Sunday 20 August 2017

Dia Jejaka Eksklusif [Hikayat Seorang FIN]- Bab 15

MARK tolak kerusi roda milik emaknya itu berdekatan meja makan di dapur. Mark kata dia nak memasak untuk makan tengah hari mereka hari dan si emak merayu nak teman Mark. Beria-ia mak membebel pada dia di dalam bilik tadi. Kata bosanlah, rasa lemas terperuk dalam bilik saja tanpa buat apa-apa.
Dah kalau kaki dan tangan berbalut macam tu, memang tak la Mark nak bagi Puan Rahmah bergerak bebas macam selalu.
“Mak duduk sini tau. Jangan buat apa-apa, tangan tu berbalut lagi tu.” Mark bagi amaran awal-awal pada emaknya itu. Tahu sangat kalau alpa sikit, ada saja benda yang emaknya buat. Mengemas la apa la. Hish!
Puan Rahmah yang keseorangan duduk di kerusi roda itu mengeluh panjang. Bosannya. Meja makan yang kosong itu direnung. Itu je la yang dia mampu pandang.
Manakala di dapur, Mark pasang lagu daripada telefon sendiri. Bergema lagu jenis hip hop di segenap dapur itu.
Mark siap sedia menyarung apron. Sebelum masak, Mark asah dulu pisau-pisau yang ada di dapur. Memang kerja dia sejak dulu lagi sebab si emak memang malas nak mengasah katanya.
Lepas asah pisau, ayam yang telah dikeluarkan untuk dinyah beku diambil lalu dibawa ke singki. Nak potong kecil-kecil untuk dimasak paprik. Sayur-sayur untuk dimasukkan ke dalam paprik juga turut diambil untuk dipotong kemudian nanti.
Mark hilang dalam dunia memasaknya, gigih memotong bahan-bahan memasak satu persatu. Sampai tak sedar langsung ada mata nakal yang memerhati sejak tadi.
Iris berdiri sedikit jauh dari ruang masuk ke dapur. Tak nak Mark perasan akan kehadirannya. Kalau Mark tahu gerenti dia dihalau lelaki itu. Habislah nanti peluangnya nak mengintai jejaka edisi terhad itu.
Kebetulan tadi dia hantar lauk yang umi kirim dan disambut Puan Rahmah di muka pintu. Puan Rahmah siap jemput Iris masuk ke dalam rumah dulu sementara dia nak tukar mangkuk dan pulangkan semula mangkuk milik Iris.
Tapi cepat-cepat Iris halang. Dia yang tawarkan diri untuk tolong Puan Rahmah menukar mangkuk. Lalu Puan Rahmah mintak Iris bawa dia ke dalam bilik untuk solat zuhur.
Tak sangka pulak Mark ada di dapur sedang memasak. Iris ingat Mark masih tidur lagi di tingkat atas sebab lelaki tu kan suka tidur lepas subuh.
Rezeki kaulah, Iris... Kekeke. Iris gelak tanpa suara.
Aww! Orang kata lelaki yang memasak itu hot! Iris tambah lagi peratus lelaki idaman untuk Mark. Tambah 20 peratus!
Iris tergelak kecil bila dikira-kira peratus untuk Mark terlebih daripada 100 peratus. Itu tandanya superheronya memang betul-betul luar biasa!
Tengok la tu! Mark menari-nari pergi ke arah peti sejuk. Lalu dia menunduk mencari sesuatu di bahagian laci. Siap bergoyang punggung! Bila jumpa barang yang dicari Mark bergerak semula ke arah singki.
Sambil dua biji tomato di tangan dibaling-baling seperti gaya badut sarkas! Omooooo! Inikah sifat semula jadi Mukriez Akmal?
Lagu hiphop berbahasa Inggeris bertukar kepada lagu Melayu pulak.
“Dan bila kau hadir bagai satu misteri! Ternyata diriku seperti telah dijampi! Dan bila kau hambakan hatiku kembali. Ternyata hanya kau harus kucintai!”
Amboi! Lobak merah dah bertukar menjadi mikrofon! Makin menarik ni. Konsert Mukriez Akmal makin mengancam!
