Saturday 29 July 2017

Cinta Menyakitkan

"Maaf Encik, anak encik kami tak dapat selamatkan, dia telah meninggal ketika dalam kandungan lagi. Dan akibat daripada kemalangan itu, rahim isteri encik terpaksa kami buang."
Haidar menangis pilu mendengar kata-kata doktor itu. Tangan dia mengigil kuat saat mengetahui anak yang mereka tunggu selama hampir 5 tahun itu tidak sempat mereka tatap dan sentuh. Dan, mungkin sampai bila-bila dia tidak akan dapat menyentuh zuriat dia sendiri.
Bagaimana dia nak memberitahu isterinya? dia tidak tegar melihat kesedihan diwajah itu lagi. Apatah lagi mengkhabarkan bahawa wanita itu sudah tidak boleh mengandung lagi.
Dengan langkah kaki yang longlai, Haidar menolak daun pintu. Wajah pucat wanita kesayangannya itu membuatkan airmata Haidar deras mengalir. Tangan dibawa meramas rambut.
Ya Allah! besar dugaan mu ini. Ya Allah!
Haidar usap perlahan ubun-ubun si isteri. Lalu jemari si isteri digenggam erat agar si isteri dapat merasai kekuatan yang dia cuba salurkan.
"Sayang, Abang akan sentiasa ada untuk sayang. Abang akan pastikan, sayang tak akan rasa sedikit pun kekurangan." Bisik Haidar ditelinga isterinya.
Ini wanita yang dia sangat cintai. Wanita yang dia tunggu dan hampir berputus asa kerana cintanya tidak dibalas dahulu.
Haidar tersenyum sedikit. Teringat akan kenangan ketika mereka mula-mula bertemu. Wanita itu sangat nakal, malah boleh dikatakan sangat liar. Pergaulan bebas. Namun, nasib baik masih pandai menjaga diri.
"Ini ujian untuk kita sayang." Bisik lelaki itu lagi, namun kali ini kata-kata itu sebenarnya lebih ditujukan pada diri sendiri. Agar dia juga mampu kuat bersama wanita itu untuk meneruskan kehidupan yang mungkin masih panjang.
"Abang?"
Haidar angkat kepala. Melihat si isteri telah terjaga, dia menarik nafas lega. Terus senyuman manis terukir untuk si isteri.
"Sayang"
Dahi wanita itu dicium. Lama.
Si isteri tersenyum bahagia. Wanita mana yang tidak bahagia apabila dilayan seperti itu? Namun, senyuman itu kian memudar saat tangan dia tersentuh pada perut yang sudah kempis. Ditarik tangan si suami perlahan. Muka penuh teruja ditayangkan pada si suami.
"Anak kita dah lahir?"
Pertanyaan si isteri seperti belati tajam pada Haidar. Apatah lagi melihat muka pucat itu kian berseri dan teruja, mungkin kerana memikirkan dia telah selamat melahirkan zuriat mereka.
Haidar genggam erat jemari mulus itu. Dikucup jemari itu lama.
"Abang." Panggil wanita itu. Suara sudah bertukar serak. dia dapat mengagak apa yang terjadi setelah melihat riaksi si suami.
Wanita itu ketap bibir dengan kuat. Menahan air mata dari mengalir. Namun dia kalah. Dia kalah teruk! dengan suara yang parau, dia bertanya lagi pada si suami yang sudah menunduk dengan bahu yang bergegar-gegar akibat turut menangis.
"Anak kita tak ada?" Tanya dia perlahan. Sangat perlahan.
Haidar tidak menjawab. Dia tidak mampu. Doa untuk menjadi kuat dihadapan si isteri musnah sama sekali. Malah, dia sudah kalah teruk apabila dia yang teresak kuat mendengar suara lirih itu bertanya.
Si isteri menangis bisu. Haidar bangun dan dengan lembut dia memeluk si isteri dari sisi. Terasa basah bajunya dibahagian dada.
"Maafkan mama." Bisik wanita itu dengan linangan air mata.
"Anak kita dekat syurga sayang. Dia tunggu kita." Pujuk Haidar lembut. Bahu itu diusap.
Si isteri jarakkan sedikit badan mereka lalu didongakkan kepala pandang Haidar. "Abang tengok dia?"
