Thursday 3 September 2020

BAB 4 | TEFAL

 




Sebaik sahaja kaki aku melangkah masuk ke dalam kedai runcit itu, terus saja aku disapa si pemilik kedai merangkap kawan baik abah. Uncle Mutu.

          “Orked, apa mau?” Soal dia dari kaunter bayaran. Aku tayang sengih seraya mengambil bakul untuk mengisi barang yang bakal dibeli nanti. Selalunya aku tak perlukan bakul pun tetapi harini berjela pula pesanan mak. Nak masak nasi ayam katanya. Jadi banyak bahan yang telah tiada di rumah.

          “Banyak maunya Uncle.”

          “Bagus-bagus!” lebar senyuman dia bila aku jawab macam tu. Almaklumlah aku nak melabur dekat kedai dia. Memang dari kecil lagi aku menapak di kedai ni. Balik sahaja dari sekolah mesti singgah ke situ bersama Mimi untuk membeli aiskrim. Kadang-kadang Tefal pun sibuk menyelit sama. Eh! Aku ketuk dahi. Dah kenapa aku kena ingat dia ni? Hish!

Rak deretan barang yang mak pesan aku tuju lalu beberapa barang yang tersenarai di dalam list pesanan mak diambil masuk ke dalam bakul.

Usai membuat bayaran aku terus beredar dari situ. Masuk ke dalam perut kereta kancil milik abah yang kini telah berpindah milik kepada aku. Kereta paling gagah diseantero dunia kerana walaupun sudah berpuluh tahun keluar masuk bengkel, tetap si kancil ini mampu bertahan sehingga kini. Bolehlah buat jalan-jalan dalam kampung.

Tingkap yang terbuka separuh itu membuatkan awning tudung aku senget-benget diterpa angin yang menderu kuat ke dalam kereta. Lantaklah, bukan aku nak tunjuk cantik depan orang pun.

          Ketika aku membelok masuk ke lorong jalan rumah aku, tiba-tiba ada seorang lelaki berdiri di tengah jalan dan memberi isyarat tangan agar aku segera berhenti.

          Dengusan kasar kedengaran tatkala mata awal-awal lagi tangkap kelibat si periuk Tefal. Aku perlahankan kereta masih berkira-kira sama ada untuk berhenti atau terus sahaja endahkan isyarat Tefal.

          Seram! Kiri kanan pokok kelapa sawit kut. Walaupun masih pagi, tapi kalau si Tefal yang tahan, memang bahaya! Mamat tu bukan betul sangat pun.

          “Berhenti! Orked berhenti!”        

          Bersungguh lelaki itu menahan kereta aku. Selamba sahaja aku memusing stereng ke kanan sedikit agar dapat menghindar dari terlanggar dia lalu menonong aje aku pergi tinggalkan dia di situ.

          “Orked!”

          Dari cermin pandang belakang aku perhati Tefal yang berlari serupa Usain bolt. Betapa lajunya dia lari sampai dapat kejar kelajuan kereta aku. Ye la, kancil aje pun. Itupun usia kancil ni dah dikira sebagai golongan warga emas! Jadi faham-faham ajelah kelajuannya macam mana.

          “Dah kenapa dia ni!” aku berhentikan kereta di tengah jalan. Benggangkan Tefal yang dah macam orang gila duk berlari sambil tangan dia tergapai mengetuk bontot si kancil meminta aku berhenti.

“Orked! Macam nak gila aku kejar kau!” Tefal tercunggap-cunggap berdiri sebelah pintu bahagian pemandu. 

Ternaik sedikit kening aku.

“Kau tu dah kenapa macam orang gila kejar aku?”

Aku tayang muka tak ada perasaan bila Tefal menjegilkan matanya. Marahkan aku yang panggil dia gila.

“Motor aku rosak. Tumpang kereta kau.”

“Eh! Tak ada! Tak ada!”

Tak sempat aku nak bangkang, mamat tu dah selamba masuk ke dalam perut si kancil dan tersengih duduk di sebelah aku.

Menyirap darah aku bila dia buat kelakuan tak semenggah macam ni. Dia ingat dia kawan aku ke? Hei! Tolong sikit!

“Tefal!” Kecik besar aje aku perhatikan dia.

“Dah! Dah! Jalan. Dapat pahala tolong orang susah.”

Eii! Pandai pulak dia senyapkan aku. Rasa nak aje aku cekik mamat ni! Memang tak makan saman betullah! Ikut saja gaya aci redah dia tu.

Kalau orang kampung nampak Tefal naik satu kereta dengan aku ni, gerenti sebelum aku sampai ke rumah, mak awal-awal lagi dah dapat berita ni. Betapa lajunya mulut mak cik bawang kampung. Lagi laju dari kelajuan internet.

“Kau ni memang tak malukan? Orang tak nak tolong pun sibuk terhegeh-hegeh. Tak malu!” bebel aku sambil menolak gear ke petak D. Perlahan-lahan kereta aku mula meninggalkan simpang jalan yang sunyi itu.

Tefal tayang sengih lagi. Buat muka tak bersalah. Benci betul aku tengok muka semak samun itu tersenyum. Dah macam tarzan sesat! Tarzan yang dah lama tak mandi, tiba-tiba tersengih nampak gigi yang putih sahaja. Urgh!