Cepat-cepat Iris letak mangkuk lauk dekat atas meja. Takut terlampau terkejut, terpecah pulak mangkuk tu.
“Ha...ha...ha. Aku ketawa.” Mark gelak-gelak dengan lirik lagu tu. Lawak punya lirik!
Tengok Mark ketawa membuatkan Iris turut tergelak kecil. Tapi cepat-cepat dia bawa tangan naik tutup mulut. Dia masih nak tengok pertunjukan rare ini! Kalau kantoi, gerenti lelaki itu menamatkan pertunjukan yang best ni.
“Ternyata yang aku cintai!” Suara Mark nyaring. Penuh emosi. Vokal siap dijaga rapi. Serentak lagu itu tamat, Mark turut berpaling ke belakang untuk mengambil pinggan yang terletak di dalam kabinet.
Tapi elok sahaja dia berpaling...
Erk!
Prang! Sudip di tangan terlepas ke lantai. Mata terbeliak besar. Mulut melopong luas.
Iris!
Iris tergelak bila tengok muka terkejut Mark. Riak muka itu sungguh limited edition! Jarang nak nampak ni. Kalaulah Iris bawa telefon, gerenti dia dah tangkap gambar lelaki itu sekeping dua.
Atau pun pertunjukan Mark tadi, dia buat live di Facebook!
“Kau buat apa dekat sini?” Muka Mark merah padam pandang Iris.
Ya Allah! Mana nak disorokkan mukanya ketika ini. Memang dia tak sanggup sungguh pandang muka Iris yang terkemut-kemut menahan senyum.
Argh! Malunya!
Iris menyeringai suka. Sengih ditayang pada Mark walaupun lelaki itu tak pandang wajah dia. Malu la tu!
“Saya hantar lauk. Nak tukar mangkuk.” Mangkuk lauk di atas meja segera diambil lalu dihulur pada Mark.
Sedikit teragak-agak Mark mengambil. Segera dia berpaling membelakangi Iris. Tangan lincah menukar mangkuk lalu bergerak ke singki untuk membasuh mangkuk Iris terlebih dahulu.
Dalam masa yang sama, Mark rasa belakang badan dia macam tembus berlubang! Dia tahu mata Iris tajam mengekori setiap gerak langkahnya. Selesai membasuh mangkuk, Mark lap bagi kering lalu ayam paprik yang sudah siap dimasak itu, dicedok ke dalam mangkuk Iris. Nak membalas budi.
Serba tak kena dia mendekati gadis itu yang berdiri pegun di luar ruang memasak itu. Tanpa suara, mangkuk terisi ayam paprik dihulur.
Iris kemam bibir yang rasa nak terkoyak dek kerana terlampau gembira. Dapat rasa masakan Mark!
Iris tahu lelaki itu malu. Jadi dia tak nak kacau emosi Mark lagi. Diam-diam saja dia mengambil mangkuk yang dihulur Mark.
“Terima kasih,” ucap Mark dengan riak biasa.
Iris yang hampir meletus gelak segera mengangguk laju dan meminta diri untuk pulang ke rumah. Kalau berlama di rumah anak teruna orang ni, takut makin bertambah pulak peratus lelaki idaman Iris untuk Mark.
Tengok gadis itu berpaling menuju ke pintu rumah. Mark tepuk dahi. Hish! Segannya. Apatah lagi sejak dia sedar telah mula jatuh hati dengan si ketot itu.
Aduhai! Malunya. Mana kau nak letak muka kau ni Mukriez! Malu! Malu! Mark garu pelipis sendiri. Gelak kecil meletus dek kerana terasa malu gelagatnya telah ditonton Iris. Nasib kau la labu!

IRIS suap ayam paprik ke dalam mulut. Uh! Terpejam matanya dek kerana terlampau menghayati setiap ramuan, sos, bahan-bahan dalam paprik itu. Malah dia seperti dapat merasai kasih-sayang si tukang masak yang masak lauk itu.
Tambah 10 peratus untuk masakan penuh kasih sayang ini!
“Woi!”
Burrrrr!
