Sunday 11 September 2022

MY BEST FRIEND'S BROTHER- BAB 5

 


HANIM tercengang bila ada banyak selipar di luar rumahnya. Jarang ada tetamu datang ke rumah itu. Boleh kira dengan jari. Kemudian kedengaran suara bising-bising dari dalam rumah. Suara lelaki yang tak dia kenali.

"Mulai hari ini kau bukan anak aku lagi Hayati!"

Hayati mana pulak ni? Hanim makin tak faham. Cepat-cepat dia mendaki anak tangga.

Langkah kaki terhenti di ambang pintu rumah. Memerhati ruang tamu sempit itu kelihatan padat dengan beberapa orang manusia.

"Kenapa ni?" Hanim tebarkan pandangan pada setiap wajah di situ.

Wajah mak, Hanafi dan teman wanita abangnya, Hayati. Oh! Maksudnya...

Matanya beralih pula pada seorang lelaki tua yang berwajah bengis di situ. Dan ada seorang perempuan sebaya mak sedang menangis di sisi lelaki itu.

"Dah! Aku nak balik! Kau ingat Hayati. Jangan nak jejak kaki lagi dekat rumah aku! Berhambus kau!"

"Sudah Mah! Tak guna menangis untuk anak macam dia ni. Jom balik!" Lelaki tua itu mendengus kasar. Tanpa berbasa basi lagi terus dia berlalu turun dari situ. Diikuti mak dan dua adik lelaki Kak Yati.

Hanim renung tajam wajah tak bersalah Hanafi. Dia pasti ada sesuatu yang telah terjadi sampaikan Kak Yati kena buang keluarga.

"Kenapa ni mak? Malaun ni buat masalah apa pulak kali ni?" Terketap gigi Hanim menahan rasa geram pada si abang. Tak habis-habis buat masalah.

Kejap-kejap orang kampung datang serang ke rumah kerana Hanafi ditangkap mencuri duit dari tabung surau. Ada kala kerana Hanafi rembat motor orang. Mujur tak masuk penjara aje abangnya itu.

Kak Yati yang sedang menangis teresak-esak dikerling sekilas. Lencun maskara di wajah putih bersih Kak Yati. Dah malam-malam buta pun bermakeup juga. Tak faham betul.

"Yati mengandung."

“Apa!” Tubuh Hanim keras membantu. Terbeliak mata dia berpandangan dengan mak yang dah tayang wajah serba salah.

Dia renung pula Kak Yati. Perut teman wanita abangnya itu kelihatan membuncit walaupun ditutupi dengan pakaian yang longgar.

"Aku dan Yati dah fikir nak gugurkan kandungan dia tu." sampuk Hanafi tegas. Dan serentak dengan itu tangisan Kak Yati makin kuat kedengaran.

"Tak payahlah, Napi. Kandungan dia dah 7 bulan! Mak takut kalau apa-apa jadi pada Yati nanti. Ni dah kali kedua dia gugurkan kandungan. Boleh rosak rahim dia nanti."

"Habis mak nak aku buat apa? Jaga budak tu? Aku ni nak makan pun kais pagi tahu tak mak!"

"Ya Allah..." Hanim jatuh terduduk di lantai. Bergenang matanya memikirkan Hanafi dah hanyut sejauh ini. Dua kali! Air mata mengalir laju. Sungguh tak sangka abang yang membesar bersamanya selama ini boleh jadi jahat macam ni sekali.

"Jadi selama ni mak bersubahat dengan dia?" Suara Hanim terketar menyoal mak.

"Bukan mak bersubahat. Tapi Napi tak sedia lagi nak ada anak." Jawab mak Ecah sedikit serba salah.

Mengecil mata Hanim. Kepala tergeleng perlahan. Tak percaya mak sendiri bersubahat dengan perbuatan terkutuk Hanafi. Kecewa dengan keluarganya yang berantakan seperti ini.

"Oh... bersedap-sedap nak pulak. Gersang sampai tak fikir halal haram. Tapi bila dapat hasil tak mahu jaga! Kau tak fikir dosa ke bang?" sergah Hanim setelah menenangkan diri. Tajam renungan matanya memanah wajah tegang Hanafi.

Hanafi bangun dari duduknya. Mencerlung garang melawan panahan mata Hanim.

"Kau tu adik aku aje tau, Nim. Jadi kau tak ada hak nak tegur aku!" Jari telunjuk Hanafi yang tepat menala ke muka ditepis Hanim kasar.

