"NIK Wafiy Najwan!"
Wafiy berdecit perlahan. Tangan naik menggaru kepala
yang tidak gatal membuatkan rambutnya yang tersisir rapi sedikit serabai akibat
tindakannya itu.
"Ya mummyyy..." Wafiy menjawab dengan harakat
yang panjang dan agak leweh. Muka dia tak payah cakaplah, toya habis!
"Tok daddy mintak tolong tu, jangan nak buat muka
macam tu yer." Mata Bella dah terjegil sebesarnya. Kalau cakap dengan anak
terunanya itu sekarang asyik nak kena gertak, marah dulu baru nak jalan.
Patutnya makin besar, makin dengar kata. Ni langsung tidak. Geram dibuatnya.
"Tak pasal-pasal aku pula yang kena ambil
dia!" Bisiknya perlahan dengan muka menahan geram.
"Tolonglah," bisik Bella dengan nada keras.
"Ya, ya. Wafiy nak pergilah ni."
Dengan pergerakan paling lambat sekali dia bergerak.
Bella yang masih memerhati pergerakan si anak mula mengetap bibir menahan
geram. Wafiy dah serupa Sloth! Haiwan paling slow di dunia ni.
"Dapat pahala Nik Wafiy!" Bella melaung kuat
dari muka pintu saat melihat si anak dah masuk ke dalam kereta.
Wafiy senyum terpaksa. Kalau dengan mummy memang selalu
ingat akhirat!
"Ye mummy, Wafiy ikhlas ni." Tanpa nada dia
menjawab.
Sepatutnya boleh saja Zain iaitu pemandu tok daddy
datang ke KLIA menjemput sepupunya itu. Tapi dia pula yang diarahkan tok daddy
sedangkan dia baru sahaja sampai dari Kedah. Ingat Rawang dengan KLIA ni dekat
ke? Pffftt! Getus Wafiy sebal.
Kereta diparkir di ruang menunggu. Malas nak keluar dan
mencari sepupunya itu. Pandai-pandai sepupunya mencari dia nanti.
Namun setelah 2 jam menunggu kaku di dalam kereta,
Wafiy dah panas punggung. Kepala sekejap-sekejap mengerling sekeliling kawasan
pintu ketibaan itu. Mana minah ni!
Pelbagai sumpah seranah meluncur laju dalam hati, sikit
lagi nak mencarut kuat-kuat. Nasib baik fikir pahala tak banyak, jadi dia tak
nak menambah dosa.
"Menyusahkan orang betullah!" Degusnya seraya
bergerak keluar dari kereta. Ingin menuju ke dalam lapangan terbang itu mencari
si gerangan 'Puteri' cucu kesayangan tok daddy. Masuk saja ke dalam KLIA
itu, mata Wafiy meliar mencari si dia. Dalam Wafiy leka merenung wajah seorang
demi seorang manusia di situ dia panar.
Baru dia teringat! Dia ingat-ingat lupa wajah sepupunya
itu. Sudah hampir 10 tahun dia tidak bertemu dengan satu-satunya anak Uncle Ali
dan Aunty Mayang!
My god! Wafiy! Gerutunya dalam hati. Beria
kau teropong sorang-sorang gadis yang sedang menunggu di lapangan terbang itu
tapi sebenarnya kau tak tahu pun siapa yang kau cari?
Loud of laugh for you, Wafiy!
Segera telefon di poket seluar jeans diseluk lalu
jarinya laju membuka aplikasi Whatsapp. Group keluarga mereka dimasuki
kemudian nombor telefon sepupunya itu dicari.
0134567890 ~Bunga~
"Ni kot dia," Wafiy berbisik perlahan. Entah
betul ke tidak ni nombor anak Uncle Ali. Tak ada gambar di profile whatsapp
itu. Mungkin kerana gadis itu pun tidak menyimpan nombornya.