“Ni kalau orang kampung nampak ni. Habis gosip satu kampung tahu tak! Tak malu ke? Eh! tapi kaukan memang muka tak malu. Tu sebab selamba aje buat gaya stunt men macam ni. Aku ni ha! apa aku nak cakap dengan mak nanti.” sambil tangan sibuk dengan stereng, mulut aku pun sibuk tukar gear 3. Makin panjang bebelan aku bila orang di sebelah seperti patung. Tersengih-sengih. entah dengar ke tak apa aku cakap ni.

“Orked, pinjam telefon kejap.”

Tengok! Dia bukan dengar pun aku membebel apa. Benda lain aku cakap, benda lain pula yang dia minta! Geramnya!

“Nak buat apa! Tak boleh!” Aku pandang dia sekilas. Dia hulur tangan ke arah aku.

          “Pinjamlah kejap. Nak call Lukman minta dia datang ambil motor aku. Terbiar lama dekat situ, nanti kena curi.”

          Ceh! Motor buruk yang tinggal rangka macam tu pun ada ke orang nak curi? Badan motorsikal Tefal memang hilang entah ke mana. Habis nampak segala wayar dan engin di dalam motorsikal lelaki itu. Tak menarik langsung. Kalau bawak ke pusat pengumpulan besi buruk pun gerenti tak dapat nak bezakan sama ada itu adalah motorsikal atau besi karat!

          “Phone kau mana?”

          “Phone aku tak ada topup.”

“Duit dalam bank berkepuk. Telefon pun pakai prepaid. Pakai la bil!” Tempik aku geram.

Tefal menghela nafas panjang. Penat agaknya bergaduh dengan aku.

“Malas nak berhutang. Kalau aku nak guna baru aku bayar. Meh la phone.”

Aku buat tak dengar.

“Cepatlah Orked!” gesa dia lagi tidak sabar.

          Ya Allah, bukan dia aje yang tak sabar. Aku pun rasa kesabaran aku memang menipis sekarang ni melayan karenah si Tefal.

          Malas aku nak berlawan mulut dengan dia. Laju aje aku keluarkan telefon Samsung dari poket seluar lalu dihempas kasar ke tapak tangan dia.

          “Terima kasih.” Tersenyum lebar dia menyambut.

          Entah apa yang dia belek dekat telefon aku tu. Tak ada pulak aku tengok dia telefon Lukman. Mungkin dia berwhatsapp sahaja dengan pekerjannya itu.

          “Mimi whatsapp.” beritahu Tefal.

          Aku kerling pandang dia yang masih memegang telefon aku.

          “Dia cakap apa?” Sah-sahlah Tefal dah baca pesanan whatsapp dari Mimi kerana terdapat pop up notification di skrin telefon.

          “Ked! Tempat kerja aku nak pakai admin. Aku dah hantar resume kau. HR panggil interview wei! cek emel cepat!” Bibir Tefal terherot kiri dan kanan.

          Aku nak tergelak dengar nada Tefal yang sedang membaca pesanan Whatsapp dari Mimi. Selamba aje mamat tu ajuk gaya Mimi bercakap.

          “Meh sini telefon tu.” Tangan aku yang terhulur ditepis Tefal lembut. Terbeliak mata aku. Tak sangka yang dia berani bertindak macam tu. Nasib baik dia tepis dekat lengan aku jadi masih berlapik dengan baju lengan panjang yang aku pakai.

          “Bawak kereta diam-diam! Biar aku tolong. Kau nak cari apa?”

          “Eeii! Sibuk la kau! Bak la telefon aku tu!”

          “Kau nak kita terbabas masuk parit ke? Fokus aje la bawak kereta.”

          Eh…eh..eh! Ingat ni highway ke yang aku kena fokus. Jalan kampung aje kut. Jalan pun lenggang tak ada orang. Kereta aku pun perlahan aje berjalan. Selama ni bukan tak pernah aku bawa kereta sambil berbalas whatsapp dengan kawan-kawan aku.

          “Gedik!” Aku menjeling dia tajam. Geram!

          Tefal melepaskan tawa besar.



Berminat boleh whatsapp

013-5383089

Sementara stok masih ada

BAB 3 | TEFAL

 



Pagi yang indah itu, aku seperti biasa menghabiskan masa dengan membaca novel. Teresak-esak aku menangisi nasib Hana dalam novel ni. Karya Cik Bawang lagi. Aku pun tak faham la, dulu aku kata tak best karya dia ni. Tapi melekat pulak aku baca dari sebuah novel ke sebuah novel.

Novel kali ni lain dari cerita dia yang biasa. Tak ada sengal. Aku ingat nak hilangkan stres tu sebab cari novel dia. Alih-alih makin stres! Sakit kepala aku menangis beria. Cerita sedih.

Aku terus tutup novel letak tepi. Menuju ke dapur untuk minum air membasahkan tekak yang kering.

"Assalamualaikum!"

Aku buat tak tahu pada orang yang memberi salam di luar rumah. Abah ada depan TV dekat ruang tamu. Sebab aku tahu, tu mesti posman nak hantar parcel novel baru aku beli. Karya Cik Bawang.

Eh! Aku ni tersampuk hantu Cik Bawang ke apa. Rupa-rupanya tanpa sedar aku terbeli lagi karya dia.