Haidar angguk pilu. Senyuman ditarik sedikit. Airmata si isteri diseka dengan kedua ibu jarinya.
"Jangan nangis lagi. Anak kita comel sangat. Dia ikut muka sayang. Baby girl!" Beritahu Haidar, suara dibuat-buat ceria.
Terus Si isteri turut menarik senyum.
"Abang beri nama apa?" Soal si isteri teruja. Perasaan sedih cuba dibuang jauh.
"Nurul Amirah binti Mohammad Haidar"
Air mata keduanya jatuh setitik. "Cantik!" Bisik si isteri pilu. Pilu memikirkan, mereka bercerita tentang si anak yang mereka tunggu selama hampir 5 tahun, namun kini si anak telah pergi tanpa mereka dapat mendengar suara tangisan si kecil itu.
**********
"Abang pergi dulu sayang. Jaga diri. I love you." Bisik Haidar, lalu kucupan dilabuhkan didahi wanita itu.
"Okay, abang. Hati-hati drive. I love you too." Balas si isteri. Apabila si suami melepaskan pelukan dan menjarakkan bibir dari dahinya. Wanita itu turut ingin membalas perbuatan si suami. Kucupan lembut dilabuhkan ke bibir si suami sekilas.
"Alaaa... abang dah nak pergi baru nak goda-goda. Semalam abang nak manja-manja. Sayang tak bagi." Rengek Haidar membuatkan ketawa kecil terlepas di bibir si isteri.
Dada si suami ditepuk sedikit. "I'm gonna miss you abang. Rasa berat saja hati nak lepaskan abang pergi outstation kali ni." Ujar si isteri perlahan.
Haidar paut kedua belah pipi si isteri. Muka muram si isteri direnung seketika.
"Janganlah sedih-sedih. Doakan yang baik-baik saja. Macam tak biasa laa sayang ni"
Si isteri cuba tersenyum. Cuba mententeramkan hati sendiri.
"Abang akan call selalu kalau tak busy. 2 minggu jer sayang abang pergi. Nanti abang balik cepat ya." Pujuk Haidar lembut seperti memujuk anak kecil.
Si isteri angguk kepala. Menghantar si suami yang akan outstation selama 2 minggu ke Perlis. Perasaan tidak enak sedaya upaya dia usir. Pesanan si suami agar sentiasa mendoakan yang baik-baik diterapkan sebaiknya.
************
Saat terdengar bunyi enjin kereta si suami menjalar masuk kedalam rumah, Laila pantas meletakkan majalah yang sedang dia baca itu ke tepi. Lalu dia meluru kearah pintu rumah untuk menyambut kepulangan suami yang hampir dua minggu tidak bersua muka. Malah, panggilan telefon dan pesanan ringkas turut tidak sempat dibalas oleh si suami dek kerana kesibukan bekerja.
 "Abang!" Jerit Laila, teruja dan rindu pada Haidar yang dua minggu tidak berjumpa. Rindu!
Senyuman hambar diberi kepada si isteri. Si isteri disapa seadaanya.
"Laila"
"Laila?" Soal Laila dengan dahi berkerut.
Haidar turut kerut kening memandang si isteri. Tak faham kenapa si isteri bertanya seperti itu.
"Abang jarang panggil nama sayang. Selalu panggil Sayang. Ooo mentang-mentang dah lama tak jumpa. Panggil nama jer. Dah tak panggil sayang?!" Rajuk Laila lalu terus berpaling meninggalkan Haidar yang termangu-mangu dihadapan pintu.
Muka diraup kesal bila tersedar akan panggilannya. Masalah yang membelenggu dirinya membuatkan dia tidak sedar menyebut nama wanita itu. Terus dia menapak menghampiri si isteri yang sudah memuncung di sofa.
"Sayang..." Panggil dia dengan sedikit meleret.
"Siapa sayang? ni Laila lah!"
Haidar tergelak kecil. Hidung mancung milik Laila ditarik geram! ada saja benda yang si isteri dia jadikan bahan sekiranya mereka bergaduh.
"Sakitlah!" Rengek Laila. Tangan mengosok hidung yang ditarik Haidar. Muka Haidar yang sedang tersengih itu dijeling geram. Siap dijelirkan lidah mengejek pada si suami.