“Uhuk! Uhuk!” Iris tepuk dada yang terasa perit. Muka naik merah padam. Mata mula berair menahan perit tersedak. Rasa macam masuk hidung nasinya itu!
“Ya Allah, Iris! Makan apa sampai tersedak macam tu sekali tu.” Laung Puan Laili dari dapur.
Iris renung tajam along yang tergelak-gelak sambil melabuh duduk di hadapan dia di meja makan itu.
Air yang dihulur Ikmal dirampas Iris dengan  geram lalu diteguk rakus. Setelah reda, Iris terus memarahi abangnya.
“Apa ni along! Main sergah orang je. Salam mana?”
Ikmal gelak-gelak.
“Jangan la marah. Adik tu yang makan siap terpejam mata, padahal makan nasi je pun,” bidas Ikmal selamba.
Iris mengeram geram. Tangan kembali dibawa ke pinggan, nak sambung makan. Tapi saat melihat mangkuk ayam paprik di hadapan mata.
Iris menjerit lantang.
“Along!!!”
“Apa? Apa?” Ikmal yang tak tahu apa-apa terpinga-pinga bila dijerit Iris.
Manakala Puan Laili di dapur sekali lagi menjerit terkejut dengar jeritan anaknya itu.
“Iris! Apa tu?”
Mata Iris dah bergenang. Dia tersembur segala nasi dan lauk dalam mulut tadi ke dalam mangkuk ayam paprik yang Mark bagi!
Tidak!!!
Ikmal mula faham bila tengok kepada arah anak mata Iris.
“Maaf. Maaf. Along pergi tukar yang lain okey.” Ikmal dah siap berdiri untuk menukar mangkuk ayam paprik.
Iris pegang lengan Ikmal saat lelaki itu mengangkat mangkuk paprik.
“Tak payah. Ni bukan umi yang masak. Ni Mukriez yang masak.” Suara Iris tenggelam timbul menahan kecewa. Sungguh dia kecewa! Sungguh! Dia baru rasa seketul je lauk ayam paprik Mark. Itu pun mujur dia dapat rasa. Tapi dia tak puas lagi!
“Err... “ Ikmal garu-garu kepala yang tak gatal. Aduhai...apa hal gaya macam batu belah batu bertangkup ni?
“Err...”
“Iris dah kenyang.” Segera dia bangun dan bawa pinggan ke dapur. Umi yang pandang pelik pun Iris tak endahkan. Hatinya sungguh terkilan.
Ikmal pandang lauk ayam paprik dalam mangkuk yang dah tak serupa ayam paprik. Serupa nasi campur la pulak.
Mukriez...ooo..Mukriez. Hebat betul penangan kau ek.
Tiba-tiba telefonnya berdering.
“Helo!”
“Tuan, kami dah dapat tangkap orang yang langgar Puan Rahmah.”
Ikmal tersenyum. Alhamdulillah.
“Semua ni dirancang, tuan.”
Dahi Ikmal berlapis. Dirancang? Maksudnya Puan Rahmah atau Mukriez ada musuh ke?
“Maksud kau?”
“Tuan boleh datang sini bila?”
Ikmal usap dagu. Macam serius kalau sampai Sarjan Husni siap tak nak bagi tahu melalui telefon.
“Aku datang sekarang,” putusnya lalu bergegas keluar dari rumah.

Dia Jejaka Eksklusif [Hikayat Seorang FIN]- Bab 14

BERGEGAR rasanya kedai mamak tepi jalan itu bila penyokong Kedah bersorak-sorak dek kerana pemainnya berjaya menjaringkan gol. Manakala, penyokong Pahang dah tayang muka panas je tengok si baju jersi kuning hijau itu beria menjerit.
Malik yang berasal dari Pahang berdecit sebal. Aduhai! Nampak gaya corak permainan ni, mahu Pahang kalah ni. Makin buat Malik geram bila Zainal tersengih-sengih depan dia tayang muka bangga. Kawan tu orang Kedah der! Mahu tak kembang kempis hidung dia.
Black tergelak-gelak. Dia tak sokong mana-mana sebab dia bukan orang Malaysia pun! Dia orang Arab tapi kena paksa datang sini. Tak pasal-pasal dia jadi orang Malaysia.