"Ked! Pergi tengok siapa," laung abah dari depan. Cis! Abah malas nak bangun pulak!

Mak pulak sedang mandi.

Malasnya... Dengan langkah yang berat aku ambil tudung di tepi tangga dapur lalu mendaki tangga menuju ke pintu rumah.

Sebaik sahaja pintu terkuak, terus terpampang muka si Tefal. Dia ni lagi! Baru semalam aku jumpa dia. Lepastu dia ajak kahwin. Sampai termimpi aku malam tadi. Mimpi ngeri!

"Haa, kenapa datang?" Sergahku sedikit kasar.

Tefal tersenyum lebar nampak aku atas rumah.

"Aku datang nak meminang anak mak kau. Cikgu Osman dan Cik Kiah ada?"

Huish! Pintu yang terkuak lebar itu pantas aku tarik agar sedikit tertutup. Kepala toleh ke belakang takut abah dan mak dengar ayat tak cukup akal si Tefal.

Tak agak betul mamat ni. Buatnya mak abah dengar bersorak mereka. Memang dah lama diorang suruh aku kahwin. Pantang sebut isu kahwin, mesti mereka kenenkan aku dengan pemuda entah mana-mana.

Lepas aku teliti yang abah tak dengar, dan mak masih belum selesai mandi, lintang pukang aku turun ke bawah. Berdiri betul-betul depan Tefal.

"Kau jangan buat pasal ek periuk Tefal! Aku tak nak kahwin dengan kau!" Terketap gigi aku marahkan dia. Dia boleh senyum aje.

"Eh? Aku ada cakap ke nak kahwin dengan kau?" Dia tergelak sakan. Dia ingat aku tak faham double meaning ayat tak sedap didengari tu. Meminang konon!

Mata dijegilkan. Kejap-kejap kepala tertoleh ke dalam takut mak abah keluar.

"Tadi tu apa? Anak mak abah aku tu aku sorang aje tau. Kau jangan macam-macam!"

"Aku cakap nak meminang anak pokok mak kau. Tapi kalau anak mak kau on, aku on aje."

"Tak hingin!" Aku menjeling dia maut.

Menyampah.

Semua tentang mamat ni buat aku geli. Tak boleh bayang la kalau dia ni jodoh aku. Aku kenal dia sejak sekolah tadika kut. Dia ni selalu kacau aku. Buli aku pun ya jugak.

Paling aku tak boleh lupa bila Tefal dan Mimi bercinta dulu. Siap bermama-papa. Tak ke geli aku pulak nanti ber mama-papa dengan si Tefal ni.

"Hah! Edan kau ke. Ingatkan siapa tadi. Orked kau pun tak jemput dia masukkan! Panas terik kat luar tu. Terbakar kulit karang." Mak melaung kuat dari atas rumah. Mengintai dari jendela yang terbuka luas.

Aku menjeling Tefal yang dah tersengih.

"Memang dah hangit pun kulit mamat ni." Gumam aku seraya melempar pandangan ke arah lain.

"Orked!" Tegur abah yang dah berdiri sebelah mak. Aik. Aku cakap perlahan pun abah dengar ke? Selalunya aku panggil abah untuk makan, abah buat tak tahu aje.

"Assalamualaikum Cikgu, Cik Kiah. Saya datang ni nak hantar durian." Tefal tersengih. Tangan kanannya menggosok tengkuk. Memang trademark dia la kut kalau bercakap usap tengkuk. Ingat macho la?

Serupa kambing dia aje aku tengok. Dengan rahang yang berbulu tebal. Lengan pun berbulu jugak. Tu entah-entah dada pun berbulu.

Auch! Otak aku pun tengah berbulu ke ni? Fikir sampai ke bulu dada orang dah kenapa? Mujur aku tak fikir lagi ke arah bulu-bulu yang lain.

"Ya Allah! Rezeki tuuu.. kau Orked layan tetamu macam tu. Berdosa tahu tak! Mana duriannya?"

Amboi semangat sungguh mak. Tahulah hantu durian. Dan hantu itulah yang menurun kepada aku. Meleleh dah air liur aku ni dengar nama durian.

Terus terpasung langkah aku yang baru nak melangkah naik ke rumah.

Semangat Tefal bergerak ke belakang kereta Hilux dia. Kanvas yang menutup durian lantas dibuka.

Fulamak! Bersinar mata mak, abah dan aku. Ternganga mulut kami bertiga tatkala melihat bonet belakang Hilux itu penuh dengan durian. Pergh! Raya wei malam ni! Raya makan durian!

"Banyak ni Dan oi."

Aku dan mak pantas saling berpandangan bila abah cakap macam tu. Lepastu bibir masing-masing tercebik. Malu-malu pulak abah ni nak terima. Padahal kami tahu dalam hati abah bersorak. Dia pun hantu durian!

"Tak apa. Ada yang baru jatuh malam tadi. Fresh ni sedap makan. Yang lain-lain boleh Cik Kiah buat tempoyak."

"Betul tu Dan. Sedap ni. Jom ke pangkin kita makan dekat sana. Sejuk sikit."

Mak dan abah ambil dua biji durian di tangan masing-masing lalu dibawa ke pangkin. Tinggalkan aku dan Tefal di situ.