Haidar tergelak melihat perangai keanak-anakan si isteri. Terus tubuh langsing itu ditarik dalam pelukan dan dicium pipi itu bertalu-talu. Rindu!
"Abang! lepas!" Laila meronta-ronta melepaskan diri. Terasa geli dengan jambang dan tunggul-tunggul tajam yang terbiar di sekitar dagu lelaki itu
"Why?"
"Geli!" Jawab Laila. Tangan ditunjuk kearah dagu Haidar itu.
Haidar sengih jahat, terus dia terkam Laila dan digesel muka Laila dengan dagunya.
"Hahaha…adoi… tajam! haha… geli!" Terjerit-jerit Laila dengan badan meliuk lentuk cuba menjauhi dagu Haidar.
"No! ambil ni. Rasakan!"
"Abang!"
Haidar tak peduli dengan penolakan Laila, tubuh si isteri makin dirangkul kuat lalu ciuman bertalu-talu dilabuhkan pada pipi Laila.
“Rindu dia! Rindu!” Luah Haidar seperti orang menahan geram.
Laila tersengih suka. Dia pasrah saja menadah pipi untuk di gomol oleh Haidar.
********
"Abang kena pergi outstation besok sampai Ahad" Beritahu Haidar ketika Laila sedang bersiap sedia untuk tidur. Laila terus tak jadi nak baring bila dengar kata-kata Haidar.
"Abang baru pergi minggu lepas. Minggu ni pergi lagi?"
"Iya, sayang. Nak buat macam mana kalau dah company hantar abang."
"Abang, takkan setiap minggu? setiap hujung minggu kita dah tak ada masa untuk bersama. Hari biasa saja. Itupun waktu malam." Luah Laila perlahan.
Haidar garu kepala sedikit. Terus dia usap lengan Laila. Berharap si isteri faham. "Abang janji lepas ni dah makin kurang dah abang pergi outstation."
Laila hanya mampu mengangguk. Nak buat macam mana lagi, si suami kerja makan gaji. Jadi dia yang hanya suri rumah ini perlu faham akan kerja si suami. Haidar mencari rezeki untuk mereka.
Tapi, dek kerana terlalu kerap sangat membaca post-post di Facebook page Kisah Rumah Tangga, Laila mula khuwatir. Dari apa yang dia baca, kalau suami kerap sangat outstation, entah-entah si suami pasang lagi satu!
Ucapan kawan baiknya, Dania turut berlegar di fikiran dia. “Kau tu jangan percaya sangat suami kau, dia tu ada rupa, ada kerjaya, ada duit, cukup pakej. Aku bukan nak menghasut kau. Aku cuma nak kau berhati-hati, zaman sekarang ni, perempuan semakin agresif! Laki orang la yang dia suka.”
‘Ya Allah, jauhkanlah dari aku ya Allah. Semoga Haidar kekal setia.’ Doa Laila dalam hati.
Haidar yang sedang berbaring sambal melayari internet di telefon itu direnung Laila dalam-dalam. Dia takut! Dia takut satu hari nanti Haidar meninggalkan dirinya. Dia tak ada sesiapa selain Haidar.
Haidar tegakkan badan, pelik bila Laila berdiam diri dari tadi. Selalunya pasti wanita itu akan sentiasa bersuara.
"Sayang?" Haidar cuba pandang muka Laila yang sedikit menunduk itu. Laa... Laila menangis
"What's wrong, Laila?" Soalnya kerisauan. Pasti ada yang tidak kena yang berlaku.
“Kenapa ni sayang?” Haidar usap lembut kedua belah pipi Laila. Di seka air mata yang lencun di pipi putih mulus itu.
 “Abang sayang Laila kan? Abang takkan tinggalkan Laila kan?” Suara Laila sedikit sengau saat melontarkan soalan itu.
Haidar terpempan. Kelu lidahnya saat itu. Riak wajahnya berubah.
“Ke…kenapa Laila tanya macam tu?” Bahu Laila cuba diraih Haidar. Namun, dengan pantas Laila menepis tangan itu sebelum tangan itu sempat memaut bahunya.
“Jawab dulu” Gesa Laila.
“Semestinya abang sayang Laila. Laila isteri abang, cinta hati abang. Abang tak pernah terfikir nak tinggalkan Laila.”