Tapi siapa lagi Bunga dalam keluarga mereka itu, kerana
hanya sepupunya seorang itu sahaja yang mempunyai nama klasik macam tu. Cuma
nama penuh gadis itu tidak pula Wafiy ingat. Tanpa teragak-agak nombor itu
didail. Tidak sampai beberapa saat panggilannya berjawab.
"Helo?"
Wafiy terkedu sesaat mendengar suara lembut yang
menjawab panggilannya. Berdebar seketika dadanya ketika itu sebelum kembali
normal.
"Helo?"
"Errr.. erm.. ehem." Tiba-tiba tekak macam
gatal.
"Bunga?" Suara sehabis macho dia buat. Wafiy
kau dah kenapa? Bunga jer pun bukan siapa-siapa.
"Ahaa, yup."
"Kau kat mana?"
"Hah?" Bunga bersuara pelik.
Wafiy menggigit hujung bibir mengumpul sabar.
"Kau dekat KLIA kan? Kau tunggu dekat mana?"
"Ehh sabar-sabar. Ni siapa?"
Wafiy, kau ingat kau terkenal sangat ke sampai suara
kau semua orang cam.
"Wafiy." Jawabnya pendek dan serius.
"Wafiy? Nik Wafiy?"
Eh minah ni, ye la habis Wafiy waffle ke?
"Eh tak la, bukan. Kau tahu tak Waffle yang bau
sedap tu. Yang letak perasa coklat atau peanut butter lepastu kapit.
Makan panas-panas sedap. Haa, benda tu la yang telefon kau sekarang ni."
"Stop! Stop!"
Wafiy tersenyum sinis. Bunga menjerit kuat di hujung
talian sampai dia kena menjarakkan telefon dari telinganya.
"Aku dekat Mcd." Tet! Talian terputus.
Wafiy terngadah. Skrin telefon yang bertukar gelap
direnung tidak lepas. Ceh! Selamba minah ni matikan talian. Kalau tak di
sebabkan Tok daddy memang dia biarkan aje Bunga balik sendiri naik teksi!
Telefon disisipkan ke dalam poket seluar jeans lalu
Wafiy segera melangkah menuju ke Mcd. Sampai saja di sana, keadaan di dalam
kedai itu lengang. Hanya ada seorang dua pelanggan.
Memandangkan pelanggan lagi seorang lelaki, jadinya
Wafiy dapat meneka yang perempuan berambut panjang yang sedang duduk
membelakangi dia itu adalah Bunga. Tanpa berlengah, dia mendekati gadis itu.
"Bunga."
"Apehal lambat sangat!" Rungut gadis itu
bengang.
Dan saat gadis itu berdiri dan berpaling mengadapnya,
hampir nak terkeluar bola mata dia. Mujur dia memakai cermin mata hitam jadi
dapatlah menyembunyikan reaksinya tadi.
Ini ke Bunga?
Anak mata Wafiy berputar macam yoyo. Turun naik menilik
si gadis yang berdiri kaku di hadapannya.
Seingat dia, Bunga ni dulu tomboi. Sebijik macam
lelaki. Rambut pendek. Ganas. Muka berhingus. Ish...ish...ish. Faktor akil
baligh ni memang buat Bunga jadi lain.
Cantik sangat! Berjaket denim bersama skirt kembang
paras lutut. Bunga nampak lain sangat. Apatah lagi berambut panjang mengurai
melepasi bahu. Bibir gadis itu tercalit lipstik merah menyala.
Sejak bila minah ni pandai nak berseksi bagai ni?
Oh hoooii! Wafiy, kau jangan buat main. Seksi? Haip! Jahatnya
kepala otak duk fikir benda lain.
Wafiy pantas mengalihkan pandangan matanya pada beg
bagasi Bunga yang terletak di tepi meja. Gadis itu pun diam saja merenung dia.
Jadi lebih baik mereka segera beredar dari situ.
"Jom."
Selamba Wafiy tarik beg bagasi Bunga meninggalkan gadis
itu sendirian di belakang. Laju langkah kaki dia menuju keluar dari situ.
