“MAK,
cepat mak.” Pintu bilik mak diketuk bertalu-talu. Badan dia rasa belenggas dan
berbau semacam kerana seharian tak kena air.
“Sabar boleh tak! Aku nak cari tudung
aku ni.”
“Pakai ajelah telekung mak. Karang
orang penuh kat surau malu pulak kita nak mandi.” Bebel Hanim depan pintu bilik
mak.
Mak buka pintu dengan muka bengis.
Geramkan Hanim yang membebel macam mak nenek!
“Dah siap. Jom!” dengus mak lantas
terus keluar dari bilik.
Hanim tersengih.
Pada
jam 5 pagi, Hanim dan mak berjalan kaki menuju ke surau yang berada tidak jauh
dari rumah mereka. Di tangan masing-masing ada beg plastik berisi peralatan
mandi, tuala dan telekung.
Alang-alang
nak mandi di surau, mereka terus saja solat subuh di sana. Takkan nak terus
balik, nanti apa pula kata orang kampung yang datang ke surau. Sampai di rumah,
abah dah terpacak depan pintu dengan muka bengis.
"Kau
tak bayar bil ke? Panas tahu tak duduk kat rumah ni! Dah la aku nak mandi tak
ada air!" Kepulangan Hanim dan mak disambut dengan jerkahan abah.
Kedua
wanita itu hanya tayang muka tak ada perasaan. Dah mati rasa dengan perangai
lelaki tua itu.
"Abah
pergi mana malam tadi tak balik?" Soal Hanim berani.
"Kau
jangan nak masuk campur hidup akulah! Kau tu jalankan tanggungjawab sebagai
anak! Barang dapur pun tak ada. Aku lapar!"
Mak
geleng kepala perlahan. Mati kata mahu berlawan lidah dengan suaminya itu. Dah
24 tahun mereka bersama, dia masih tak habis fikir cara permikiran lelaki
bernama Hasan itu.
Hanim
tergelak sinis. Kepala yang bertutup dengan telekung digaru walaupun tak gatal.
Dengan selamba dia menghayun langkah mendaki anak tangga rumah papan itu dan
berdiri betul-betul depan abahnya.
"Hanim
tahu tanggungjawab Hanim. Tapi abah tu? Sedar tak tanggungjawab abah? Pernah
bagi nafkah dekat mak? Ada bagi mak duit beli barang dapur? Ada bagi mak duit
untuk beli pakaian?"
Pang!
Kepala Hanim terteleng ke kanan.
"Abang!"
Mak menjerit kecil. Terkejut melihat Hanim ditampar depan matanya. Tangan
suaminya ditepis kuat dari terus mahu memukul anak bongsunya itu.
Abah
cekak lengan mak dan menolak mak ke tepi.
"Kau
diam, Cah! Biar aku didik anak kurang ajar macam dia ni!"
Hanim
senyum sinis. Pipi yang terasa pijar dek tamparan abah diusap perlahan. Tajam
mata dia melawan anak mata abah yang terjegil seperti mahu dimakannya tubuh
Hanim hidup-hidup.
"Hanim
kurang ajar, sebab abah yang tak pernah ajar!"
Pang!
Sekali
lagi tamparan abah mendarat. Kali ini di pipi kanan pula. Dan Hanim jatuh
terduduk di lantai.
"Sudahlah
abang! Orang tengok tahu tak!" Mak menerpa mendapatkan Hanim. Pipi si anak
dibelek lembut. Ada darah di sudut bibir Hanim.
Hanim
tepis lembut tangan mak. Bergenang matanya menahan sakit di muka dan sakit di
hati.
Dalam
masa yang sama motor Hanafi menjalar masuk ke perkarangan rumah.
"Bergaduh
lagi? Itu ajelah kerja orang kat rumah ni! Muak aku!" jerit Hanafi sambil
membuka helmet.
Hanim
malas mahu bergaduh lagi, lantas dia bangun dan bergegas masuk ke bilik.
"Kau
diam Napi! Kau lagi tak berguna kat rumah ni!" Potong abah tidak kalah
lantang.
Kuat
suara abah, sehinggakan orang kampung yang lalu lalang mahu pergi bekerja
tertoleh-toleh melihat ke rumah mereka setiap kali melintas di situ.
"Aku
tak berguna? Kau tu berguna sangat ke!" Hanafi meludah ke tanah. Dia benci
Hasan! Dia benci jadi anak dari lelaki tak berguna seperti Hasan.
Mak
menangis bersimpuh di lantai rumah. Tidak berganjak dari tempat terjatuhnya
Hanim tadi. Apa nak jadi dengan keluarganya ini. Tak habis-habis menjadi buah
mulut orang kampung dengan perangai Hasan dan Hanafi.
Tiba-tiba
Hanim keluar dari bilik dengan muka bengang. Meluru dia mendapatkan abah dan
abangnya.
Beg
duit di tangan diangkat ke sedikit tinggi.
"Siapa
ambil duit aku! Duit aku dalam beg ni siapa ambil!" Suara Hanim tinggi
beroktaf-oktaf.
"Aku!
Pinjam kejap. Nanti aku bayar." Abah tayang muka selamba. Langsung tak
rasa bersalah telah mencuri duit anak sendiri.
"Abah!
Tu duit aku nak bayar bil! Pulangkan balik!" Kerana terlampau sakit hati,
menitis air mata Hanim. Macam-macam perkara dia kena fikir, tapi bukan mahu
menyenangkan dia, malah menambah lagi masalah dia.
Gaji
dia semalam tinggal berbaki 500 sahaja. Sedangkan dia tak buat apa-apa lagi
dengan duit itu.
Argh!
"Aku
pinjam 1000 jer pun. Kedekutlah kau ni Nim! Nanti aku pulangkanlah." Abah
merengus sambil menunjal kepala Hanim. Meluat dia melihat Hanim yang lemah
seperti isterinya. Tak habis-habis menangis! Bukan banyak pun duit yang dia
ambil!
"Ya
Allah..." menggigil tangan Hanim. Turun naik dada dia menahan emosi.
Ikutkan hati mahu dia belasah bapanya itu.
"Sudahlah!
Aku dah fed up la! Aku tinggal kat sini lagi sebab mak aje tau! Kalau ikutkan
hati aku ni, dah lama aku tinggalkan kau orang semua!"
"Tinggallah
kalau nak tinggal! Peduli apa aku!" Hanim yang menghalang laluan ditolak
abah ke tepi.
Tubuh
Hanim longlai jatuh ke lantai. Dia dah tak berdaya... dia penat.
Hanafi
jeling sekilas mak dan Hanim yang menangis bersama. Berdecit perlahan sebelum
selamba masuk ke rumah. Tidak peduli dengan keadaan adiknya. Sesungguhnya
perkara begini dah sering terjadi. Tak ada apa yang pelik.
"Puas
dah hati mak? Mak tak nak berpisah dengan jantan tak guna tu kononnya demi
anak-anak. Mak tak nak anak-anak tak bahagia. Tapi mak tengoklah sekarang?
Bahagia ke aku ni mak? Bahagia ke anak-anak mak ni berbapakan lelaki tak guna
tu?" Rintih Hanim dengan linangan air mata.
Esakkan
mak makin kuat. Orang tua itu memeluk erat bahu Hanim dengan rasa bersalah yang
sangat menebal. Semuanya kerana dia! Dia yang takut mahu berdikari. Takut
sekiranya Hanafi dan Hanim tak dapat kasih sayang seorang ayah. Tapi
akhirnya... dia yang buat anak-anak jadi begini.
"Maafkan
mak, Nim."
0 comments:
Post a Comment