipaksa.”- Bunga

Sakit rupanya saat kita berjuang sendirian. Rasa lelah, rasa putus asa dan dia takut semua perasaan itu akan membunuh terus rasa cinta yang mekar. Jadi adakah dia perlu mengangkat bendera putih? Mengaku kalah setelah penat berjuang?

It’s better to have loved and lost, than never to have loved at all. - Alfred Lord Tennyson

When the love is real, it’s always worth it.


PEJUANG CINTA - BAB 3

 


B

ARU hari pertama memasuki pejabat Wafiy dah rasa seperti setahun! File tebal berinci-inci bertindan-tindan atas satu sama lain di atas mejanya. Meja yang besar dan luas pun seakan kecil saja bila file yang menimbun itu menuntut perhatiannya. Serabut! Sungguh serabut!

          Hati tak pernah ikhlas menerima semua ini menyebabkan dia tiada semangat untuk memulakan harinya. 

          Dia bakal menjadi CEO. Walaupun dia pernah ada pengalaman membantu tok daddy menyemak segala dokumen dan perjanjian. Tak bermakna dia mampu untuk menggalas jawatan yang tinggi itu.

          Kemudian dia bakal ditunangkan dengan Bunga. Sedangkan hati dia milik Amanda! Cakap tentang Amanda, Wafiy sekali lagi meraup wajah. Sudah dua minggu dia cuba hubungi gadis itu tetapi tak berangkat. Adakah Amanda dah tahu tentang pertunangan dia yang bakal terjadi? Dia takut kalau Amanda sedang bersedih dan marahkan dia. Pasti gadis itu rasa terluka. 

          Mahu balik menjenguk Amanda, tapi banyak pula perkara yang perlu dia selesaikan di sini. Bukan senang nak uruskan segalanya setelah tok daddy tiada. Daddy dan Uncle Ali pun sibuk ke sana ke mari menguruskan anak syarikat yang lain. 

          Nak tak nak dia kena juga balik ke Kedah untuk berjumpa Amanda si cinta hati dia sejak dibangku sekolah. Mungkin dengan menatap wajah comel itu akan membuatkan dirinya tenang menggalas tanggungjawab yang berat ini. 

Wafiy bergegas menutup file putih di depan matanya. Kot yang tersarung di tubuh dibuka lalu dilepar ke sofa. Kemeja biru gelap itu disinsing lengannya sehingga ke siku. Tanpa menunggu lagi kunci kereta dicapai dan bergegas dia keluar dari ruang itu.

          “Encik Wafiy nak ke mana? Sekarang belum waktu lunch.” Tegur Huzair selaku PA Wafiy sebaik sahaja ternampak kelibat bosnya itu lalu di hadapan mejanya.

          Wafiy merengus sebal. 

          “Nak keluar! Jangan tanya apa-apa!” 

Belum pun sempat dia menekan butang lif untuk turun ke bawah, datang pula dua orang lelaki  ke arah dia. Entah datang dari mana tiba-tiba saja sudah muncul di situ. 

“Hish!” rungut Wafiy dengan muka yang kelat. Sejak dia dilantik bakal menjadi CEO Batman, dua orang bodyguard berpakaian serba hitam sentiasa akan mengekori langkah dia. Rimas! 

Wafiy memang dah kenal sangat dua orang bodyguardnya itu. Dol dan Zain. Dulu dua orang itu jaga tok daddy, sekarang dia jaga Wafiy pula!

"Kalau tak ikut aku tak boleh ke?" Soalnya garang.

Dol dan Zain sengih sehingga menampakkan gigi yang tersusun cantik. Seketika kepala digeleng laju menjawab soalan Wafiy.

"Aku nak jumpa awek aku laaa... Takkan korang nak menyebok juga?" Wafiy tayang wajah berang dek kerana tidak puas hati.

Sekali lagi, dengan sengih yang tidak lekang di bibir. Mereka mengelengkan kepala.

"Argh! Sebal!" Dengus Wafiy menahan marah. Macam patung bergerak dia tengok dua manusia itu. Tersengih aje memanjang!

"Sabar bos." Pujuk Zain sambil sengih.

Wafiy menjeling tak puas hati.

"Sabar! Sabar! Stres la aku!" Keluhnya dengan muka sedikit tertekan. Rasa tak bebas hidupnya bila mahu ke mana-mana sahaja pasti akan diekori dua orang malaun ini. Sakitnya hati Wafiy.

"Bos, kitorang cari makan ni. Kalau jadi apa-apa pada bos macam mana? Kitorang yang susah. Nanti ketua kami marah." Jelas Dol perlahan berharap Wafiy bertolak ansur dengan mereka. Mengamuk pulak ketua mereka nanti kalau mereka culas dalam menjalankan tanggungjawab mereka ini. 