Wafiy rasa macam nak tampar muka sendiri berkali-kali!
Kenapa otak kau biul sangat pagi ni! Boleh pula pandang anak dara orang macam
tu. Kau memang dah tak betul ni, Wafiy. Mula-mula kau berdebar dengar suara
dia. Lepastu kau cakap dia cantik. Sekarang pula kau mengaku dia seksi?
Unbelievable! Ini semua godaan.
Manakala di satu sudut, Bunga masih tidak berganjak
dari tempat dia berdiri tadi. Matanya terkelip-kelip melihat susuk tubuh Wafiy
yang sudah bergerak menjauhi Bunga sambil menarik bagasi dia.
Perlahan-lahan tangan kiri bergerak mendarat di dada
yang berdegup laju. Dup dap dup dap. Kuat bunyinya. Bunga berdebar hebat.
Sebenarnya dari Wafiy telefon tadi lagi dia sudah tidak keruan. Terkejut dia
saat Wafiy memperkenalkan diri. Itu sebab dia terdiam dan mengelabah dalam masa
yang sama.
Lelaki itu masih tidak berubah. Masih dingin pada
Bunga. Dia dan Wafiy tidak seperti sepupu sepapat yang lain. Yang boleh duduk
bergurau senda atau bertegur sapa seperti biasa. Wafiy kalau berjumpa dengan
dia mesti bercakap kasar macamlah Bunga kacau dia. Bunga tak buat apa-apa pun
kena marah juga!
Bunga tenung belakang tubuh Wafiy yang semakin menjauh.
Dengan langkah yang perlahan dia mengekori lelaki itu. Wafiy sudah berubah.
Rambut lelaki itu panjang sampai boleh diikat simpul seperti perempuan gayanya.
Mujur ada jambang halus di rahang lelaki itu menandakan dia seorang lelaki.
"Cepatlah aku dah penat ni."
Bunga tersedar. Pandangan kosong tadi beralih ke wajah
Wafiy yang kemerahan menahan panas. Handsome, tapi sayang muka tak ada
senyum! Dari tadi asyik berkerut saja dahi itu.
"Ingat kau sorang aje ke penat? Aku ni berjam-jam
dalam kapal terbang pun penat juga tau."
"Sini! Biar aku tarik beg aku ni." Bunga
menjeling Wafiy tajam. Tangan Wafiy yang masih memegang begnya itu ditepis
kasar. Tetapi segera Wafiy merampas tempat pemegang bagasi itu kembali.
"Dah diamlah! Membebel macam mak nenek."
Wafiy menonong meninggalkan Bunga. Panas tahu tak dekat situ serupa tak ada aircond.
Mak nenek? Urgh! Bunga berjalan laju melintasi Wafiy.
“Ni lagi satu, tahulah baru balik dari oversea
tapi tak payah lah selamba nak sentuh anak teruna orang.”
Pergh! Bunga makin berasap ditegur sinis begitu. Laju-laju
dia berpaling merenung Wafiy dengan renungan tajam.
“Aku nak tepis tangan kau jer, bukan sengaja sentuh.”
“Tepis ke apa ke, kalau dah tersentuh batal wuduk jugak
tahu tak. Berdosa.”
"Annoying!" Dasar ustaz jadian!
Wafiy tayang muka jahat. Suka pula melihat wajah Bunga
yang sudah merah padam menahan geram.
"Shuhh..shuhhh cepat-cepat!"
Halaunya meminta Bunga berjalan dahulu di hadapan.
Bunga mengetap bibir mengawal perasaan yang mendidih
tunggu masa nak meletup! Ingat dia anak kucing ke main nak halau-halau macam
tu.
"Kereta kau yang mana satu?" Soalnya tatkala
melepasi pintu keluar menuju ke ruang parkir.