"Tapi kau tu darah daging aku! Aku tak sangka kau jahat macam setan!"

"Apa kau cakap!"

Hanafi cengkam kuat lengan Hanim lalu tangan kirinya naik mencekik leher jinjang Hanim yang berlapis tudung. Kuat dengusan nafas Hanafi menampar ke wajah adiknya menandakan dia teramat marah.

Kedua tangan Hanim terkapai memaut lengan kiri Hanafi. Menarik kuat agar abangnya melepaskan cengkaman di leher. Merah padam muka dia mencari nafas.

Mak meluru mendapatkan dua beradik yang saling bertikam lidah itu. Hanafi yang panas baran sampai nak membunuh Hanim.

"Sudahlah Napi! Dia adik kau!" Lengan Hanafi ditarik mak berkali-kali. Tapi kudrat wanita tua sepertinya langsung tak buat anak lelakinya itu goyah. Malah, dengan bersahaja Hanafi makin menguatkan cengkamannya.

"Mak diam!" Jerkah Hanafi tanpa mengalihkan pandangannya. Terketap-ketap bibir dia mengumpul kekuatan melawan tenaga Hanim yang meronta-ronta melepaskan diri.

"Kau. Memang. Syaitan!" Hanim yang masih tak berpuas hati makin membakar perasaan Hanafi.

"Kau memang nak mampus Hanim!" Kedua tangan Hanafi mencekik leher Hanim kemudian diangkat tubuh kecil adiknya sehingga kaki Hanim terkapai-kapai tidak jejak lantai.

"Hanafi!" Jerit mak ketakutan. Belakang badan Hanafi dipukul bertalu-talu.

"Ark..erk.." Tengkorok Hanim seperti diremuk. Mengalir air mata dia menahan kesakitan. Muka dah biru kekurangan oksigen.

"Biar aku yang mati!" Jeritan Hayati menghentikan segalanya.

Entah bila Hayati bertindak. Tiba-tiba di tangan dia dah ada pisau potong daging yang diambil di dapur.

Hayati hala pisau ke leher sendiri.

"Yati!" Menggelupur Hanafi mendapatkan teman wanitanya. Tubuh Hanim dibanting ke tepi membuatkan Hanim terhempas ke dinding rumah dan terhantuk dengan bucu jendela.

"Argh!" Hanim menjerit kesakitan. Tangan kiri memegang leher yang perit. Manakala tangan kanan menekup dahi yang terasa basah.

"Hanim!" Dengan linangan air mata mak mendapatkan Hanim yang dah tergolek kesakitan.

"Sa...kit." Suara Hanim putus-putus. Serak dicekik Hanafi yang gila mahu menjadi pembunuh.

"Letak pisau tu Yati!" Bergema nyaring suara Hanafi. Tangan dia tergawang ke udara cuba menenangkan Hayati yang meraung-raung dengan pisau terhala di leher.

"Biar aku yang mati! Aku menyesal kenal kau, Napi!"

Hanafi yang sememangnya bukan seorang penyabar kembali naik angin. Tak guna dia nak takut kerana dia tahu Hayati tidak seberani itu untuk melukakan diri sendiri.

"Kau dah banyak pahala ke nak mati?" soal dia sinis.

Tersedu sedan Hayati menangis. Tersekat-sekat suara dia. Makin sakit hati dia dengan perangai Hanafi.

"Napi!" Sambil memangku Hanim, mak menjerit marahkan Hanafi.

Ruang tamu rumah itu semakin huru hara. Hayati gores luka di leher sampai darah memancut keluar.

Ya Allah... Menggigil tangan mak sambil bantu menekup darah di kepala Hanim. Tak kuat melihat darah merata-rata di lantai rumah.

"Aku nak mati! Gara-gara jantan sial ni la aku mengandung! Dia rogol aku!" jerit Hayati tak terkawal.

"Mulut kau jaga sikit! Rogol kepala hangguk kau kalau kau pun menggatal nak dipuaskan. Bagi bukti kau cakap aku rogol kau!" Bidas Hanafi dengan mata terjegil seakan mahu tersembul keluar.

"Kau memang sial Napi! Aku menyesal percayakan kau!"

"Kak Ti! Jangan kak! Napi tolonglah sabar!" Hanim tongkat tangan. Gigih mahu bangun dari terus terbaring. Tetapi mata dia makin berpinar-pinar sampai dia perlu menahan tangan di dinding rumah agar kakinya terus teguh berdiri.