“Bos nak pergi mana? Saya drive.” 

Wafiy tarik nafas dalam-dalam. Penat mahu berlawan cakap dengan Dol dan Zain. Akhirnya dia terpaksa mengalah sajalah.

“Kedah.”



“Baik bos!” 



KERETA yang dipandu Dol akhirnya sampai di hadapan rumah keluarga Amanda. Wafiy hanya diam di dalam kereta menunggu Amanda keluar mengangkat kain. Tok abah dan wan tak ada di rumah kerana sedang menziarah mak usu Wafiy yang baru bersalin. Jadi tak dapatlah Wafiy untuk menunggu di dalam rumah datuknya itu.

          Mahu telefon Amanda, talian gadis itu dimatikan. Marah sangat agaknya Amanda pada dia sampaikan langsung tidak dinyalakan telefon. Padahal gadis itu mana boleh berenggang dengan media sosialnya.

          Kepala selesa bersandar di tempat duduk tetapi matanya tertumpu pada muka pintu rumah Amanda yang masih tertutup. 

          “Err.. bos, kenapa tak bagi salam aje?” Tegur Dol.

          Wafiy menghela nafas pendek. Menatap Dol seketika sebelum kembali memandang pintu rumah si kekasih hati.

          “Kejap lagi dia keluar la. Malas aku nak kacau keluarga dia, karang macam-macam pula makanan nak dihidang pada kita.” 

          “Eh! Tu la bagus bos! Kenyang perut kita!”

          Ceit! Wafiy berdecit sebal. Biul betul la bodyguard tok daddy ni. Sengal!

          “Sebab tahu niat kau la aku tak ketuk pintu rumah dia!” selar Wafiy garang.

          Dol dan Zain tersengih bersalah. Lantas mereka terus diam memandang ke hadapan. 

          Hampir setengah jam dia menunggu, maghrib pun dah nak masuk. Takkan la dia nak jadi penunggu di situ. Sikit masa lagi, pasti Sufian, abang Amanda akan keluar  berjemaah di masjid. Wafiy tak mahu terserempak dengan lelaki itu ketika itu. Bukan dia tak suka ke apa. Takut Sufian pelik pula dia datang siap berbodyguard bagai. 

          “Dah la kita gerak. Pergi rumah keluarga aku.” Arah Wafiy.

          Dol yang sememangnya tahu keberadaan rumah itu segera mengangguk. 

“Eh! Kejap!” Dol baru sahaja turunkan break tangan terus terhenti. Dua orang manusia itu terpinga-pinga memandang encik bos di tempat duduk belakang. 

          Mata Wafiy terbuntang luas. Terkejut! Berdegup laju jantungnya tatkala terlihat Amanda dan seorang lelaki yang tidak dia kenali keluar dari rumah itu. Kalau setakat tetamu biasa tak apa lagi, tetapi si lelaki sempat melayangkan ciuman ringkas di bibir Amanda sebelum berlalu pergi dari situ.

Dan Amanda tersenyum lebar melambai si jejaka yang sedang menghidupkan enjin motorsikalnya. Amanda tidak bertudung! Padahal setahu Wafiy, tak pernah dia melihat aurat wanita itu. Tapi kini…. Dengan lelaki itu… Amanda… Argh! 

Wafiy bergegas keluar dari kereta dan berjalan laju mendapatkan Amanda. Riak muka Amanda berubah pucat bila dia tersedar Wafiy yang kini sudah terpacak depan muka dia dengan riak marah. 

“Abang!”

“Dia siapa!” 

Tergopoh-gapah dia turun mendekati Wafiy. Sampai tak sedar dia hampir nak memaut lengan lelaki itu kalau Wafiy tak menepis lengan dia.

"Apa dah jadi dengan Manda ni!" Jerkah Wafiy garang, terkejut bila Amanda menerpa ke arah dia macam tu. Dia dan Amanda tahu ada batas yang perlu dijaga. Tapi Amanda yang berdiri depan dia sekarang ni sangat lain!

Tubuh Amanda ditilik sekilas dari atas ke bawah. Rambut Amanda pendek separas leher itu berwarna perang! Leher gadis itu pula. Astagfirullah, Wafiy segera mengalihkan pandangannya. Beristighfar panjang dia dalam hati. 

“Ab..abang buat apa dekat sini?” Manda mati kata. Dia sudah tertangkap! Zali yang membatu tidak jauh dari situ dikerling Amanda sekilas.

'Tak guna! Dasar lelaki pengecut? Tak ada usaha pun nak lindungi aku.' gerutu Amanda sebal.