"The yellow one, please ." Wafiy yang
sudah berdiri di sebelah Bunga menundukkan kepala sambil mengulung tangan
konon-kononnya mengalukan kedatangan Bunga yang bakal menaiki keretanya.
Cebikkan dibibir merah bak delima gadis itu membuatkan
Wafiy tergelak kecil melihat riak wajah meluat Bunga.
Kuning? Pantas dia melihat deretan kereta yang
terparkir di situ.
Ada dua kereta warna kuning. Yang mana satu? Bunga dah
garu dahi.
Myvi kuning? Okey, bukan sebab ada pemandu di dalam
kereta itu. Semestinya bukan kawan Wafiy atau sesiapa kerana lelaki di dalam
kereta itu sibuk mengadap telefon di tangan. Mungkin sedang tunggu seseorang
agaknya.
Bunga pandang pula kereta kuning yang lagi satu.
Err...biar betul!
"Yang mana?" Perlahan saja suara Bunga
menyoal. Please! Jaebal! Not that one! Jerit Bunga dalam hati.
"My Bubble Bee. Lets go."
No..no..no! Kepala Bunga tergeleng tidak percaya
apabila melihat langkah kaki Wafiy penuh yakin menuju ke arah kereta yang...err..
"Muat ke beg aku nak masuk ni?" Bunga kerut
dahi melihat Wafiy terbongkok-bongkok cuba memuatkan begnya di tempat duduk
belakang kereta.
"Muat!" Jawab Wafiy dengan gigi terkacip
rapat. Berpeluh-peluh dia mengangkat bagasi Bunga yang berat macam hape
aje. Bawa batu ke apa dalam beg ni?
Bunga serius tak rela nak naik kereta Wafiy. Serius!
Baik dia naik teksi aje la.
"Err.. Wafiy. Aku naik teksi aje la."
What! Wafiy laju berpaling merenung Bunga
tajam.
"Apa?"
"Jangan nak main-main. Aku dari Kedah ni tau. Tak
makan apa-apa lagi. Hargai la sikit usaha aku ni."
Peduli apa aku! Jawab Bunga dalam hati.
"Aku malu laaa," rengek Bunga. Dia dah macam
nak menitis air mata dah ni membayangkan dia akan naik kereta itu.
kereta Volkswagen kuning macam cerita hantu jalan Karak
tu! Sebijik!
Malu! Tak dapat bayang kereta ni nanti akan berjalan di
highway. Wargh!
"Nak malu apa?" Wafiy dah bercekak pinggang
di hadapan Bunga. Peluh di dahi dikesat dengan lengan baju.
"Kereta kauuu..."
"Apa? Kereta aku apa?" Sergah Wafiy bengang
bila Bunga tayang muka jijik pada kereta kesayangan dia.
Amboi! Biadap sangat!
"Ni kereta sport orang British dulu tau!
Siapa ada kereta ni, semua orang iri hati. Kau apa tahu!" Wafiy membebel
panjang. Pantang dia kalau ada yang memandang hina Bubble Bee dia ni. Mahal
tahu tak dia beli dulu.
Bunga mencebik. Ye la tu, itu dulu! Bukan sekarang.
Sekarang orang dah tak pandang dah kereta ni.
"Jom cepat!" Jerit Wafiy sedikit kuat
membuatkan Bunga terperanjat. Wafiy dah marah! Bunga terus membuka pintu di
bahagian penumpang.
Bam!
"Woi! Jahanam kereta aku!"
“Ops, sorry. TERKUAT pula tutup pintu reput ni.”
Bunga tayang muka bersalah pada Wafiy yang dah terbeliak mata.
Bahagian dalam kereta Wafiy diperhati. Mulut Bunga
sedikit ternganga. Terkejut bila melihat ruang dalam kereta itu yang nampak klasik
dan kemas. Bersih sungguh! Sarung tempat duduk dan dashboard semuanya diperbuat
daripada kulit berwarna krim. Terlampau kecil kereta itu sampaikan lutut Bunga
separas perut dia. Manakala bahu Wafiy hampir berlaga dengan bahu dia.