"Pedulikan dia! Nak mati sangat, buatlah! Aku nak tengok dia berani ke tak?"

"Kau jangan cabar aku, Napi!" Marah Hayati.

Hanim gagahkan diri, berjalan laju mendapatkan Hayati dan sepantas kilat dia merampas pisau dari tangan Hayati.

"Jangan kak!" tegah Hanim dengan muka menyeringai menahan sakit di kepala. Dia juga rebah di sisi Hanim. Kepala yang sakit membuatkan dia tak berdaya untuk menahan Hayati lagi.

"Aduh!" Hayati jatuh tergolek ke lantai. Perut yang terasa sakit mencucuk dipegang erat sambil mengensot mendapatkan pisau yang terdampar di hujung kaki.

Zap! Suara tangisan Hayati bertukar dengusan dan erangan kesakitan.

"Yati!"

 

 

"FARIS AD DEEN!"

Suara jeritan mommy buat Faris tergelak-gelak menutup salah sendiri. Tahu yang dia dah keluar terlalu lama sampai mommy risau menunggu di rumah.

"Bila nak balik hah? Dah pukul 12.30 ni. Berlumba lagi ke?" Suara Dina makin lantang memarahi si anak. Geram pada anak sulungnya yang tak lekat di rumah! Hati seorang ibu tak tenang nak melelapkan mata selagi tak nampak kelibat si anak di rumah.

"Mana ada mommy. Hujankan ni. Litar basah." Faris cuba memberi alasan. Tapi sungguh dia tak berlumba malam ni. Cuma dia lambat balik kerana melepak di rumah kawan baiknya, Farel. Lelaki yang tua beberapa tahun darinya itu akan berlepas ke luar negara besok kerana semester baru telah bermula.

"Habistu Ayis pergi mana tak reti nak balik lagi?"

"Ayis jumpa Farel. Dia kan nak berlepas besok. Sajalah melepak sekejap. Lepastu pergi makan. Ni nak balik la ni."

"Haa... cepat balik! Ayis ni kan..."

Sambil mendengar bebelan mommy, Faris bersandar selesa di tempat duduknya. Dari dalam kereta, matanya merenung lama rumah kampung yang dihuni Hanim.

Berkerut dahi dia bila nampak bayang-bayang orang bergaduh di sebalik langsir tingkap yang terbuka luas. Cermin tingkap kereta pantas diturunkan sedikit. Dan serentak dengan itu, terus dia dapat mendengar suara lantang bertikam lidah dari dalam rumah.

"Aku nak mati! Gara-gara jantan sial ni la aku mengandung! Dia rogol aku!"

Tubuh pantas melonjak ke depan. Tertanya-tanya apa yang berlaku di dalam rumah Hanim.

"Mommy... kejap lagi Ayis balik. Letak dulu ya." Laju dia mematikan talian telefon tanpa sempat mendengar balasan mommy.

Telefon dicampak ke tepi lalu bergegas dia turun dan berjalan ke arah pintu rumah Hanim.

"Assalamualaikum." Daun pintu yang terbuka luas memudahkan Faris menjengah ke dalam.

"Kau jangan cabar aku, Napi!"

Terbeliak mata dia bila melihat seorang perempuan mengandung sedang menangis sambil menghala pisau ke leher sendiri sebelum diterpa Hanim.

"Hanim!" Terjerit Faris bila Hanim juga tumbang seakan mahu pitam.

Hanim jatuh tergolek di sebelah wanita mengandung itu. Dan wanita mengandung itu berusaha mencapai pisau yang terlepas dari tangan Hanim lalu wanita itu mengelar pergelangan tangan sendiri.

Tidak sampai sesaat, suara tangisan perempuan itu hilang. Hanya erangan kesakitan yang bergema.

"Yati!"

Hanafi terkaku dengan mata terbeliak. Terkejut melihat Hayati yang dah terkulai berlumuran darah. Mak Hanim pula meraung-raung sambil memangku Hanim.

“Allah!” Faris bergegas mendapatkan kain dan menekup luka di tangan perempuan mengandung itu.

Tertoleh kiri kanan dia kerana tidak tahu berbuat apa.

“Hanafi! Kau jangan lari, Napi!” Jerit Mak Ecah bila Hanafi bergegas melarikan diri keluar dari rumah.

0 comments:

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template