Tapi yang Black pelik bila perasan Mark macam berada di dunia dia sendiri. Termenung tenung teh tarik yang tinggal separuh. Mark memang seorang pendiam, tapi selalunya tak adalah sampai termenung macam tu.
“Mark, kau kenapa? Aku tengok asyik termenung je.”
Mark tersentak sedikit. Pantas dia kalih melihat Black yang menyorot dia dengan pandangan tanda tanya. Tanpa jawapan hanya kepala yang menggeleng.
“Kau risaukan mak kau ke?” Zainal pula menyoal.
Sekali lagi kepala menggeleng. Emaknya dah keluar hospital tengah hari tadi. Lepas mak dia terlelap tadi, baru dia keluar melepak dengan kawan-kawannya itu.
“Kau boleh kongsi la Mark. Jangan pendam sorang bro. Kau jarang termenung,” pujuk Black lagi.
Mark senyum segaris pada Black. Wajah penuh tanda tanya Malik dan Zainal dikerling sekilas. Jari telunjuk mengetuk-ngetuk permukaan meja sambil otak cuba menyusun ayat agar tidak disalah sangka oleh kawan-kawannya.
“Mak aku suruh kahwin.” Ayat pembukaan terkeluar perlahan.
Namun, Black, Zainal dan Malik yang dengar macam ada bom atom meletup dekat sebelah diorang.
“Kau kahwin?” Serentak mereka bersuara tidak percaya.
Mark kahwin? Mamat tu girlfriend pun tak ada! Lain la kalau Malik, Zainal atau Black. Dulu, mereka tukar perempuan macam tukar spender! Sekarang je dah baik dah.
Mark dah tahu reaksi seperti itu yang akan dia terima. Jadi dia hanya buat muka tak ada perasaan saja. Tangan naik berpeluk tubuh dan badan bersandar selesa pada kerusi plastik itu.
Perlawanan bola sepak dah tak jadi perhatian diorang pulak sekarang. Masing-masing tayang muka fokus dan serius umpama sedang menyelesaikan masalah negara.
“Aku tak tahu nak buat apa. Dah 52 calon mak aku aturkan.”
“Ooooh.. aah! Hari tu tu.” Malik baru teringat kisah Mark bertemu calon 52 tetapi tiba-tiba ada perempuan yang berlakon jadi isteri rahsia lelaki itu.
“Yang kata wife rahsia kau tu? Yang mengandung tu?” Tebak Black.
Bibir Mark ternaik sedikit bila teringat kisah tu. Iris si drama queen.
“Tu calon mak aku yang ke 51.”
“Giler banyak calon mak kau atur. Takkan sorang pun kau tak berkenan.” Black betulkan duduk. Disebabkan perbincangan makin serius. Dia siap lipat lengan baju ke siku dan bertongkat siku pada meja sambil merenung Mark.
“Aku tak tahu.” Kepala Mark tergeleng perlahan.
Malik dan Zainal saling berpandangan.
“Orang kata kalau ragu-ragu tanda ada sikit la tu berkenan.”
Black pandang Malik. “Aku tak pernah dengar pun ayat macam tu.”
Malik menyeringai. Belakang kepala digaru.
“Eh...tapi boleh pakai kut ayat kau tu.” Black terangguk setuju pulak.
“Kalau kau tak suka. Kau cakap tak suka. Tapi sekarang, kau macam ragu-ragu pulak. Kau ada suka sesiapa ke?”
Mark angkat bahu tanda tak tahu.
Seketika, rambut diramas kasar. Dia pun keliru dan buntu nak tafsir diri sendiri. Ni pertama kali dia dekat dengan seorang perempuan selain emaknya.
Black gelak-gelak.
“Alamakkk.... Encik Fin kita dah jatuh cinta la wei!” Bahu Malik dan Zainal yang duduk di kiri kanan dia ditepuk bersemangat.
Mark yang berhadapan dengannya makin tak keruan.
“Jatuh cinta tu macam mana?” Soalnya perlahan. Entah kenapa terasa panas pulak muka dia bila menyoal soalan tentang cinta.