"Kereta apa ni? Layak jual dekat besi buruk aje
la. Larat lagi ke nak jalan kat highway ni? Gerenti serupa
kura-kura." Selamba Bunga menyindir padahal dia tahu, aura panas berapi
membara kuat di sebelah dia ketika itu.
"Kura-kura pun kalau lawan dengan arnab, kura-kura
menang tahu tak! So, better kau diam sebelum aku tinggalkan kau dekat
sini,” bidas Wafiy. Laju dia menurunkan brek tangan lalu menolak gear sebelum
menekan pedal minyak.
"Rupa dah ayu dah, tapi mulut puaka lagi."
"Ehem! Hello! I'm here." Bunga
lambai-lambai tangan pada Wafiy. Nak mengutuk pun jangan sampai aku dengar, please!
"Ops, dengar ke?" Wafiy tutup mulut
konon-konon dia dah terlepas kata. Padahal memang sengaja dia cakap kuat-kuat.
"I'm not deaf okay!" Grrr! Bunga
berpeluk tubuh melempar pandangan keluar tingkap yang terbuka luas membuatkan
rambut panjangnya berkibar kuat.
Argh! Serabai rambut aku.
Wafiy gelak kuat bergema satu kereta. Daripada secantik
bidadari tadi. Dah macam hantu Kak Limah dah rupa Bunga ketika itu.
SENYUMAN bahagia terukir di bibir Bunga
sebaik sahaja dia masuk ke dapur sudah terhidang pelbagai jenis lauk pauk di
atas meja makan. Rindukan masakan mama macamlah dia tercampak dekat Uganda
sana, padahal dia pergi ke Australia aje pun. Selepas puas berjalan di situ dia
terbang pula ke Korea. Tak lari jauh sangat pun sebab Bunga ni nampak aje muka
macam orang timur tengah hasil keturunan papa, tapi tetap juga cari masakan
melayu. Belacan tak tinggal.
“Waaa, Mak Nab ke yang masak ni?” Bunga bertanya pada
pembantu rumahnya yang sedang membasuh pinggan di sinki. Hanya ada Mak Nab saja
di situ tak nampak pula kelibat mama dan yang lain. Mungkin yang lain ada di
depan sedang berehat.
“Eh, tak la. Semua ni mama Bunga yang masak. Dia tahu
Bunga balik nak makan makanan yang dia masak.”
Bunga tersenyum suka. Macam tahu-tahu aje mama
ni.
“Bila nak makan ni?” Bunga dah gosok-gosok tangan
melihat lauk pauk yang terhidang. Tengah berkira-kira nak ambil yang mana dulu
nanti. Semuanya lauk kegemaran dia! Sukanya!
“Jet lag lagi?”
Sinis suara garau itu bertanya membuatkan Bunga pantas
berpaling ke belakang.
“Mama!” Bunga terjerit kecil, terkejut saat melihat
kelibat Wafiy dengan rambut yang panjang mengurai. Ceit!
“Dah kenapa? Ingat aku hantu ke?”
Mati terus muka terkejut Bunga lalu bertukar pula
dengan muka menyampah pada Wafiy yang memerlinya. Dah la rambut panjang lelaki
itu dilepas bebas. Selalu pergi salon ke apa mamat ni? Nampak lembut betul
rambut ikal dia.
“Sibuk aje.” Bunga menjeling bengang.
Wafiy tersenyum senget seraya menarik kerusi di meja
makan itu. Rambut yang panjang melepasi bahu itu diikat tinggi dan kemas di
atas kepala. Sampai-sampai aje dekat rumah tadi, Bunga terus meminta diri ke
bilik selepas melepas rindu pada orang tuanya dan tok daddy. Berjam-jam minah
seorang itu tidur dan baru bangun untuk makan.
