Thursday, 3 September 2020

BAB 2 | TEFAL

 Setelah tiga hari mak membebel tentang orkidnya yang togel, baru aku pergi mencari si Tefal.

Malas betul nak menapak ke sini kerana kebun lelaki itu sedikit tersorok. Manakala ladang tempat menternak kambing pula dua lot sahaja dari rumah aku. Tetapi disebabkan sekarang musim buah, memang mamat tu duduk di kebun aje. Ladang tu ada pekerja yang jaga.

Nasib baik aku rembat kereta kancil abah. Tak ada la aku termengah mengayuh basikal naik bukit untuk ke kebun Tefal. Aku ingat nak rembat Honda City abah, tapi awal-awal lagi abah dah sorokkan kunci. Marah la tu aku nak bawak kereta kesayangan masuk kebun.

Sebaik sahaja aku keluar dari kereta, aku dah nampak kelibat Tefal sedang mengait buah rambutan.

Sakan dia mengait seorang diri. Penuh di atas tanah buah yang tergolek-golek jatuh dari tangkai, terkeluar dari bakul yang penuh terisi buah yang telah dikait.

"Assalamualaikum, Periuk Tefal!"

"Mak!"

Tefal terloncat sampai jatuh pengait dia. Ketika dia meloncat itu tangan naik menutup kepala takut sesuatu jatuh dari atas pokok.

Aku gigit bibir yang mahu meletus tawa. Sergah sikit tapi reaksi macam kena sergah hantu!

Bila dia toleh ke belakang, dia terkaku dengan mata membulat pandang aku.

"Kau?" Dia genyeh mata berkali-kali. Serupa nampak hantu!

Ni buat aku takut ni. Kebun dia ni berpenunggu ke apa? Tertoleh kiri kanan jugak la aku. Seram!

Kebun dia bahagian depan ni penuh dengan deretan pokok rambutan. Rimbun betul buahnya.

Dibahagian belakang pula berderet buah durian dan beberapa buah kampung yang lain.

"Huish! Serius ke ni?" Soal dia tak percaya. Dia melangkah laju ke arah aku. Kemudian berhenti tepat di depan aku. Terlalu dekat sampai aku terundur ke belakang beberapa langkah.

Jangan dekat-dekat sangat! Bahaya wooo.

"Kau dah kenapa?"

"Orked ke ni?"

Laaa tak ingat aku ke mamat ni?

"Ya la."

Dia betul-betulkan topi kebun yang lusuh di atas kepala. Peluh yang merenik di dahi dikesat dengan lengan baju kemeja kotak-kotak yang lusuh juga.

          Ya rabbi, bau peluh dia tu menyengat menusuk ke hidung. Berkerut muka aku menahan rasa sesak nafas. Oksigen please! Tapi tak sampai pulak hati aku nak buat muka depan dia. Sudahnya kembang kempis hidung aku menahan bau itu.

"Kau apahal mencemar duli datang sini?"

Eh mamat ni. Macam tak suka aje aku ada dekat sini. Kedekut! Tak adanya aku nak curi buah rambutan dia tu walaupun buah tu nampak menggoda tergolek-golek atas tanah. Nak aje aku kutip sebanyak-banyak tu bawak balik rumah.

"Ni mak aku pesan, kau tolong jaga kambing-kambing kau tu elok-elok. Suka sangat makan orkid mak aku."

"Kut ya pun nak bagi diorang makan rumput segar, bawa la ke kebun kau ni. Jangan lepas ke rumah orang. Habis togel bunga orkid mak aku." Tambah aku lagi.

Tefal tersengih sambil mengusap tengkuk.

"Ye, aku pun suka dekat orkid mak kau tu." balas dia malu-malu.

Alah! Benci pulak aku tengok gaya dia tu. Macam lelaki lembut! Padahal muka berjambang sebijik Orangutan.

"Baguslah tu. Kalau suka pergi la cakap dekat mak aku kau nak anak dia."

"Serius ke ni?" Tefal serupa orang dapat emas! Bersinar mata dia menunggu jawapan aku.

Aku garu kepala yang dilapisi tudung itu.

"Ye la apa tak bolehnya. Mak aku tu mulut aje membebel kuat. Tapi kalau orang nak, tak adanya dia tolak."

Mak aku baik kut. Tak adanya dia kedekut. Ramai saja orang tak dikenali datang ke rumah kerana mahu meminta anak pokok orkid mak setelah berkenan ketika lalu lalang depan rumah. Gembira aje aku tengok mak bagi.

"Bila aku boleh datang?"

"Bila-bila lah."

Tefal tersenyum lebar. Berseri muka dia yang berpeluh membuat kerja tadi.

"Okey set! Akhir bulan ni aku datang la dengan mak abah aku."

Aku garu dahi. Takkan sampai bawa mak abah kut.

"Laaa datang mintak anak pokok pun siap datang dengan mak abah ke? Dasar anak mak!"

Bukan aku tak tahu dia ni anak kesayangan keluarga. Almaklumlah anak bongsu katanya. Abang dan kakak dia pula duduk di Kuala Lumpur. Tinggallah mereka tiga beranak aje. Macam aku juga bezanya aku memang anak tunggal. Dan mak aku pun tak macam Mak Gayah yang lemah lembut bercakap. Mak aku asyik nak memetir aje.