Dan-dan muka tiga orang lelaki itu menyeringai miang membuatkan Mark yang faham dengan riak muka itu makin tertekan.
Rasa nak simbah saja air teh tarik depan dia ni dekat muka Malik, Zainal dan Black! Menyampah Mark tengok.
“Meh berguru dengan Abang Black hero Malaya. Kenapa kena pilih abang? Sebab abang ni 99 peratus lulus menakluk wanita. Pengalaman? Dah duduk dalam industri menakluk wanita ni selama 20 tahun! Sejak abang lapan tahun lagi dah berdating. Jadi mari berguru dengan abang.” Dada ditepuk bangga.
Mark panggung kepala. Apa la yang Black ni membebel. Muka berkerut pandang Black yang tersenyum lebar macam baru lepas dapat anugerah.
Malik dan Zainal tergelak-gelak tengok Black. Mereka pun tak legenda lagi macam Black, baru lima tahun dalam industri menakluk wanita.
“Kau jangan ragu-ragu Mark nak berguru dengan sifu Black ni. Aku dan Zainal dah jadi anak murid dia. Kitorang ada testimoni.” Heee... sengih ditayang.
Tergeleng kepala Mark dibuatnya. Diorang ingat jual produk ubat kuat ke apa nak ada testimoni. Bengong!
Tapi sebab si Iris yang dah mencelarukan fikirannya. Yang dah membuatkan Mark murung dan asyik termenung saja, nak tak nak dia mengangguk jugak kepala.
Yes! Sifu Black dah ada anak murid baru. Tak lama lagi sifu boleh bukak kelas secara rasmi.” Malik mula membodek Black.
Black yang sememangnya pantang dibodek terus kembang kempis hidung menahan riak.
“Okey. Lepas ni panggil aku Doktor Cinta Black. Meh kita ubati penyakit Mark ni sekarang. Bahaya dibiarkan lama-lama. Melarat nanti. Ada dia tersalah bunuh orang karang.” Black sapu-sapu tangan sendiri.
Muka Mark yang seperti biasa beku itu direnung tajam penuh serius.
“Dah berapa lama kau mula rasa tak tenang?”
Yang lain mula pelik dengan soalan Black. Ada kaitan ke?
“Er... baru je.” Walaupun pelik tetap Mark menjawab.
“Baru tu bila? Specifically when?
“Sejak jumpa calon 51.”
Kepala Black terangguk puas hati.
“Cerita pada aku, simptom-simptom yang menyebabkan kau termenung dan celaru ni.”
Pergh! Macam doktor betul dah ni.
“Er....”
Black yang tengok Mark macam ragu-ragu itu memujuk Mark agar terbuka bercerita pada mereka.
“Ala cerita je. Kitakan kawan.”
“Okey, macam ni ceritanya.” Nafas ditarik Mark dalam-dalam.
“Aku tak tahu kenapa dengan dia aku boleh marah, geram, tapi tiba-tiba ketawa, tersenyum. Lepas tu aku rasa sakit hati gila.”
“Berapa beat jantung kau bila dengan dia?”
Mark tengadah. Apa Black ingat dia ni mesin kira denyut jantung berapa ke? Manalah dia tahu!
“Opss! Maaf, salah soalan. Maksud aku... kau rasa tak jantung kau berdenyut laju bila dekat dengan dia. Bila tengok dia dengan lelaki lain kau rasa nak bunuh lelaki tu.”
Berdenyut laju? Bila Iris senyum. Dia rasa berdebar. Kadang-kadang bila mata mereka bertaut, dia rasa terperangkap dalam satu tempat yang luas tapi tak ada sesiapa, membuatkan dia nak cepat-cepat larikan anak matanya.
Lelaki lain? Tentang lelaki baby tu ke? Adalah jugak rasa nak bunuh kejam lelaki tu dan tanam tujuh kaki ke dalam tanah.
“Sah!” Black menyergah kuat membuatkan Mark yang mengelamun itu terperanjat sampai bahu terangkat.
Bukan Mark je, Malik dan Zainal pun hampir melatah terkejut!