“Tengok tu, pantang berjumpa mesti bergaduh.” mama
Bunga yang baru melangkah masuk ke dapur menggeleng kepala perlahan. Tak pernah
nak berdamai, dari kecil sampai besar asyik bertikam lidah aje.
Tok daddy yang turut masuk ke ruang makan itu juga
tersenyum senang melihat cucu-cucunya saling mengusik. Bagi dia usikan itu
semakin menambah keceriaan keluarganya.
“Orang kata sekarang selalu bergaduh tapi lama-lama
akan jatuh sayang.”
“Tok daddy!” Usikan Nik Borhan mengundang
jeritan cucu-cucunya.
Meletus gelak Mayang dan Ali saat melihat reaksi Bunga
dan Wafiy. Marah benar bila dikenenkan.
“Laa, betul la kan?”
Bunga mencebik. Mitos semata-mata. Bunga memang tak
percaya cakap orang. Bunga percaya fakta sahaja.
Dan Wafiy pula laju menundukkan kepala merenung pinggan
di atas meja. Mukanya berkerut-kerut kegelian membayangkan dia bercinta dengan
Bunga. Wek! No way!
“Kenapa muka macam tu? Jijik sangat ke aku ni?” Sergah
Bunga bengang bila ternampak mimik muka Wafiy.
Wafiy mengangkat wajah merenung Bunga yang duduk
bertentangan dengannya.
“Aku tak cakap apa-apa pun!” Sangkalnya bersungguh.
Bunga herot bibir tak percaya. Bajet suci aje muka dia!
Bunga tak buta lagi okey!
“Sudah jangan nak bergaduh lagi depan rezeki ni. Papa
dah lapar. Jom makan.” Ali segera memintas menghentikan perbalahan Wafiy dan
Bunga. Macam budak-budak! Nak kena kahwinkan agaknya dua orang ni baru nak
berbaik!
“Eh, mana Uncle Nick dan yang lain?” Soal Bunga tatkala
baru sedar tiada kelibat ibubapa Wafiy dan adik-adiknya. Patutlah nampak kurang
meriah.
“Tu la, tidur aje kerjanya. Diorang dah balik dah
petang tadi.” Wafiy menjeling Bunga sekilas.
Bunga mencebik. Semua yang keluar dari mulut Wafiy
kalau tak menyindir mesti sinis. Buat orang sakit hati aje.
“Uncle Nick dan Aunty Bella kirim salam pada Bunga.
Diorang kena balik cepat, Tok abah tak berapa sihat.”
Riak kerisauan terpamer. Ya Allah, harap tok abah tak
apa-apa. Dulu waktu Bunga kecil tok abah dan wan la yang menjaga makan minum
Bunga setiap kali Bunga ke Kedah. Tok abah tu datuk Wafiy belah Aunty
Bella.
“Tok dah tua sangat, tapi masih kuat lagi. Ni dia demam
sebab baru balik umrah. Biasalah perubahan cuaca,” terang Wafiy tanpa melihat
wajah Bunga.
Bunga mengangguk kecil. Kalau macam tu, syukurlah.
Harapnya Tok Abah akan cepat baik. Dia kena pergi ni melawat Tok dan wan di
Kedah. Dah lama dia terputus hubungan dengan Tok abah sejak kejadian di kampung
itu dulu. Bunga memang tekad dah tak mahu pergi ke Kedah lagi.
Ketika makan, Wafiy dan Bunga senyap saja mendengar
orang tuanya berbual kosong. Sesekali ditanya, mereka menjawab seadanya
kemudian kembali fokus pada makanan di hadapan mata. Bersungguh keduanya makan,
sehingga Wafiy bertambah nasi kerana kelaparan seharian tidak makan. Hanya
sempat menjamah sebuku roti coklat. Manakala Bunga pula memang rindukan makanan
mamanya.
“Kereta kat luar tu kamu punya ke?”
Wafiy mengangguk sambil tersengih pada Tok daddynya.