"Hish! Orked."

"Aduh!" Aku gosok tepi kepala aku yang diluku Tefal. Amboi laju aje tangan dia usik aku! Walaupun berlapik kain tudung, aku tak rela!

“Kau apahal sentuh aku!”

          “Berlapik!” Bidas dia dengan muka menahan geram.

          “Berlapik pun agaklah! Ingat kepala aku ni apa?”

          “Dah lambat sangat nak faham ayat aku.”

"Kau ni! Marah la tu aku cakap kau anak mak." Aku jeling dia sedas. Menyampah tengok muka tak siap mamat ni. Buat sakit hati aje.

"Bukan. Aku marah sebab aku tak nak anak pokok orkid."

"Laaa pulak! Habis kau nak apa?" Berbelit betul la periuk Tefal ni. Tadi cakap suka orkid. Nak bagi anak, tak nak pulak.

"Aku nak Orked."

Haa tengok? Sekarang cakap suka pulak orkid. Mana satu ni!

"Ye la aku tahu kau nak orkid. Tapi kau ingat mak aku pemurah sangat ke nak bagi pokok dia sepasu kat kau? Kalau setakat anak dia aje, boleh la. Mak aku sayang sangat dekat pokok orkid dia." aku cuba merasionalkan si Tefal ni.

Tula orang suruh belajar tinggi, banyak ponteng sekolah. Ayat mudah pun mamat ni susah nak faham.

Tak faham aku macam mana Tefal boleh berjaya menjadi pekebun dan penternak. Entah-entah banyak rugi dari untung. Propa aje lebih bila satu kampung duk cerita yang Tefal baru sahaja beli lagi beberapa ekar tanah untuk meluaskan kebun dia.

Satu kampung duk canang betapa beruntungnya kampung ni ada Tefal sebagai pekebun moden. Susah nak jumpa anak muda macam dia minat bidang yang tak glamour macam ni. Ceit!

"Nurul Orked!" Tefal seru nama aku dari celah gigi. Terketap rapat gigi dia dengan rahang bergerak-gerak menahan marah.

"Iya!" Sahut aku bersahaja.

"Aku nak kahwin dengan Nurul Orked binti Osman. Faham?"

"Hah?" Betapa terkejutnya aku dengan kenyataan si Tefal, muka aku terus serupa tercekik buah rambutan!

Dia mengangguk yakin. Serius amat menandakan dia memang memaksudkan apa yang aku dengar tadi.

Eii! Gelilah aku! Mata aku mengecil pandang dia atas bawah.

Seluar kebun terkoyak di lutut yang penuh tanah tu dikerling sekilas. Lepastu beralih ke tubuh yang agak tegap tapi berbalut baju kemeja kotak-kotak lusuh yang compang-camping. Baju pagoda di dalam itupun sudah tidak berwarna putih. Sudah bertukar kusam!

Kemudian beralih pula ke muka berpeluh dengan jambang tebal serupa bangla tu. Bangla pun lagi handsome dari dia. Dah la kulit berminyak-minyak. Yeww!

Rambut lebat dan sedikit panjang mencecah kolar baju itu tertutup dengan topi lusuh yang terkoyak sedikit di tepinya.

Minta selisih la wei kahwin dengan mamat ni! Kalau dulu pun aku tolak mamat ni mentah-mentah dari senarai kekasih, sekarang apatah lagi.

Mimi sorang aje kut yang boleh terima si Tefal ni. Itupun mereka bercinta sampai lepas SPM sahaja. Sebaik sahaja Mimi dapat tawaran masuk ke universiti, terus hubungan mereka terputus.

Dan yang aku peliknya, Mimi sikit pun tak sedih atau kecewa. Bila aku tanya kenapa putus dengan Tefal, kawan baik aku tu cakap mereka hanya cinta monyet sahaja. Saja-saja ingin merasai perasaan mempunya kekasih.

Pergh! Aku memang tak boleh hadam betul dengan jawapan Mimi. Tefal pun waktu itu aku tengok langsung tak sedih. Lelaki itu terus fokus dengan ternakan kambing dia. Dan aku tak sangka, Tefal yang tak berpelajaran tinggi itu berjaya meluaskan perniagaan dia.

Aku yang dah lama ada ijazah ni pun tanam anggur sahaja di rumah. Kerja tak ada, hutang belajar pula yang menimbun.

“Orked. Aku dah lama suka…”

Aku tak nak dengar!

"Cepat sikit ambil ANAK POKOK orkid dekat rumah. Pergi tanam sendiri dekat rumah kau tu. Biar kambing kau berhenti togelkan bunga orkid mak aku."

Segera aku memotong ayat Tefal. Aku tahu ke arah mana percakapan dia tu. Dan tanpa menunggu balasan dia, aku terus mencicit lari masuk ke dalam kereta. Kepala tergeleng laju menidakkan perkataan yang aku dengar tadi.

Kahwin dengan dia? Dengan si Tefal tu?

Nehi!




Berminat boleh whatsapp

013-5383089

Sementara stok masih ada

0 comments:

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template