Tefal pandang aku. Lepastu kening dia menari nakal.

"Nak pikat anak, pikat mak bapak dia dulu." Dia berbisik nakal ketika melintasi aku.

Cis! Ada udang disebalik batu rupanya!

 

 

BURP!

Abah sedawa kekenyangan. Selepas itu cikgu pencen itu mengusap perut yang sedikit boroi. Mahu tak boroi, 5 biji durian dia bedal. Duk cakap sedap...sedap…tak sedar dah makan banyak macam tu. Bahaya betul. Naik darah tinggi karang baru tahu.

Aku masih bersila sambil makan seulas lagi durian. Durian apa la si Tefal ni bagi. Sedap betul. Isi lembut, tebal, manis-manis pahit. Kena la selera aku.

"Berapa semua ni Dan?" abah tepuk peha Tefal.

Dia yang ralit tengok aku makan terus tersentak. Lalu dia toleh pandang abah yang dah mencerunkan pandangan serupa cikgu disiplin.

          Padan muka! Marah dia bah! Dia tenung orang macam nak telan!

Tefal aku tengok telan air liur. Dia memang takut dengan abah waktu dekat sekolah dulu. Ya la, budak nakal. Selalu la kena panggil mengadap abah dekat bilik disiplin.

"Saya bagi aje ni cikgu."

"Banyak ni. Rugilah kau."

"Tak apa. Ada rezeki lebih. Jadi saya bagi la cikgu sekeluarga."

"Betul ke ni? Kalau aku beli ni. Maunya sampai 300 ni."

"Eh lebih ni bang. Tengok dekat depan rumah tu selonggok lagi ada." mak menyampuk. Bibir termuncung pada selonggok durian yang Tefal dah punggah letak depan tangga rumah.

Tefal sengih.

"Betul cikgu. Saya ikhlas nak bagi. Tengok semua makan bersungguh, gembira saya. Terutama Orked. Tak toleh kiri kanan.. ni kalau mak saya lalu pun dia tak perasaan."

Aku rasa nak tercekik biji durian! Hampeh mamat ni. Kalau aku tertelan biji durian memang kojol aku dekat sini. Cepat-cepat aku teguk air kosong.

"Eh, mak kau lalu ke? Mana?"

“Uhuk!” Kali ni memang betul-betul aku tercekik. Menyeringai muka aku menahan rasa perit di dada dek kerana tersedak air.

Mak pun! Tak faham double meaning mamat ni. Bikin aku bertambah malu!

“Kau ni Orked, tak senonoh! Gelojoh. Perlahan-lahan la minum.” Marah mak.

Aku buat tak tahu dengan kemarahan mak. Dada aku masih perit ni. Tefal yang tersengih-sengih bersalah itu aku jeling sekilas. Baru dia sedar impak ayat tak semenggah dia tu.

“Kenapa tak panggil mak kau tadi. Boleh kita makan durian sama-sama.” Mak masih lagi salah faham.

"Tak la Cik Kiah. Perumpaan. Kan orang selalu kata. Khusyuk sangat makan durian sampai mak mertua lalu pun tak sedar." terang dia lepastu tergelak sendiri.

Aku ni puas la kecik besarkan mata aku beri amaran pada dia. Tapi sikit pun dia tak pandang aku. Takut la tu

Mak dan abah pulak dah melopong.

"Ehem! Berkenan ke dengan anak aku?" Serius abah tanya.

Aku semakin gelabah. Apatah lagi tengok Tefal macam nak kata ya.

"Berke..."

"Tak abah! Dia ni loyar buruk! Sebenarnya dia ada hajat." potong aku laju. Fuhh! Nasib baik sempat.

"Hajat? Hajat apa tu?" soal mak.

"Errr... sebenarnya cikgu saya nak meminang..."

"Dia nak meminang bunga orkid mak! Dia dah lama berkenan dengan anak POKOK mak tu. Cuma dia segan nak cakap." saja aku tekankan perkataan Pokok. Lepastu bila aku sebut anak pokok, aku besarkan sekali mata aku bagi semua tahu betapa bersungguhnya Tefal nak anak pokok mak.

Aku tayang senyum sinis pada dia bila muka dia berubah bengang. Ingat senang nak masuk meminang aku? Memang aku akan halang habis-habisan!

"Laa ye ke. Untuk kau Dan, mak cik sanggup bagi sepasu. Kau nak yang mana? Cakap aje. Mak cik bagi."

Hah? Senyuman aku mati. Tefal yang tadinya beriak bengang pun berubah.

Lantas kami berdua ternganga. Terkejut sebab mak sanggup bagi sepasu pokok orkid dekat mamat tu. Padahal selama ni mana pernah mak nak bagi walaupun kawan baik dia yang mintak. Baru beberapa hari lepas mak membebelkan Cik Tipah yang mahu mintak sepasu orkid mak. Eh! Dengan Tefal bersungguh pulak mak nak bagi.  


 

BAB 2 | TEFAL

 Setelah tiga hari mak membebel tentang orkidnya yang togel, baru aku pergi mencari si Tefal.

Malas betul nak menapak ke sini kerana kebun lelaki itu sedikit tersorok. Manakala ladang tempat menternak kambing pula dua lot sahaja dari rumah aku. Tetapi disebabkan sekarang musim buah, memang mamat tu duduk di kebun aje. Ladang tu ada pekerja yang jaga.