Kereta kesayangan kot. Dia beli dengan hasil titik peluh dia sendiri. Sampai
sanggup setiap kali cuti semester dia membantu tok abah di kampung. Ada masa
dia berada di syarikat pula tolong tok daddy. Lima tahun bekerja sambilan kemudian
meminjam sedikit wang dari daddy baru dapat beli kereta tu. Barulah rare!
“Perangai kamu sebijik dengan daddy kamu. Suka benda
lama-lama!” Ali tergelak. Itulah mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi. Teringat
akan Nick yang memang agak old school orangnya
Nik Borhan turut tergelak kecil. Sayu hatinya tatkala mengenangkan
si anak yang sudah menetap di Kedah. Nik Benjamin ingin duduk di kampung.
Seronok katanya duduk di sana. Mujur, anak, menantu dan cucu-cucunya itu sering
juga pulang menjenguknya di sini.
“Bukan benda lama la, uncle. Vintage!”
Apa barang benda lama. Vintage la baru nampak elegan sikit. Bisik Wafiy.
Bunga herot bibir. Vintage apa benda kalau
tunggu masa aje kereta kuning tu nak mati. Jalan pun semput-semput!
Usai makan malam, Ali meminta diri ke bilik bacaan
manakala, Bunga dan Mayang masih di dapur membancuh kopi dan memotong
buah-buahan buat pencuci mulut.
“Bunga bawa ke depan ya, mama nak tengok papa,” Mayang
menyua dulang air pada Bunga.
Bunga tergelak kecil seraya menyambut huluran
mamanya.
“Mama ni tak habis lagi ke nak bercinta dengan papa.”
“True love stories never have endings, ingat tu
sayang.”
“Eiii! Mama!” Bunga menjerit kegelian. Mama dan papa
ni, tak pernah tak romantik tau!
“Bunga rasalah nanti lepas Bunga kahwin. But for now,
bawa air ke depan. Kesian tok daddy dan Wafiy menunggu dari tadi.” Pesan Mayang
sebelum beredar dari situ.
Bunga menatang dulang air ke ruang tamu, di mana
terdapat tok daddy yang tersenyum nipis merenung Wafiy. Wafiy pula tekun
melihat skrin telefonnya.
“Tok daddy menungkan apa tu?” Bunga duduk di sebelah
datuknya. Pelik melihat Nik Borhan tersenyum panjang sambil merenung Wafiy.
Bunga tahu Wafiy tu cucu kesayangan Tok daddy, cucu sulunglah katakan. Tapi
takkan sampai tenung tak lepas kut.
Wafiy mengangkat kening pada Bunga sambil mencicip kopi
panas yang dibuat Aunty Mayang.
Nik Borhan menggeleng perlahan. Bahu Bunga dirangkul
erat. Dia merenung redup cucu-cucunya. Walaupun hanya ada Nik Wafiy dan Bunga
dia sudah terasa bahagia. Dulu, dia tidak tahu yang dia akan terasa begitu
sunyi tatkala anak-anaknya sudah punya keluarga sendiri. Ketika dia masih muda,
dia memang tidak pernah mengambil tahu perihal anaknya Nik Benjamin dan Ali
Kasim. Hidupnya tersasar jauh. Kini dia benar-benar bersyukur diberi kesempatan
untuk bahagia dengan keluarganya kembali.
Melihat cucu-cucunya membesar di hadapan mata
membuatkan dia sangat menghargai setiap detik mereka bersama. Kerana dia tahu,
masa itu tidak akan lama. Sekejap saja masing-masing akan meninggalkan dirinya
sendiri di rumah agam ini.
“Tak ada apa. Teringat cerita lama.”
“Cerita apa?” Wafiy menyoal laju. Dia memang suka
sangat dengar cerita Tok daddy. Cerita ketika Tok daddy mula-mula membina
syarikatnya di United Kingdom dan di situlah pertama kali Tok daddy berjumpa
dengan neneknya, Amira yang merupakan warganegara sana. Membuatkan dia
mempunyai darah orang putih.