“Apa yang sah?”
“Kau jatuh cinta la batu!” Selar Black menahan geram dek kerana Mark ni terlampau blur kalau melibatkan wanita.
Aduhai! Kesian la calon 51 tu. Semestinya Mark ni tak romantik! Jadi, disebabkan Black memang dilahirkan menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab dan romantis. Black kena ajar Mark supaya melayan cinta hati lelaki itu selayaknya.
“Huh! Tengok... Mujur ada Sifu Black tahu tak. Kalau tak, gerenti sampai ke sudah mamat beku ni membatu je sepanjang hayat. Tak ada progress langsung!” Black masih bangga dengan kebolehannya.


Dia Jejaka Eksklusif [Hikayat Seorang FIN]- Bab 13

MATA mencerlung garang pada Malik dan Zainal membuatkan kedua lelaki itu tunduk menikus. Setelah menghantar Detektif Kamal pulang ke rumah, mereka bertiga bergegas menuju ke kilang Batman. Lantas Mark membawa kesemuanya masuk ke dalam bilik kebal yang menjadi pejabat Mark.
“Mark, aku mintak maaf...aku mintak maaf!” Malik merayu-rayu meminta simpati.
Mark tak peduli! Bengang kerana Malik dan Zainal yang sentiasa culas menjalankan kerja. Dah la jatuhkan kredibiliti Mark sebagai bekas Fin!
Tambah lagi bengang bila teringat mamat jambu dengan Iris tadi.
DOUBLE BENGANG!
Lalu tanpa belas kasihan habis dipukulnya Malik dan Zainal bertubi-tubi. Macam punching bag, Mark buat Malik dan Zainal ketika itu.
“Mark, sakit la!”
“Erghh!” Biar! Asalkan marahnya terluah!
Perlahan-lahan Malik dan Zainal cuba mengengsot menjauh dari Mark yang sudah terduduk dek kerana lelah memukul mereka.
Muka lelaki itu berkerut resah dengan wajah yang dibasahi peluh. Kenapa aku terkesan sangat ni? Bisik Mark bila dia sendiri mula tak faham kenapa perasaannya bercelaru begini.
Tangan yang terpalit darah Malik dan Zainal direnung. Rasa bersalah pada dua orang pengikutnya itu. Dia membelasah bukan kerana nak mengajar, sekadar nak meluah rasa marah.
Allah... kejamnya dia. Rambut dicengkam kuat dengan kepala menunduk menekur lantai.
Malik dan Zainal berkerut-kerut menahan sakit. Muka mereka lebam sana sini. Bibir berdarah! Pasti susah mereka nak makan nanti.
Puih! Malik meludah segumpal darah ke tepi. Tulang betis dilurut dengan tangan. Terasa sengal dek kerana disepak Mark.
“Mark, kau tak pernah pukul kitorang teruk macam ni.” Malik merungut dengan mulut berdesis sakit.
Mark bangun dari duduknya. Lalu kaki melangkah keluar dari pejabatnya itu.
“Sebab aku selalu lepaskan kaulah makin bebal aku tengok,” ujarnya selamba lalu menghilang dari situ.
Zainal yang diam menahan sakit direnung Malik bengang.
“Kejam!” Pekik Malik meluah marah.
Mark yang kembali masuk ke dalam bilik itu dengan kotak first aid di tangan tergelak sinis.
“Macam aku peduli!”
Mark duduk depan Malik dan Zainal. Kotak first aid dibuka.
Grrr! Malik makin panas hati. Sejak bila Mark jadi jahat gila dengan dia ni!
“Jahat!” Bentaknya sambil memegang rahang yang terasa berdenyut dek kerana membuka mulut.
Mark pandang Malik dengan kening ternaik sebelah. Tangan yang lincah mengeluarkan kapas dan beberapa ubat untuk membersihkan luka terus terhenti.
“Kau ingat kau girlfriend aku nak merajuk?”
Tengok Mark macam mula nak mengamuk balik, Malik terus mencebik sedih.
Perlahan Mark mengeluh perlahan. Malas nak melayan kerenah Malik yang macam budak kecil, dia menuang ubat kuning pada kapas. Tanpa amaran, terus ditenyeh kapas itu pada hujung bibir Malik.
