Thursday, 3 September 2020

BAB 3 | TEFAL

 



Pagi yang indah itu, aku seperti biasa menghabiskan masa dengan membaca novel. Teresak-esak aku menangisi nasib Hana dalam novel ni. Karya Cik Bawang lagi. Aku pun tak faham la, dulu aku kata tak best karya dia ni. Tapi melekat pulak aku baca dari sebuah novel ke sebuah novel.

Novel kali ni lain dari cerita dia yang biasa. Tak ada sengal. Aku ingat nak hilangkan stres tu sebab cari novel dia. Alih-alih makin stres! Sakit kepala aku menangis beria. Cerita sedih.

Aku terus tutup novel letak tepi. Menuju ke dapur untuk minum air membasahkan tekak yang kering.

"Assalamualaikum!"

Aku buat tak tahu pada orang yang memberi salam di luar rumah. Abah ada depan TV dekat ruang tamu. Sebab aku tahu, tu mesti posman nak hantar parcel novel baru aku beli. Karya Cik Bawang.

Eh! Aku ni tersampuk hantu Cik Bawang ke apa. Rupa-rupanya tanpa sedar aku terbeli lagi karya dia.

"Ked! Pergi tengok siapa," laung abah dari depan. Cis! Abah malas nak bangun pulak!

Mak pulak sedang mandi.

Malasnya... Dengan langkah yang berat aku ambil tudung di tepi tangga dapur lalu mendaki tangga menuju ke pintu rumah.

Sebaik sahaja pintu terkuak, terus terpampang muka si Tefal. Dia ni lagi! Baru semalam aku jumpa dia. Lepastu dia ajak kahwin. Sampai termimpi aku malam tadi. Mimpi ngeri!

"Haa, kenapa datang?" Sergahku sedikit kasar.

Tefal tersenyum lebar nampak aku atas rumah.

"Aku datang nak meminang anak mak kau. Cikgu Osman dan Cik Kiah ada?"

Huish! Pintu yang terkuak lebar itu pantas aku tarik agar sedikit tertutup. Kepala toleh ke belakang takut abah dan mak dengar ayat tak cukup akal si Tefal.

Tak agak betul mamat ni. Buatnya mak abah dengar bersorak mereka. Memang dah lama diorang suruh aku kahwin. Pantang sebut isu kahwin, mesti mereka kenenkan aku dengan pemuda entah mana-mana.

Lepas aku teliti yang abah tak dengar, dan mak masih belum selesai mandi, lintang pukang aku turun ke bawah. Berdiri betul-betul depan Tefal.

"Kau jangan buat pasal ek periuk Tefal! Aku tak nak kahwin dengan kau!" Terketap gigi aku marahkan dia. Dia boleh senyum aje.

"Eh? Aku ada cakap ke nak kahwin dengan kau?" Dia tergelak sakan. Dia ingat aku tak faham double meaning ayat tak sedap didengari tu. Meminang konon!

Mata dijegilkan. Kejap-kejap kepala tertoleh ke dalam takut mak abah keluar.

"Tadi tu apa? Anak mak abah aku tu aku sorang aje tau. Kau jangan macam-macam!"

"Aku cakap nak meminang anak pokok mak kau. Tapi kalau anak mak kau on, aku on aje."

"Tak hingin!" Aku menjeling dia maut.

Menyampah.

Semua tentang mamat ni buat aku geli. Tak boleh bayang la kalau dia ni jodoh aku. Aku kenal dia sejak sekolah tadika kut. Dia ni selalu kacau aku. Buli aku pun ya jugak.

Paling aku tak boleh lupa bila Tefal dan Mimi bercinta dulu. Siap bermama-papa. Tak ke geli aku pulak nanti ber mama-papa dengan si Tefal ni.

"Hah! Edan kau ke. Ingatkan siapa tadi. Orked kau pun tak jemput dia masukkan! Panas terik kat luar tu. Terbakar kulit karang." Mak melaung kuat dari atas rumah. Mengintai dari jendela yang terbuka luas.

Aku menjeling Tefal yang dah tersengih.

"Memang dah hangit pun kulit mamat ni." Gumam aku seraya melempar pandangan ke arah lain.

"Orked!" Tegur abah yang dah berdiri sebelah mak. Aik. Aku cakap perlahan pun abah dengar ke? Selalunya aku panggil abah untuk makan, abah buat tak tahu aje.

"Assalamualaikum Cikgu, Cik Kiah. Saya datang ni nak hantar durian." Tefal tersengih. Tangan kanannya menggosok tengkuk. Memang trademark dia la kut kalau bercakap usap tengkuk. Ingat macho la?