“Cerita tentang kawan baik Tok daddy. Ali Baba.”
Bunga tersentak. Ali Baba tu datuk dia!
Nik Borhan tersenyum.
Iya, Ali Baba itu kawan baiknya. Dan juga merupakan
bapa kepada Ali Kasim. Datuk sebenar Bunga.
“Ali Baba meninggal sebab kena bunuhkan Tok daddy?”
Mata Bunga bergenang mengenangkan nasib keluarga papanya yang dibunuh ahli
kumpulan gangster ketika mereka menetap di UK dulu. Dia tahu semua cerita ni
dari papa.
Wafiy yang tidak tahu tentang kisah itu tergamam.
Takkan sampai berbunuhan? Dia tak sangka Uncle Ali Kasim yang nampak selamba
dan kelakar itu menyimpan cerita lama yang menyedihkan.
Nik Borhan mengangguk lemah.
“Tok daddy dan kawan-kawan dah cuba untuk selamatkan
keluarga papa kamu, Bunga. Tapi Tok daddy terlambat. Tok hanya dapat selamatkan
papa kamu saja malam tu.”
Bunga memeluk erat lengan Nik Borhan. Dia tahu selain
dia, Nik Borhan lah yang paling sedih atas kehilangan kawan karibnya itu.
“Terima kasih tok daddy sebab selamatkan papa Bunga,”
bisiknya. Kepalanya diusap Nik Borhan lembut. Begitulah keadaan dia setiap kali
duduk bersama dengan datuknya itu.
Jauh disudut hati Wafiy terselit rasa cemburu melihat
kemesraan Bunga dan datuknya. Dia dan adik-adiknya tidak semesra itu ketika
bersama Nik Borhan. Mungkin kerana mereka tidak tinggal bersama seperti Bunga
yang dari kecil dijaga lelaki tua itu.
“Tok daddy ambil papa kamu jadi anak kami. Nenek kamu
dan Nick suka sangat pada Ali. Tok rasa seperti dapat anak kedua. Ceria rasanya
rumah kami dengan kehadiran Ali.”
Nik Borhan tersenyum pada Bunga yang berada di dalam
pelukkannya. Kemudian dia menarik senyum pula pada Wafiy yang tekun mendengar
ceritanya.
“Wafiy dan Bunga boleh tolong tok tak?”
“Tolong apa?” Serentak mereka menyoal.
Nik Borhan diam seketika. Dia tahu, apa yang dihajatkan
ini mungkin berat bagi cucu-cucunya. Sama seperti dia memaksa Nik Benjamin
mengambil alih syarikatnya dulu. Walaupun dia tahu keinginan anaknya adalah
menjadi doktor tapi ketika itu dia langsung tidak peduli asalkan ada pewarisnya
yang akan menggerakkan kerja-kerjanya.
“Tolong teruskan hubungan kekeluargaan kita. Ali Baba
dan Nik Borhan. Ali Kasim dan Nik Benjamin. Bunga dan Wafiy.”
Bunga dan Wafiy saling berpandangan seketika.
Kemudiannya mereka mengangguk setuju dengan yakin.
“Boleh!” Wafiy dan Bunga bersuara semangat. Dia orang
takkan buat Tok Daddy kecewa.
Lepasni Bunga dan Wafiy takkan gaduh-gaduh lagi sampai
buat Tok Daddy sedih tengok dia orang bertikam lidah. Mesti Tok Daddy takut
kalau Wafiy dan Bunga tidak bertegur sapa dan asyik bergaduh sampai ke
tua.
“Boleh?” Dahi Nik Borhan berlapis-lapis.
Sekali lagi mereka mengangguk laju.
“Tok Daddy jangan risau! Kitorang okey aje!” Wafiy
tersengih. Bunga pun tayang sengih pada datuknya itu.
“Kami akan berbaik! Asalkan Tok Daddy tak sedih lagi.”
0 comments:
Post a Comment