“Aduhhhh!! Sakitlah, Mark. Sial!”
Sial? Nanti kau. Tangan menekan lagi kuat.
“Ampun!!! Sakit, Markkkk.” Malik menggelupur menjauhkan diri.
Mark tahan senyum. “Lain kali jangan nak sebut sial-sial tu. Tak bagus tau tak! Dengar dek budak-budak kecik, budaya tak bagus tu. Korang nak esok-esok anak korang cakap sial kat korang?”
Erk! Malik dan Zainal saling berpandangan. Apasal Mark macam alim sangat ni? Bukan ada budak-budak pun kat sini!
Kapas ditukar lalu Mark beralih pulak pada Zainal. Nak tergelak dia bila tengok muka Zainal yang takut-takut merenung dirinya.
“Meh la aku ubat. Kang ada jangkitan, mahu berkulat pulak muka kau karang.”
Dengar ayat ganas Mark, segera Zainal menyua mukanya pada Mark untuk diubati.
Hish! Malik dan Zainal ni macam budak-budak! Dah macam adik dia pulak.
“Sejak bila kau jadi macam ni? Selalu buat tak peduli.” Zainal berbisik perlahan.
Mark hanya mendiamkan diri. Luka di tangan Zainal pulak dia ubati.
“Ingat aku tentera Israel ke?”
Ada la sikit, getus Malik dan Zainal dalam hati. Mata saling berpandangan seketika dan tersenyum sinis bila mereka tahu apa yang masing-masing fikirkan.
Mark bangun dari duduknya. Seluar yang sedikit kotor di bahagian punggung ditepuk-tepuk menghilangkan habuk.
“Aku blah.” Kotak pertolongan cemas disambar lalu terus bergerak perlahan meninggalkan bilik itu.
Malik dan Zainal dah tercengang. Blah macam tu je?
“Kau nak pergi mana?” Malik sibuk nak jadi kepochi.
Mark sungging sengih.
“Mak aku warded.”
Terkejut Zainal dan Malik mendengar Puan Rahmah yang sudah dianggap seperti ibu sendiri itu telah dimasukkan ke hospital. Lantas dengan langkah yang terencot-encot dia mendapatkan Mark yang sudah menghilang di sebalik pintu.
“Sakit apa wei?” Laung Malik dengan muka berkerut menahan sakit.
Accident.”
Mark masuk dalam kereta. Enjin dihidupkan lalu tidak berapa lama kereta diundur laju dan berdesup menghilang dari situ.
Malik dan Zainal sekali lagi ternganga. Bagi asap je dekat diorang? Mark tak nak ke bawak diorang pergi hospital. Dah alang-alang nak pergi melawat emak si Mark. Sepatutnya bawak la mereka sekali untuk dirawat!

MARK menahan kuap sambil membuka pintu pagar luas-luas untuk dia keluarkan keretanya. Dia nak pergi cari sarapan. Lapar sangat sejak semalam tidak menjamah makanan.
Dia telah meminta cuti selama seminggu untuk menjaga Puan Rahmah. Mujur King meluluskan cutinya. Semalaman dia menemani emaknya di wad. Malam tadi emaknya sengal-sengal kaki kiri yang lebam akibat daripada kemalangan itu. Kesian Mark melihat emaknya tidak dapat tidur lena. Sudahnya dia tolong letak minyak panas dan urut-urut kaki tua itu.
Baru pagi tadi lepas subuh Mark balik sekejap untuk tidur barang sejam dua. Nanti jam 11:00 pagi dia akan menjemput emaknya yang dah dibenarkan pulang.
Sejurus membuka pagar besi itu, Mark yang baru berpaling hendak menuju ke kereta ditegur seseorang.
“Hai awak!”
Grrrr! Dia ni lagi! Getus Mark dalam hati seraya berpaling pandang Iris yang tersenyum cantik pada dia.
“Apa hai..Hai!” Muka menyampah ditayang pada Iris.