Nasib baik aku rembat kereta kancil abah. Tak ada la aku termengah mengayuh basikal naik bukit untuk ke kebun Tefal. Aku ingat nak rembat Honda City abah, tapi awal-awal lagi abah dah sorokkan kunci. Marah la tu aku nak bawak kereta kesayangan masuk kebun.

Sebaik sahaja aku keluar dari kereta, aku dah nampak kelibat Tefal sedang mengait buah rambutan.

Sakan dia mengait seorang diri. Penuh di atas tanah buah yang tergolek-golek jatuh dari tangkai, terkeluar dari bakul yang penuh terisi buah yang telah dikait.

"Assalamualaikum, Periuk Tefal!"

"Mak!"

Tefal terloncat sampai jatuh pengait dia. Ketika dia meloncat itu tangan naik menutup kepala takut sesuatu jatuh dari atas pokok.

Aku gigit bibir yang mahu meletus tawa. Sergah sikit tapi reaksi macam kena sergah hantu!

Bila dia toleh ke belakang, dia terkaku dengan mata membulat pandang aku.

"Kau?" Dia genyeh mata berkali-kali. Serupa nampak hantu!

Ni buat aku takut ni. Kebun dia ni berpenunggu ke apa? Tertoleh kiri kanan jugak la aku. Seram!

Kebun dia bahagian depan ni penuh dengan deretan pokok rambutan. Rimbun betul buahnya.

Dibahagian belakang pula berderet buah durian dan beberapa buah kampung yang lain.

"Huish! Serius ke ni?" Soal dia tak percaya. Dia melangkah laju ke arah aku. Kemudian berhenti tepat di depan aku. Terlalu dekat sampai aku terundur ke belakang beberapa langkah.

Jangan dekat-dekat sangat! Bahaya wooo.

"Kau dah kenapa?"

"Orked ke ni?"

Laaa tak ingat aku ke mamat ni?

"Ya la."

Dia betul-betulkan topi kebun yang lusuh di atas kepala. Peluh yang merenik di dahi dikesat dengan lengan baju kemeja kotak-kotak yang lusuh juga.

          Ya rabbi, bau peluh dia tu menyengat menusuk ke hidung. Berkerut muka aku menahan rasa sesak nafas. Oksigen please! Tapi tak sampai pulak hati aku nak buat muka depan dia. Sudahnya kembang kempis hidung aku menahan bau itu.

"Kau apahal mencemar duli datang sini?"

Eh mamat ni. Macam tak suka aje aku ada dekat sini. Kedekut! Tak adanya aku nak curi buah rambutan dia tu walaupun buah tu nampak menggoda tergolek-golek atas tanah. Nak aje aku kutip sebanyak-banyak tu bawak balik rumah.

"Ni mak aku pesan, kau tolong jaga kambing-kambing kau tu elok-elok. Suka sangat makan orkid mak aku."

"Kut ya pun nak bagi diorang makan rumput segar, bawa la ke kebun kau ni. Jangan lepas ke rumah orang. Habis togel bunga orkid mak aku." Tambah aku lagi.

Tefal tersengih sambil mengusap tengkuk.

"Ye, aku pun suka dekat orkid mak kau tu." balas dia malu-malu.

Alah! Benci pulak aku tengok gaya dia tu. Macam lelaki lembut! Padahal muka berjambang sebijik Orangutan.

"Baguslah tu. Kalau suka pergi la cakap dekat mak aku kau nak anak dia."

"Serius ke ni?" Tefal serupa orang dapat emas! Bersinar mata dia menunggu jawapan aku.

Aku garu kepala yang dilapisi tudung itu.

"Ye la apa tak bolehnya. Mak aku tu mulut aje membebel kuat. Tapi kalau orang nak, tak adanya dia tolak."

Mak aku baik kut. Tak adanya dia kedekut. Ramai saja orang tak dikenali datang ke rumah kerana mahu meminta anak pokok orkid mak setelah berkenan ketika lalu lalang depan rumah. Gembira aje aku tengok mak bagi.

"Bila aku boleh datang?"

"Bila-bila lah."

Tefal tersenyum lebar. Berseri muka dia yang berpeluh membuat kerja tadi.

"Okey set! Akhir bulan ni aku datang la dengan mak abah aku."

Aku garu dahi. Takkan sampai bawa mak abah kut.

"Laaa datang mintak anak pokok pun siap datang dengan mak abah ke? Dasar anak mak!"

Bukan aku tak tahu dia ni anak kesayangan keluarga. Almaklumlah anak bongsu katanya. Abang dan kakak dia pula duduk di Kuala Lumpur. Tinggallah mereka tiga beranak aje. Macam aku juga bezanya aku memang anak tunggal. Dan mak aku pun tak macam Mak Gayah yang lemah lembut bercakap. Mak aku asyik nak memetir aje.

"Hish! Orked."

"Aduh!" Aku gosok tepi kepala aku yang diluku Tefal. Amboi laju aje tangan dia usik aku! Walaupun berlapik kain tudung, aku tak rela!

“Kau apahal sentuh aku!”

          “Berlapik!” Bidas dia dengan muka menahan geram.

