Thursday, 3 September 2020

NOVEL| TEFAL

 


“Kalau durian adalah raja segala buah, Orkid pula adalah ratu bagi segala bunga. Bentuk bunga yang unik dengan warna yang pelbagai sangat menarik minat pencinta bunga.”

          Aku kulum senyum yang mahu memekar mendengar pujian itu. Pasu bunga yang agak berat itu spontan aku letak di tanah sebelum menebar pandangan memerhatikan orkid yang tersusun cantik di hadapan aku.

          Betullah tu. Berwarna warni. Ada warna ungu, kuning, putih, dan merah jambu. Ada yang kosong sahaja warnanya dan ada juga bercorak yang pelbagai. Menambah keistimewaan Bunga Orkid adalah baunya. Ada yang wangi dan ada juga yang jenis tak berbau.

          “Orked!”

Ya, nama aku Orked. Nurul Orked binti Osman. Oleh sebab itu sedikit sebanyak aku terasa kembang juga bila kawan-kawan mak mula memuji orkid yang merimbun di taman mini mak tadi. Terasa macam diorang tengah puji diri aku.

          “Orked!”

          “Ya,” Tersentak aku mendengar suara mak yang memetir. Lantas, raut wanita separuh abad itu aku tenung.

          “Kau menung apa? Angkat cepat pasu mak tu.”

          Aku tersengih segan. Segan dengan kawan-kawan mak yang turut memandang ke arah aku. Biasalah petang-petang macam ni, geng membawang kampung memang akan merayau melawat rumah aku. Sambil-sambil tengok bunga mak aku yang cantik-cantik ini sambil tu diorang mulalah buat sesi membawang.

          Aku la yang menjadi mangsa tolong mak angkat pasu segala sebab kawan dia pasti akan minta sepasu dua pokok bunga mak. Kalau mood mak baik, dia bagi sepasu. Kalau mood tak berapa baik dia suruh aku cabut anak pokok aje bagi dekat kawan dia.

          Aku ni bukan minat pun bunga-bunga ni semua. Nama aje Orked. Tapi haram aku nak suka bercucuk tanam berkebun segala. Buat basah ketiak aje. Baik duduk dalam rumah baca novel.

          Pasu aku angkat semula lalu diletakkan di atas para. Dendrobium mak dah mula berputik sebab itu mak minta aku alihkan ke tempat yang teduh sedikit dilitupi jaring hitam di atasnya.

          “Kiah, ni nanti keluar warna apa?” Cik Tipah membelek daun orkid dari pasu yang aku baru letak tadi.

          “Itu Dendrobium, Tipah. Jadi bunganya warna putih ungu. Cantik Tipah oii! Ambil la anaknya tanam dekat rumah kau. Baru berseri rumah!”

          “Alaa takkan anak aje kau bagi. Berderet kut kau tanam, bagi la sepasu.”

          “Amboi! Sepasu kau mintak Tipah. Kau ingat aku tanam guna air liur ke? Ludah-ludah terus jadi. Cubalah bersabar sikit tanam bunga tu. Tak ada, kau ambil aje anak dia. Didik sikit sifat sabar.”

          Terkulat-kulat mimik muka Mak cik Tipah bila ditempelak mak macam tu. Mak kalau bab bunga memang sensitif sikit. Orang cakap sikit aje, boleh berjela dia sambung ceramah tentang bunga.

          Kalau bercerita bab bunga memang semangat sungguh! Orang-orang kampung ni minat bunga sebab mak la. Rumah aku sikit lagi nak jadi nurseri. Cuma mak tak jual aje bunga yang dia tanam. Mak pemurah nak bagi anak pokok dekat jiran-jiran. Itu sebab la kalau masuk aje kawasan kampung aku ni, semua orang terpegun tengok kecantikan bunga di laman rumah kami.

          Semua pakat buat taman mini sendiri. Kadang-kadang tu aku tengok dah macam nak bersaing pula laman siapa paling lawa.

          Tapi of course la laman rumah mak aku. Ya la, tanah lot kampung ni luas kut. Lepas aje siap bina rumah di tanah itu, abah terus pasang rumput dekat laman. Menghijau dan kemas jadinya laman rumah kami berbeza dengan rumah orang lain yang rumputnya togel dan bertompok-tompok. Lepastu, sikit-sikit mak hias halaman rumah dengan bunga-bunga dari pelbagai jenis. Cuma orkid la paling banyak sekali dari yang lain.

Bagi aku nak jaga Bunga Orkid sebenarnya tidaklah susah mana. Letak baja, siram ikut kuantiti yang tepat dan letakkan di bawah pencahayaan yang betul. Lepastu waktu pilih anak pokok kena pandai pilih jenis. Nak tahu pokok tu rajin berbunga ke tidak kena tengok pada tangkai bunga yang kering. Kalau tangkai bunga rapat atau banyak, maknanya sebelum ni memang dia kerap berbunga. Kalau jarak-jarak tangkai bunganya maksudnya kurang la berbunga.

          Hish! Aku dah rasa macam boleh bukak kedai bunga ni. Walaupun aku tak minat, tapi kalau bab buat duit memang aku laju! Nanti aku nak usulkan dekat abah la. Mintak abah keluarkan dana jadi sleeping partner aku ke kan. Lepastu apa lagi. Jadi usahawan wanita berjaya la aku! Pergh! Tiba-tiba syok pulak berangan jadi macam tu.

"Ked! Ambilkan cermin mata abah sebelah TV."

Abah aku duduk sebelah TV tapi tetap aku yang di luar rumah ni jugak dia panggil.