Mata Laila mula berkaca-kaca kembali saat mendengar kata-kata Haidar, lantas Laila menyembamkan wajahnya di dada si suami. Dia terharu!
*************
Entah kenapa, hari ini Laila tiba-tiba gatal tangan untuk melihat telefon Haidar. Padahal selama ini, dia tidak kisah dan percaya pada Haidar. Tapi bisikan-bisikan entah dari mana sentiasa berbisik di telinga dia agar menaruh curiga pada si suami.
Apatah lagi, Haidar memang mencurigakan semenjak beberapa bulan ini. Hampir setiap minggu lelaki itu akan pergi outstation. Malah, kadang-kadang lelaki itu seperti menyorokkan sesuatu dari Laila. Dia kenal suami dia. Dia tahu bila Haidar jujur dan bila Haidar cuba menyembunyikan sesuatu daripada dia.
Melihat Haidar masih dibilik mandi. Laila capai telefon itu. Tiada kata laluan untuk masuk. Terpampang gambar dia dan Haidar sebagai wallpaper telefon lelaki itu. Laila tersenyum sedikit.
Mesej yang masuk ditelefon Haidar mengejutkan Laila yang sedang mengelamun. Terus dia buka mesej dari nombor yang tidak dikenali itu.
-Terima kasih.
Laila kerut kening membaca mesej itu. Lalu dia baca mesej terdahulu antara Haidar dan pengirim itu.
-Saya akan datang jumaat ni jumpa awak. (Haidar)
-Okay, saya tunggu. (0123456789)
 - Morning sickness lagi? (Haidar)
-Kurang sikit minggu ni. Terima kasih sebab belikan saya pelam tu. (0123456789)
- Sama-sama, jangan makan banyak sangat. Tak baik untuk baby (Haidar)
- Kenapa masukkan duit dalam akaun saya? (0123456789)
-Tanggungjawab saya. Ambillah guna beli keperluan awak dan baby (Haidar)
-Terima kasih (0123456789)
Tangan Laila terketar saat membaca mesej itu. Terus dia letak telefon Haidar ditempat tadi semula.
Dan kerana mesej itulah, dia mengekori langkah si suami pagi tadi. Haidar pergi ke pejabat seperti biasa, sehingga waktu tengah hari baru lelaki itu keluar. Mungkin lunch fikir Laila. Namun, ia meleset sama sekali bila kereta Haidar memasuki kawasan perumahan keluarga lelaki itu.
Dan Laila bersangka baik sekali lagi, mungkin Haidar ingin berjumpa ibunya dan makan tengah hari bersama. Sejak mengetahui Laila tidak boleh hamil lagi, ibu mertuanya memang melayannya acuh tak acuh sahaja. Kadang-kadang ibu mertuanya ada juga perli-perli Laila dan terang-terangan menyuruh Haidar berkahwin lain. Namun, sering kali Haidar menolak, mengatakan tidak mengapa mereka berdua sahaja, kerana ibunya sudah mempunyai ramai cucu daripada kakak dan abang Haidar.
Lebih setengah jam Laila menunggu didalam kereta. Dia hampir sahaja ingin pulang kerumah dan berhenti mengekori Haidar. Tetapi, melihat kelibat Haidar, ibu mertuanya dan seorang wanita mengandung sedang ceria bergelak ketawa di hadapan pintu rumah membuatkan Laila terkedu sendiri.
Dilihat Haidar berhati-hati memimpin wanita hamil itu. Laila ketap bibir kuat. Perasaan dia sudah tidak menentu. Detak jatungnya berdegup laju.
Dengan berhati-hati dia memandu mengikuti kereta Haidar. Perasaan dia seperti melemah dan terus dia rasa tak bermaya untuk melakukan apa-apa. Haidar berhenti disebuah klinik ibu dan anak.
Haidar tak akan sewenangnya menyentuh perempuan lain yang tidak halal dengannya. Dan tidak mungkin perempuan itu adalah saudara atau kakak Haidar kerana sememangnya Laila kenal seluruh ahli keluarga Haidar.
Siapa perempuan itu? Adakah tu isteri Haidar? anak itu anak mereka?