          “Berlapik pun agaklah! Ingat kepala aku ni apa?”

          “Dah lambat sangat nak faham ayat aku.”

"Kau ni! Marah la tu aku cakap kau anak mak." Aku jeling dia sedas. Menyampah tengok muka tak siap mamat ni. Buat sakit hati aje.

"Bukan. Aku marah sebab aku tak nak anak pokok orkid."

"Laaa pulak! Habis kau nak apa?" Berbelit betul la periuk Tefal ni. Tadi cakap suka orkid. Nak bagi anak, tak nak pulak.

"Aku nak Orked."

Haa tengok? Sekarang cakap suka pulak orkid. Mana satu ni!

"Ye la aku tahu kau nak orkid. Tapi kau ingat mak aku pemurah sangat ke nak bagi pokok dia sepasu kat kau? Kalau setakat anak dia aje, boleh la. Mak aku sayang sangat dekat pokok orkid dia." aku cuba merasionalkan si Tefal ni.

Tula orang suruh belajar tinggi, banyak ponteng sekolah. Ayat mudah pun mamat ni susah nak faham.

Tak faham aku macam mana Tefal boleh berjaya menjadi pekebun dan penternak. Entah-entah banyak rugi dari untung. Propa aje lebih bila satu kampung duk cerita yang Tefal baru sahaja beli lagi beberapa ekar tanah untuk meluaskan kebun dia.

Satu kampung duk canang betapa beruntungnya kampung ni ada Tefal sebagai pekebun moden. Susah nak jumpa anak muda macam dia minat bidang yang tak glamour macam ni. Ceit!

"Nurul Orked!" Tefal seru nama aku dari celah gigi. Terketap rapat gigi dia dengan rahang bergerak-gerak menahan marah.

"Iya!" Sahut aku bersahaja.

"Aku nak kahwin dengan Nurul Orked binti Osman. Faham?"

"Hah?" Betapa terkejutnya aku dengan kenyataan si Tefal, muka aku terus serupa tercekik buah rambutan!

Dia mengangguk yakin. Serius amat menandakan dia memang memaksudkan apa yang aku dengar tadi.

Eii! Gelilah aku! Mata aku mengecil pandang dia atas bawah.

Seluar kebun terkoyak di lutut yang penuh tanah tu dikerling sekilas. Lepastu beralih ke tubuh yang agak tegap tapi berbalut baju kemeja kotak-kotak lusuh yang compang-camping. Baju pagoda di dalam itupun sudah tidak berwarna putih. Sudah bertukar kusam!

Kemudian beralih pula ke muka berpeluh dengan jambang tebal serupa bangla tu. Bangla pun lagi handsome dari dia. Dah la kulit berminyak-minyak. Yeww!

Rambut lebat dan sedikit panjang mencecah kolar baju itu tertutup dengan topi lusuh yang terkoyak sedikit di tepinya.

Minta selisih la wei kahwin dengan mamat ni! Kalau dulu pun aku tolak mamat ni mentah-mentah dari senarai kekasih, sekarang apatah lagi.

Mimi sorang aje kut yang boleh terima si Tefal ni. Itupun mereka bercinta sampai lepas SPM sahaja. Sebaik sahaja Mimi dapat tawaran masuk ke universiti, terus hubungan mereka terputus.

Dan yang aku peliknya, Mimi sikit pun tak sedih atau kecewa. Bila aku tanya kenapa putus dengan Tefal, kawan baik aku tu cakap mereka hanya cinta monyet sahaja. Saja-saja ingin merasai perasaan mempunya kekasih.

Pergh! Aku memang tak boleh hadam betul dengan jawapan Mimi. Tefal pun waktu itu aku tengok langsung tak sedih. Lelaki itu terus fokus dengan ternakan kambing dia. Dan aku tak sangka, Tefal yang tak berpelajaran tinggi itu berjaya meluaskan perniagaan dia.

Aku yang dah lama ada ijazah ni pun tanam anggur sahaja di rumah. Kerja tak ada, hutang belajar pula yang menimbun.

“Orked. Aku dah lama suka…”

Aku tak nak dengar!

"Cepat sikit ambil ANAK POKOK orkid dekat rumah. Pergi tanam sendiri dekat rumah kau tu. Biar kambing kau berhenti togelkan bunga orkid mak aku."

Segera aku memotong ayat Tefal. Aku tahu ke arah mana percakapan dia tu. Dan tanpa menunggu balasan dia, aku terus mencicit lari masuk ke dalam kereta. Kepala tergeleng laju menidakkan perkataan yang aku dengar tadi.

Kahwin dengan dia? Dengan si Tefal tu?

Nehi!




Berminat boleh whatsapp

013-5383089

Sementara stok masih ada

NOVEL| TEFAL

 


“Kalau durian adalah raja segala buah, Orkid pula adalah ratu bagi segala bunga. Bentuk bunga yang unik dengan warna yang pelbagai sangat menarik minat pencinta bunga.”

          Aku kulum senyum yang mahu memekar mendengar pujian itu. Pasu bunga yang agak berat itu spontan aku letak di tanah sebelum menebar pandangan memerhatikan orkid yang tersusun cantik di hadapan aku.