Iris yang dah biasa dilayan seperti itu dengan Mark dah tak rasa apa-apa. Malah dia rasa Mark ni macam budak kecil! Suka tarik muka depannya.
“Manalah tahu dengan perkataan ‘Hai’ tiba-tiba menjadi permulaan perhubungan kita sehingga ke Jannah. Kita tak tahu kan?” Kening dinaik-naik macam buat tarian wave!
Tergeleng kepala Mark dengan minah sengal depan dia ni.
“Kau ni memang pengaruh barat kuat!”
Iris sengih. Mata dikelip-kelip.
“Oh...awak tak nak cara barat ke? Awak nak hubungan kita gaya couple Islamik?”
Pulak dah! Mark ramas rambut dengan sebelah tangan. Kemudian muka Iris direnung tajam.
“Pergi buat couple Islamik kau tu dengan mamat membabykan kau semalam!”
Iris terdiam. Muka mula berkerut-kerut tak faham.
“Membabikan?” Soalnya polos dengan mata membulat besar pada Mark. Tak percaya ada orang telah mengkhinzirkan dia!
“Ya Tuhankuuuu! Baby laaa. B.A.B.Y!” Tekan Mark bersungguh.
Iris gelak-gelak. Lawak tengok muka lelaki itu yang beria mengeja dengan mata terbeliak.
“Oooo..Mikhael ke?”
“Ada aku peduli?” Muka bosan ditayang pada Iris.
Eh..eh! Bau orang panggang hatilah? Berasap-asap.
“Cemburu ek?” Jari dituding depan muka Mark dengan muka menyeringai suka.
Pantas Mark menjegilkan matanya.
“Jangan nak macam-macam la, Girl!” Tepisnya. Muka dah kelat-kelat masam je ketika itu.
Iris kulum senyum. Hati tiba-tiba buat sorakan pompom.
“Kau nak apa? Aku nak cepat ni!”
Menyampah Mark tengok mulut Iris yang macam nak senyum tapi ditahan-tahan. Ceh! Bajet ayu la tu. Putus urat kentut baru tahu. Kalau nak senyum, senyum jelah! Aku pun suka tengok.
Eh? Suka tengok? Apa aku melalut ni! Sah otak aku bengong sebab tak cukup tidur.
“Awak nak pergi tengok mak? Saya nak ikut!”
“Tak boleh! Aku nak pergi makan dulu. Lagipun mak dah boleh balik hari ni.”
Tak kuasa nak berdua-duaan dengan si Iris dalam kereta. Sesak rasa! Kereta yang besar tiba-tiba macam duduk dalam kereta sorong kalau ada Iris sekali.
“Baguslah tu. Boleh kita pergi makan berdua.”
Grrrr! Memang tak faham bahasa betul la minah ni.
“Aku kata tak boleh!” Mata dah terpejam rapat menahan sabar.
“Kenapa tak boleh?” Iris selamba menyoal, makin buat Mark rasa nak hantuk kepala sendiri dekat but kereta.
“Aku tak nak!”
“Kenapa tak nak?”
“Sebab aku tak suka!”
“Kenapa tak suka?”
“Aku bengang dengan kau!”
“Saya buat apa?”
“Kau dengan mamat membabykan kau semalam!”
Eh? Mark terkedu. Apa aku cakap?.
Iris tersenyum. Yes! Cemburu! Cemburu! Cemburu!
“Aloloooo... comelnya dia jealous. Janganlah jealous-jealous. Mikhael tu lembut tahu tak! Selembut sutera! Saya minat lelaki dingin mulut puaka macam awak je.” Badan mula meliuk lentok gaya nak pujuk Mark.
Mata Mark membulat besar.
“Jangan nak perasan!”
Lalalala.... Iris tak nak dengar! Yang penting Mark cemburu.
“Kata lapar. Jom makan!” Terus dia menolak tubuh Mark ke tepi dan dengan selamba dia masuk ke dalam kereta Mark.
Mark terlopong tengok Iris yang dengan selesanya dah duduk dekat tempat penumpang di sebelah pemandu. Malah gadis itu siap menggamit dirinya agar segera masuk ke dalam kereta!
Kau memang buat aku jadi gilalah, Iris!
 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template