Dan kini baru Laila sedar. Si suami bukan pergi outstation untuk kerja. Tapi mungkin pergi kerumah wanita yang dia lihat tadi bersama si suami. Air matanya terus mengalir. Esakan sedaya upaya dia tahan. Berharap yang dia wanita kuat. Dia sudah berjanji untuk tidak menangis lagi selepas dia tahu dia sudah tidak mampu memberi zuriat untuk suaminya.
Dia hanya ada cinta untuk si suami. Dia tak ada apa-apa lagi yang boleh diberi selain cinta untuk suaminya. Andai zuriat yang Haidar mahu darinya... dia tidak mampu. Mungkin dengan mengahwini wanita lain dapat mencapai impian lelaki yang dia cintai itu
Laila mengekori kereta yang dinaiki Haidar dan wanita mengandung itu sehingga pulang semula kerumah mertuanya.
“Macam mana kandungan Atul? Okay?” Suara mak Haidar menyapa gegendang telinga Laila. Dia ketika itu menyorok disebalik dinding batu di luar pagar rumah mertuanya. Dan tika ini, Laila sedang sedaya upaya mengumpul segenap kekuatan. Walaupun hakikatnya, kalau boleh dilihat dari mata kasar, roh umpama telah keluar dari jasadnya. Lutut Laila seakan longlai saat itu. Umpama dia ditikam dan dipanah tanpa belas kesian.
“Alhamdulillah ibu, baby okay. Kan awak?” Lunak suara wanita itu menjawab. Ibu? Wanita itu memanggil mak Haidar dengan gelaran ‘ibu’.
Laila gigit hujung bibir. Lehernya dipanjangkan sedikit agar melepasi ketinggian tembok batu itu, dia mahu melihat riaksi wajah Haidar. Muka Haidar walaupun nampak biasa tapi dia tahu pasti lelaki itu bahagia akan memperoleh zuriat.
‘Adakah ini jalan yang abang pilih?’ Laila merintih sendirian. Air mata yang mengalir bisu diseka dengan jari. Laila tekad. Andai ini jalannya. Dia redha.
Laila bingkas bergerak memasuki halaman rumah itu, ibu mertuanya, Haidar dan wanita yang bernama Atul itu masih ceria berbual dihadapan pintu rumah. Dengan langkah perlahan Laila menghampiri mereka.
Kehadiran Laila disedari mereka bertiga. Tercetak jelas raut terkejut di wajah mertua dan suaminya.
"Laila?" Haidar bingung melihat si isteri yang tiba-tiba boleh muncul disitu. Pantas dia bergerak mendapatkan si isteri yang berdiri kaku disitu.
Laila pandang kedua anak mata suaminya. Matanya yang sedikit bengkak akibat terlampau lama menangis membuatkan penglihatannya kabur.
"She is pregnant. You child?" Soal Laila perlahan.
Haidar terkedu mendengar suara si isteri yang penuh dingin dan parau itu. Sedarlah dia bahawa rahsia yang dia pendam selama ini sudah diketahui oleh si isteri.
"I saw you." Bisik Laila.
"Sayang" Haidar mendekatkan jarak dengan si isteri. Dia cuba untuk menerangkan perkara sebenar. Namun, Laila sudah memotongnya.
"Stop!" Pinta Laila dengan suara yang ditekankan. Tangan naik menghalang dari si suami berkata-kata.
Laila pandang wanita bernama Atul yang berdiri bersebelahan dengan ibu mertuanya, wanita itu anggun dengan gayanya tersendiri. Nampak baik dan sopan. Nampak ayu. Jauh berbeza dengan Laila.
“Anak Haidar?” Laila bertanya kepada ibu mertuanya dan Atul. Ketika dia bertanya tentang anak, dia tergelak sinis. Ada perempuan lain yang boleh mengandungkan anak suaminya. Dia? mandul!
Melihat anggukan dari kedua wanita itu sebagai jawapan kepada soalannya, bibir Laila bergetar hebat, cepat-cepat Laila mengemam bibirnya kuat-kuat agar mampu mengawal emosinya yang seakan mahu meraung di situ.
Sakit! Rupanya sangat sakit saat mendapat tahu kebenaran dari andaiannya.