          Betullah tu. Berwarna warni. Ada warna ungu, kuning, putih, dan merah jambu. Ada yang kosong sahaja warnanya dan ada juga bercorak yang pelbagai. Menambah keistimewaan Bunga Orkid adalah baunya. Ada yang wangi dan ada juga yang jenis tak berbau.

          “Orked!”

Ya, nama aku Orked. Nurul Orked binti Osman. Oleh sebab itu sedikit sebanyak aku terasa kembang juga bila kawan-kawan mak mula memuji orkid yang merimbun di taman mini mak tadi. Terasa macam diorang tengah puji diri aku.

          “Orked!”

          “Ya,” Tersentak aku mendengar suara mak yang memetir. Lantas, raut wanita separuh abad itu aku tenung.

          “Kau menung apa? Angkat cepat pasu mak tu.”

          Aku tersengih segan. Segan dengan kawan-kawan mak yang turut memandang ke arah aku. Biasalah petang-petang macam ni, geng membawang kampung memang akan merayau melawat rumah aku. Sambil-sambil tengok bunga mak aku yang cantik-cantik ini sambil tu diorang mulalah buat sesi membawang.

          Aku la yang menjadi mangsa tolong mak angkat pasu segala sebab kawan dia pasti akan minta sepasu dua pokok bunga mak. Kalau mood mak baik, dia bagi sepasu. Kalau mood tak berapa baik dia suruh aku cabut anak pokok aje bagi dekat kawan dia.

          Aku ni bukan minat pun bunga-bunga ni semua. Nama aje Orked. Tapi haram aku nak suka bercucuk tanam berkebun segala. Buat basah ketiak aje. Baik duduk dalam rumah baca novel.

          Pasu aku angkat semula lalu diletakkan di atas para. Dendrobium mak dah mula berputik sebab itu mak minta aku alihkan ke tempat yang teduh sedikit dilitupi jaring hitam di atasnya.

          “Kiah, ni nanti keluar warna apa?” Cik Tipah membelek daun orkid dari pasu yang aku baru letak tadi.

          “Itu Dendrobium, Tipah. Jadi bunganya warna putih ungu. Cantik Tipah oii! Ambil la anaknya tanam dekat rumah kau. Baru berseri rumah!”

          “Alaa takkan anak aje kau bagi. Berderet kut kau tanam, bagi la sepasu.”

          “Amboi! Sepasu kau mintak Tipah. Kau ingat aku tanam guna air liur ke? Ludah-ludah terus jadi. Cubalah bersabar sikit tanam bunga tu. Tak ada, kau ambil aje anak dia. Didik sikit sifat sabar.”

          Terkulat-kulat mimik muka Mak cik Tipah bila ditempelak mak macam tu. Mak kalau bab bunga memang sensitif sikit. Orang cakap sikit aje, boleh berjela dia sambung ceramah tentang bunga.

          Kalau bercerita bab bunga memang semangat sungguh! Orang-orang kampung ni minat bunga sebab mak la. Rumah aku sikit lagi nak jadi nurseri. Cuma mak tak jual aje bunga yang dia tanam. Mak pemurah nak bagi anak pokok dekat jiran-jiran. Itu sebab la kalau masuk aje kawasan kampung aku ni, semua orang terpegun tengok kecantikan bunga di laman rumah kami.

          Semua pakat buat taman mini sendiri. Kadang-kadang tu aku tengok dah macam nak bersaing pula laman siapa paling lawa.

          Tapi of course la laman rumah mak aku. Ya la, tanah lot kampung ni luas kut. Lepas aje siap bina rumah di tanah itu, abah terus pasang rumput dekat laman. Menghijau dan kemas jadinya laman rumah kami berbeza dengan rumah orang lain yang rumputnya togel dan bertompok-tompok. Lepastu, sikit-sikit mak hias halaman rumah dengan bunga-bunga dari pelbagai jenis. Cuma orkid la paling banyak sekali dari yang lain.

Bagi aku nak jaga Bunga Orkid sebenarnya tidaklah susah mana. Letak baja, siram ikut kuantiti yang tepat dan letakkan di bawah pencahayaan yang betul. Lepastu waktu pilih anak pokok kena pandai pilih jenis. Nak tahu pokok tu rajin berbunga ke tidak kena tengok pada tangkai bunga yang kering. Kalau tangkai bunga rapat atau banyak, maknanya sebelum ni memang dia kerap berbunga. Kalau jarak-jarak tangkai bunganya maksudnya kurang la berbunga.

          Hish! Aku dah rasa macam boleh bukak kedai bunga ni. Walaupun aku tak minat, tapi kalau bab buat duit memang aku laju! Nanti aku nak usulkan dekat abah la. Mintak abah keluarkan dana jadi sleeping partner aku ke kan. Lepastu apa lagi. Jadi usahawan wanita berjaya la aku! Pergh! Tiba-tiba syok pulak berangan jadi macam tu.

"Ked! Ambilkan cermin mata abah sebelah TV."

Abah aku duduk sebelah TV tapi tetap aku yang di luar rumah ni jugak dia panggil.

“Dah Orked, naik tengok apa abah kau nak. Mak nak siram pokok dulu baru mak naik.”

          Aku angguk kepala lalu terus berlalu naik ke atas rumah mendapatkan cermin mata abah.

 

 

 

"ORKED! Kau tak sapu laman rumah ke? Banyak daun kering ni. Habis gugur atas pokok bunga mak."