“Dia siapa Manda? Cakap dengan abang dia siapa!” muka Wafiy merah padam. Terlalu marahkan Amanda. Ikutkan hati mahu sahaja dia menumbuk muka lelaki tak guna itu!

"Bro, relaks la apa marah-marah ni." Zali yang tersedar akan lirikan mata Amanda pantas bertindak. Dia bukan pengecut. Cuma terpegun sekejap tengok lelaki yang menjadi kekasih Amanda ini.

Segak bukan main. Macam anak mat saleh! Baju pun segak. Kemeja dan seluar slack. Kereta mewah pula tu. Tapi dah kenapa Amanda boleh senyap-senyap bercinta dengan dia yang muka serupa gelandangan. Dia pun apa lagi. Takkan nak tolak tuah bila Amanda sendiri yang serah segala-galanya. 

“Sufian mana? Sufian!” Laung Wafiy memanggil abang Amanda yang mungkin berada di dalam rumah. Takkanlah Sufian tak sedar langsung tentang Zali! Menggelegak darah dia bila dibidas Zali. Bukan dia tak kenal Zali tu. Anak penghulu kampung sebelah! 

“Abang dengar dulu.” sekali lagi Amanda cuba memujuk. Tangan dia tak segan silu memaut lengan Wafiy. Dia dah tak peduli tentang halal haram. Yang penting sekarang dia takut kehilangan lelaki itu. Dia terlalu sayangkan Wafiy.

Tangan Amanda ditepis kasar. Jijik disentuh wanita yang telah menipu dia!

“Nak dengar apa lagi! Abang nampak apa yang Manda buat! Dia siapa? Mana Pian? Mana mak Manda?” Bentak Wafiy berang. 

“Abang, abang… jom kita masuk dulu. Karang jiran semua tahu. Orang kampung ramai nak ke masjid ni.”

Wafiy bercekak pinggang. Mencerlung tajam pada kedua manusia tak guna itu.

“Oooo..takut orang tahu? Takut orang kampung nampak? Manda buat maksiat dengan mamat tak guna tak takut? Terbang segala tudung dekat kepala! Leher penuh lovebite! Mana Pian!” 

“Abang Pian tak ada. Dia bawa mak berubat di Langkawi.” Jawab Amanda gugup. Kepala tertunduk memandang tanah. Jiran tetangga mula keluar dari rumah masing-masing bila mendengar suara Wafiy yang terjerit-jerit macam tu. Dia malu!

Wafiy meraup wajah. Dia dah agak! Amanda tak berani bawa masuk Zali ke rumah kalau ada Sufian. 

“Abang tak sangka…” Wajah sendu Amanda ditenung dengan hati yang tergores. Diketap bibirnya. Mata mula berkaca dek kerana terlalu kecewa, marah, dan terluka. Dia terlalu sayangkan Amanda tapi kenapa gadis itu sanggup buat dia macam ni? 

“Abang. Manda tahu Manda salah. Manda terlalu ikut nafsu. Tolong maafkan Manda!” Amanda jatuh terduduk. Menggigil kepala lutut kerana dia tahu Wafiy pasti takkan mampu memaafkan dirinya. Dia menyesal kerana melayan Zali! Dia menyesal!

“Tak ada guna abang nak maafkan Manda. Manda sedar tak apa yang Manda buat ni dosa! Seorang lelaki yang baik takkan ambil maruah seorang perempuan dengan cara macam ni!” jerkah Wafiy kemudian terus berlalu dari situ diikuti Zain dan Dol yang hanya menjadi pemerhati dari tadi.

Zali tertunduk membisu. Sentap dengan kata-kata Wafiy.

Tangisan Amanda semakin menggila. Air mata yang menitis langsung tak mampu membeli simpati Wafiy. Cinta dia buat Amanda dah hilang!

“Bos okey?”

Dol dan Zain saling berpandangan bila pertanyaannya tidak berjawab. Gerun melihat riak wajah tegang Nik Wafiy. Sudahlah kulit tu cerah, jelas ketara wajah itu merah padam menahan perasaan. 

“Er… kita nak ke mana ni bos?” walaupun takut, dia kena tanya juga ke mana mahu pergi. Ye la, bos dah patah hati sudah tentu tak nak berlama-lama di sini. 

“Balik rumah keluarga aku.” Gumam Wafiy perlahan. Suara dia bergetar menahan emosi.

Sakit! Kecewa! Terluka! Mata yang kian merah menakung air dikelipkan berkali-kali. Malu sekiranya Dol dan Zain nampak air matanya yang hampir gugur kerana Amanda. Dada pula terasa sendat menahan rasa marah. Kepercayaan dan cinta yang dihulur dibalas dengan racun! Sungguh terasa sakitnya di dada. 




 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template