Mata Haidar merah menyala. Terluka melihat wanita tercintanya berkeadaan begitu. Berpura-pura tabah, padahal Haidar tahu sangat seperti apa Laila. Laila sebatang kara. Laila hanya ada dia. Dan dia telah melukai hati wanita itu. Hanya kata maaf sahaja yang mampu dia ucapkan. Untuk kembali pada masa lalu, dia tidak mampu.
"Sayang, abang minta maaf sayang. Semua ni salah abang. Tapi..."
"Shh... no need to explain. Teruskan berdiam diri. Anggaplah saya tak tahu apa-apa. Saya bukan sesiapa kan untuk tahu benda ni?" Pintas Laila dengan suara bergetar.
Haidar geleng kepala. "Tak sayang...bukan macam..."
"Haidar! please..." pinta Laila seakan merayu tanpa memandang sedikit pun wajah Haidar. Dia tidak boleh! Dia tidak kuat untuk melihat raut itu lagi.
Laila renung wajah ibu mertuanya, riak wajah itu selamba saja tanpa menunjukkan rasa kesian pada dirinya. Tidak adakah sedikit pun rasa simpati ibu mertuanya pada dirinya? Dia tak minta untuk ditakdirkan begini. Dia tak minta untuk kemalangan sehinggakan dia kehilangan anak yang dikandungnya, sehinggakan rahim dia perlu dibuang!
“Mesti ibu gembirakan akan dapat cucu dari Haidar.” Laila bersuara sinis. Walaupun dia sedar itu adalah ibu mertuanya, entah kenapa, dia tidak mampu untuk mengawal perasaan marah dan rasa dikhianati. Orang-orang yang dia percaya sanggup mengkhianati dirinya. Pada siapa lagi untuk dia letak kepercayaannya?
Hajah Jamilah tersenyum sinis. “Eh, tentulah aku gembira. Dah lama aku tunggu zuriat dari Haidar, nak harapkan kau memang sampai Haidar mati tak ada zuriat untuk diri dia.”
“Ibu!” Serentak Haidar dan Atul bersuara. Terkejut mendengar kata-kata berupa hinaan dari ibu sendiri.
Melihat wanita kesayangannya menangis, membuatkan Haidar rasa dia lah lelaki paling kejam. Dia mungkir janji untuk tidak membuat wanita itu mengalirkan airmata duka lagi.
"Laila… maafkan abang, sayang." Pintanya dengan suara sebak. Laila kaku disitu. Tidak sedikit pun wanita itu kalih pandang wajah si suami.
Laila terus terus beredar dari rumah itu. Dia tak sanggup lagi untuk berhadapan dengan semua ini. Tolong beri dia dia masa dan ruang. Dia perlu semua itu. Dan dia akan cuba sedaya upaya untuk redha dengan semua ini.
Haidar raup muka kasar. Berharap isterinya akan lebih tenang saat mereka bertemu di rumah mereka nanti.
********
"Sayang?"
Laila yang sudah bersiap rapi dan menjinjit beg itu membuatkan Haidar tidak senang duduk.
"Saya nak mintak izin keluar rumah." Ujar Laila tanpa memandang muka Haidar yang berdiri berhampiran dengannya.
"No! sayang tak boleh keluar rumah! abang tak benarkan." Beg ditangan Laila dirampas Haidar kasar. Dia takkan benarkan Laila jauh dari dia. Dia tak nak Laila pergi tinggalkan dia.
Laila kepal tangan kuat. Dia tidak hiraukan Haidar, terus dia berlalu melepasi lelaki itu untuk menuju ke pintu rumah.
Haidar paut lengan Laila. Digenggam erat lengan itu. Lalu tubuh itu dipeluk dari belakang.
Air mata Haidar bergenang. "Maafkan abang sayang. Tapi tolong jangan tinggalkan abang." Rayu Haidar.
Laila terdiam. Hujung bibir digigit-gigit menahan sebak. Terasa baju dia dibahagian bahu sudah basah dengan airmata Haidar. Laila meronta melepaskan diri dari pelukan Haidar. Tak tahukah Haidar, hati dia sudah berkecai! terluka!
Haidar peluk Laila kuat. Tak akan lepas. Dia tahu dia salah, tapi untuk melepaskan Laila, tidak! dia tahu Laila terluka, tapi dia pentingkan diri untuk melepaskan Laila pergi.