“Dah Orked, naik tengok apa abah kau nak. Mak nak siram pokok dulu baru mak naik.”

          Aku angguk kepala lalu terus berlalu naik ke atas rumah mendapatkan cermin mata abah.

 

 

 

"ORKED! Kau tak sapu laman rumah ke? Banyak daun kering ni. Habis gugur atas pokok bunga mak."

          Pergerakan aku terhenti. Aku baru nak masak telur mata untuk makan bersama roti. Sebelum mak semakin kuat memekik, laju aku memunculkan diri depan dia.

          Hurmmm.... Aku dah sapu dah tadi. Tapi gugurnya daun dari pokok bukan kerja aku. Kerja Allah. Nak buat macam mana lepas aku sapu daun kering tu tiba-tiba gugur pula yang lain. Aduh!

Memandangkan abah adalah cikgu pencen, jadi sejak-sejak dia pencen ni pagi-pagi lagi dia sudah bawak mak meronda kampung. Sambil-sambil ronda kampung, diorang dating dekat warung Pak Abu. Sarapan dekat sana.

Dan aku? Kena tinggal! Aku kan orang penting. Kerja aku bersusun kalah CEO dalam novel yang aku selalu baca.

Lepas subuh aje, schedule aku dah padat dengan aktiviti kerja rumah. Menyapu laman dan atas rumah, menyiram pokok mak, basuh lantai depan rumah lagi. Itu belum lagi aku cerita yang aku kena masak tiga jenis hidangan. Mak banyak sangat benda tak makan. Abah pulak selera tak nak kalah. Jadi kena masak lauk yang pelbagai.

Tengah hari tu, mak dan abah pergi pekan mencari pasu dekat kedai Atan. Aku pula mengambil kesempatan membaca novel cinta kesukaan aku. Karya Cik Bawang. Boleh laa tahan. Tak ada la best mana pun. Tapi dah mula baca, aku kena habiskan.

Tengah-tengah aku tergelak macam nak mati layan kisah si Nick Batman dan geng gengster tu, tiba-tiba aku terdengar bunyi kambing mengembek beramai-ramai.

Terloncat aku dari terus berbaring. Berlari aku menyarung tudung lalu keluar ke laman rumah untuk menghalau kambing yang ralit makan orkid mak.

Aku tepuk dahi. Mampus aku! Togel dah bunga mak.

"Oi! Jangan makan bunga Mak Kiah tu oiii... Nanti dia membebel dekat aku!"

Berkejaran aku menghalau kambing-kambing yang selamba masih mengunyah dengan penuh aman pokok mak aku. Bibir si kambing terherot kiri kanan mengunyah daun segar.

Hish. Waktu macam ni memang aman hidup kau kambing. Kejap lagi balik mak aku, tak aman hidup tuan kau ni kena jerkah dengan Mak Kiah.

Puas aku menghalau, lama jugak baru kambing tu pergi. Aku naik ke atas rumah kembali menyambung bacaan yang tergendala tadi.

Baru dua mukasurat aku baca, abah dan mak sudah pulang dari pekan. Belum pun mak jejak kaki atas rumah, suara dia memekik dulu di luar rumah.

"Ya Allah habis dah orkid aku kena makan," jerit mak lantang. Terkejut benar la tu. Elok tadi sebelum keluar ke pekan dia menyapa Bunga Orkid yang tumbuh mekar. Tapi kini tinggal daun hijau sahaja.

"Orked!"

"Ya mak!" Aku bertenggek di jendela yang terbuka luas. Melihat mak di hadapan taman bunga dari atas rumah.

"Kau tak halau ke kambing si Edan tu." Marah mak dengan tangan di pinggang.

Aku garu kepala yang tak gatal. Salah kambing mamat tu tapi aku pulak yang kena tempias.

"Orang dah halau dah mak. Tapi kambing dia tu suka sangat makan orkid mak."

Muka mak bengis. Mungkin sakit hati membayangkan muka kambing yang memusnahkan kehidupan pokok orkid dia.

"Mana tak sukanya. Aku bagi baja mahal orkid aku ni. Rasa lemak-lemak aje kambing dia makan. Tu suka benar,” dengus mak menahan marah.

Aku pantas memandang abah yang duduk berehat di anak tangga depan rumah. Serentak itu dia turun memandang aku. Kami berdua seakan mahu ketawa mendengar ayat mak. Tapi masing-masing gigit bibir kerana tahu sekiranya tawa dihamburkan pasti mak melancarkan peperangan teluk!

Lemak? Adui la mak. Sayang benar dia pada orkidnya itu. Harap-harap mak sayangkan Orked lebih dari pokok mak tu ya. Bisik aku dalam hati.

"Kau cakap dengan dia tu Orked. Kalau dia lepaskan kambing dia sesuka hati lagi, aku korbankan sekor-sekor!"

"Kau jangan sampai mak yang pergi sound dia." Sambung mak lagi masih tidak berpuas hati dengan Tefal.

Eii! Mamat ni pun satu. Tak bertanggungjawab sungguh! Kambing dia yang banyak itu suka buat kecoh satu kampung. Masalahnya entah kenapa di rumah orang lain, kambing itu pandai pula makan rumput. Tetapi bila di rumah aku, hanya bunga mak saja yang kambing itu suka makan. Bunga Orkid pulak tu! Menyusahkan betul.

"Ye la mak," sahutku dengan nada menahan geram.

Siap kau periuk Tefal! Sebab kambing kau. Aku pulak yang kena marah.




Berminat boleh whatsapp

013-5383089

Sementara stok masih ada

 

0 comments:

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template