          Pergerakan aku terhenti. Aku baru nak masak telur mata untuk makan bersama roti. Sebelum mak semakin kuat memekik, laju aku memunculkan diri depan dia.

          Hurmmm.... Aku dah sapu dah tadi. Tapi gugurnya daun dari pokok bukan kerja aku. Kerja Allah. Nak buat macam mana lepas aku sapu daun kering tu tiba-tiba gugur pula yang lain. Aduh!

Memandangkan abah adalah cikgu pencen, jadi sejak-sejak dia pencen ni pagi-pagi lagi dia sudah bawak mak meronda kampung. Sambil-sambil ronda kampung, diorang dating dekat warung Pak Abu. Sarapan dekat sana.

Dan aku? Kena tinggal! Aku kan orang penting. Kerja aku bersusun kalah CEO dalam novel yang aku selalu baca.

Lepas subuh aje, schedule aku dah padat dengan aktiviti kerja rumah. Menyapu laman dan atas rumah, menyiram pokok mak, basuh lantai depan rumah lagi. Itu belum lagi aku cerita yang aku kena masak tiga jenis hidangan. Mak banyak sangat benda tak makan. Abah pulak selera tak nak kalah. Jadi kena masak lauk yang pelbagai.

Tengah hari tu, mak dan abah pergi pekan mencari pasu dekat kedai Atan. Aku pula mengambil kesempatan membaca novel cinta kesukaan aku. Karya Cik Bawang. Boleh laa tahan. Tak ada la best mana pun. Tapi dah mula baca, aku kena habiskan.

Tengah-tengah aku tergelak macam nak mati layan kisah si Nick Batman dan geng gengster tu, tiba-tiba aku terdengar bunyi kambing mengembek beramai-ramai.

Terloncat aku dari terus berbaring. Berlari aku menyarung tudung lalu keluar ke laman rumah untuk menghalau kambing yang ralit makan orkid mak.

Aku tepuk dahi. Mampus aku! Togel dah bunga mak.

"Oi! Jangan makan bunga Mak Kiah tu oiii... Nanti dia membebel dekat aku!"

Berkejaran aku menghalau kambing-kambing yang selamba masih mengunyah dengan penuh aman pokok mak aku. Bibir si kambing terherot kiri kanan mengunyah daun segar.

Hish. Waktu macam ni memang aman hidup kau kambing. Kejap lagi balik mak aku, tak aman hidup tuan kau ni kena jerkah dengan Mak Kiah.

Puas aku menghalau, lama jugak baru kambing tu pergi. Aku naik ke atas rumah kembali menyambung bacaan yang tergendala tadi.

Baru dua mukasurat aku baca, abah dan mak sudah pulang dari pekan. Belum pun mak jejak kaki atas rumah, suara dia memekik dulu di luar rumah.

"Ya Allah habis dah orkid aku kena makan," jerit mak lantang. Terkejut benar la tu. Elok tadi sebelum keluar ke pekan dia menyapa Bunga Orkid yang tumbuh mekar. Tapi kini tinggal daun hijau sahaja.

"Orked!"

"Ya mak!" Aku bertenggek di jendela yang terbuka luas. Melihat mak di hadapan taman bunga dari atas rumah.

"Kau tak halau ke kambing si Edan tu." Marah mak dengan tangan di pinggang.

Aku garu kepala yang tak gatal. Salah kambing mamat tu tapi aku pulak yang kena tempias.

"Orang dah halau dah mak. Tapi kambing dia tu suka sangat makan orkid mak."

Muka mak bengis. Mungkin sakit hati membayangkan muka kambing yang memusnahkan kehidupan pokok orkid dia.

"Mana tak sukanya. Aku bagi baja mahal orkid aku ni. Rasa lemak-lemak aje kambing dia makan. Tu suka benar,” dengus mak menahan marah.

Aku pantas memandang abah yang duduk berehat di anak tangga depan rumah. Serentak itu dia turun memandang aku. Kami berdua seakan mahu ketawa mendengar ayat mak. Tapi masing-masing gigit bibir kerana tahu sekiranya tawa dihamburkan pasti mak melancarkan peperangan teluk!

Lemak? Adui la mak. Sayang benar dia pada orkidnya itu. Harap-harap mak sayangkan Orked lebih dari pokok mak tu ya. Bisik aku dalam hati.

"Kau cakap dengan dia tu Orked. Kalau dia lepaskan kambing dia sesuka hati lagi, aku korbankan sekor-sekor!"

"Kau jangan sampai mak yang pergi sound dia." Sambung mak lagi masih tidak berpuas hati dengan Tefal.

Eii! Mamat ni pun satu. Tak bertanggungjawab sungguh! Kambing dia yang banyak itu suka buat kecoh satu kampung. Masalahnya entah kenapa di rumah orang lain, kambing itu pandai pula makan rumput. Tetapi bila di rumah aku, hanya bunga mak saja yang kambing itu suka makan. Bunga Orkid pulak tu! Menyusahkan betul.

"Ye la mak," sahutku dengan nada menahan geram.

Siap kau periuk Tefal! Sebab kambing kau. Aku pulak yang kena marah.




Berminat boleh whatsapp

013-5383089

Sementara stok masih ada

 

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template