"Lepas! tolong lah… tolong." Rayu Laila dengan suara teresak. Makin lama rontaan dia makin lemah. Dia penat. Penat dengan perasaan ini.
"Tolonglah dengar penjelasan abang, sayang."
Laila diam. Haidar masih erat memeluk dia dari belakang. "Untuk apa semua penjelasan itu? dah terlambat, Haidar. Semua dah jelas. Jelas yang awak dah menduakan saya."
"Sayanggg..."
Laila sudah tidak kuat berdiri. Perlahan-lahan dia melurut jatuh ke lantai. Haidar paut dia lalu cempung Laila dan dibawa ke sofa.
"Penjelasan awak lagi menyakitkan saya. Semua ini menyakitkan saya! kenapa Allah uji saya seberat ini?" Rintih Laila dalam pelukan Haidar.
"Tak sayang... jangan cakap macam tu." Haidar pegang kedua belah pipi Laila. Wajah wanita itu dibawa agar bertentangan dengan dia. Pipi yang lencun dengan air mata itu disapu dengan jari.
"Awak tak akan faham perasaan saya. Saya hanya ada awak dalam dunia ni. Pelbagai impian saya anyam dengan awak. Tapi... semua tu musnah. Musnah bila rupa-rupanya ada orang lain yang turut menganyam impian dengan awak. Malah, dia mampu memenuhi impian awak."
"Sayang... abang hanya cintakan Laila seorang. Dia tak pernah wujud dalam diri abang. Fikiran abang hanya Laila."
Laila tolak Haidar kuat. "Penipu!" Jeritnya.
"Dia mengandung! itu ke makna cintakan aku seorang? huh!" Sudah bertukar panggilannya pada Haidar. Benci bila Haidar mengata cintakan dia seorang tapi masih boleh mengandungkan wanita lain.
"Hanya sekali Laila!" Suara Haidar meninggi sedikit. Dia mengeluh kecil sebelum menyambung kata dengan lebih lembut.
"Hanya sekali abang sentuh dia. Itupun bukan dengan sengaja. Abang terleka..."
Laila gelak kuat. Nampak sangat dibuat-buat.
"Sekali? dan dia mengandung. Baguslah tu, dia subur. Tak macam saya ni. Mandul! memang patut mak awak gembira dan mampu terima dia. Sebab dia mampu mengandungkan anak awak. Terima kasih banyak-banyak Encik Haidar. Penjelasan encik makin buat hati saya berkecai." Ujar Laila lalu terus mengambil beg pakaian nya dan berlalu dari situ.
"Sayang! Laila! abang sayang Laila seorang!" Jerit Haidar kuat bila Laila semakin jauh meninggalkan dia.
Haidar raup muka. "Abang sayang Laila sorang." Bisik dia perlahan. Perlahan-lahan surat yang sempat ditinggalkan Laila diatas meja dihadapannya itu dicapai Haidar, lalu lipatan surat itu dibuka dan dibaca.
Assalamualaikum, abang.
Saat abang membaca surat ini. Laila dah keluar dari rumah, Laila harap abang akan redha dengan setiap langkah kaki Laila.
Laila sayang abang. Sangat sayang. Tapi, Laila sedar abang ada keluarga lain yang perlu abang jaga. Adakah Laila tamak? Dah la mandul, tamak pulak Laila ni kan? Perasaan rendah diri, perasaan terluka saling berperang dalam diri Laila. Dan akhirnya Laila membuat keputusan untuk pergi kerana Laila lebih memilih untuk merasa tenang sendiri. Laila sudah penat mengalirkan air mata.
Janji dengan Laila, jaga anak abang baik-baik. Beruntung abang kerana punya zuriat sendiri. Laila tiada keturunan lagi. hahaha. Sadis betul. Janji dengan Laila jaga dia baik-baik. Banyak benda yang abang korbankan untuk peroleh dia, termasuklah berkorban dengan kehilangan Laila.
Buat terakhir kali, Laila nak cakap. I love you abang.
Jaga diri. Jangan malas yaaa! nanti isteri abang marah sebab abang tak tolong dia jaga baby. Orang kata baby selalu nangis malam-malam. Abang jangan tidur mati macam selalu tau!
Selamat tinggal abang.
Nurul Laila.
"Jangan tinggalkan abang, sayang." Lirihnya. Dia menangis keseorangan. Menyesal akan apa yang berlaku.
Andai kata waktu boleh diundur,
akan ku undur pada ketika
aku tahu bahawa perbuatan aku itu melukakanmu.
*******
"Laila, kau kenapa?" Soal Dania cemas bila Laila menangis teruk ketika sampai dirumahnya.
"Aku minta masa sekejap saja. Lepas ni aku tak nangis dah" Pinta Laila.
Dania diam memerhatikan Laila yang menangis teresak-esak dihadapannya tika ini. Pertama kali dia melihat Laila menangis seperti ini teruknya. Sebelum ni, ketika kedua ibubapa wanita itu meninggal akibat kemalangan pun, Laila kelihatan tabah.
Melihat seperti Laila sudah kembali tenang dan beransur reda dari tangisnya, Dania cuba mencungkil cerita.
“Kau kenapa? Cerita la pada aku. Akukan kawan baik kau.” Pujuknya dengan usapan lembut pada bahu kawan baiknya itu.
Laila terdiam sejenak, sebelum mula menceritakan dari awal, bermula dari curiganya pada Haidar, keanehan Haidar dan sesi intipannya siang tadi sehingga kepada penemuan rahsia bahawa Haidar sudah beristeri lain yang sedang sarat mengandung.
Dania tergamam mendengar cerita Laila, tidak menyangka kawannya menangung beban ini. Hidup bermadu? Pastinya bukan idaman setiap wanita di dunia ini.
“Aku redha…aku redha…aku redha dengan semua ini.” Bisik Laila lebih kepada mentera kepada diri sendiri agar betul-betul redha dengan ketentuan ini.
“Inikah yang kau namakan redha Laila? Ini bukan redha.”
Laila mengetap rahangnya kuat. Dia sedang cuba memupuk sabar dalam diri, dia akan anggap kata-kata Dania itu sekadar kata seseorang yang tidak pernah dicurangi suami. Jadi, Dania tidak merasai apa yang dia rasa.
Laila masih manusia biasa. Setiap kali membayangkan akan kekurangan dirinya dan kehidupan Haidar bersama Atul, Laila sedih sendirian. Dia tiada apa yang Atul ada.
           “Kau takkan faham perasaan wanita macam aku. Aku rasa seperti apa gunanya aku hidup? Kalau aku tak dapat beri seorang zuriat pada suami aku. Kenapa aku hidup? Kenapa?”
           Dania pantas memeluk erat tubuh Laila. “Laila, ingat Allah. Dia tahu kau kuat. Ingat ganjaran yang Dia akan beri pada hamba Dia yang berjaya dalam setiap ujian yang Dia beri.”
Laila beristighfar panjang, dia alpa dan sering menyalahkan takdir. Andai ini ketentuan Dia, siapa Laila untuk melawan? Dia hanya hamba.
“Aku nak pergi jauh.” Bisik Laila memasang tekad.
Dania tercengang tidak faham. Jangan kata… Laila memang betul-betul nekad nak meninggalkan suaminya? Nak pergi dari sini?
“Laila, kau tengah serabut sekarang, berfikir dengan waras. Jangan ikut emosi.” Dania cuba lagi memujuk Laila.
Hati Laila sudah kosong. Yang ada hanya terasa sakit. Untuk apa lagi Laila masih terus disini? Untuk menambah sakit dan dosa dia? Laila tak sanggup!
“Aku kena pergi, Nia. Aku nak cari ketenangan.”
“Status kau sebagai isteri macam mana?”
“Gantung tak bertali. Itu lebih baik. Biarlah aku mati sebagai isteri Haidar.” Laila meraup wajah. Matanya kembali bergenang setelah baru beberapa minit kering, keputusan ini tidak mudah. Meninggalkan satu-satunya lelaki yang dia sangat cintai seperti mengambil pisau yang tajam dan menoreh luka di kulit sendiri. Sakit!
Dania mengeluh panjang. Laila adalah kawan baik dia, masalah Laila, adalah masalah Dania. Dania berat hati nak biarkan Laila membawa diri. Tapi untuk menahan Laila… pasti akan membuatkan wanita itu lebih tertekan. 


Boleh dapatkan naskah ini seperti butiran didalam gambar.


 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template