Serupa kambing dia aje aku tengok. Dengan rahang yang berbulu tebal. Lengan pun berbulu jugak. Tu entah-entah dada pun berbulu.

Auch! Otak aku pun tengah berbulu ke ni? Fikir sampai ke bulu dada orang dah kenapa? Mujur aku tak fikir lagi ke arah bulu-bulu yang lain.

"Ya Allah! Rezeki tuuu.. kau Orked layan tetamu macam tu. Berdosa tahu tak! Mana duriannya?"

Amboi semangat sungguh mak. Tahulah hantu durian. Dan hantu itulah yang menurun kepada aku. Meleleh dah air liur aku ni dengar nama durian.

Terus terpasung langkah aku yang baru nak melangkah naik ke rumah.

Semangat Tefal bergerak ke belakang kereta Hilux dia. Kanvas yang menutup durian lantas dibuka.

Fulamak! Bersinar mata mak, abah dan aku. Ternganga mulut kami bertiga tatkala melihat bonet belakang Hilux itu penuh dengan durian. Pergh! Raya wei malam ni! Raya makan durian!

"Banyak ni Dan oi."

Aku dan mak pantas saling berpandangan bila abah cakap macam tu. Lepastu bibir masing-masing tercebik. Malu-malu pulak abah ni nak terima. Padahal kami tahu dalam hati abah bersorak. Dia pun hantu durian!

"Tak apa. Ada yang baru jatuh malam tadi. Fresh ni sedap makan. Yang lain-lain boleh Cik Kiah buat tempoyak."

"Betul tu Dan. Sedap ni. Jom ke pangkin kita makan dekat sana. Sejuk sikit."

Mak dan abah ambil dua biji durian di tangan masing-masing lalu dibawa ke pangkin. Tinggalkan aku dan Tefal di situ.

Tefal pandang aku. Lepastu kening dia menari nakal.

"Nak pikat anak, pikat mak bapak dia dulu." Dia berbisik nakal ketika melintasi aku.

Cis! Ada udang disebalik batu rupanya!

 

 

BURP!

Abah sedawa kekenyangan. Selepas itu cikgu pencen itu mengusap perut yang sedikit boroi. Mahu tak boroi, 5 biji durian dia bedal. Duk cakap sedap...sedap…tak sedar dah makan banyak macam tu. Bahaya betul. Naik darah tinggi karang baru tahu.

Aku masih bersila sambil makan seulas lagi durian. Durian apa la si Tefal ni bagi. Sedap betul. Isi lembut, tebal, manis-manis pahit. Kena la selera aku.

"Berapa semua ni Dan?" abah tepuk peha Tefal.

Dia yang ralit tengok aku makan terus tersentak. Lalu dia toleh pandang abah yang dah mencerunkan pandangan serupa cikgu disiplin.

          Padan muka! Marah dia bah! Dia tenung orang macam nak telan!

Tefal aku tengok telan air liur. Dia memang takut dengan abah waktu dekat sekolah dulu. Ya la, budak nakal. Selalu la kena panggil mengadap abah dekat bilik disiplin.

"Saya bagi aje ni cikgu."

"Banyak ni. Rugilah kau."

"Tak apa. Ada rezeki lebih. Jadi saya bagi la cikgu sekeluarga."

"Betul ke ni? Kalau aku beli ni. Maunya sampai 300 ni."

"Eh lebih ni bang. Tengok dekat depan rumah tu selonggok lagi ada." mak menyampuk. Bibir termuncung pada selonggok durian yang Tefal dah punggah letak depan tangga rumah.

Tefal sengih.

"Betul cikgu. Saya ikhlas nak bagi. Tengok semua makan bersungguh, gembira saya. Terutama Orked. Tak toleh kiri kanan.. ni kalau mak saya lalu pun dia tak perasaan."

Aku rasa nak tercekik biji durian! Hampeh mamat ni. Kalau aku tertelan biji durian memang kojol aku dekat sini. Cepat-cepat aku teguk air kosong.

"Eh, mak kau lalu ke? Mana?"

“Uhuk!” Kali ni memang betul-betul aku tercekik. Menyeringai muka aku menahan rasa perit di dada dek kerana tersedak air.

Mak pun! Tak faham double meaning mamat ni. Bikin aku bertambah malu!

“Kau ni Orked, tak senonoh! Gelojoh. Perlahan-lahan la minum.” Marah mak.

Aku buat tak tahu dengan kemarahan mak. Dada aku masih perit ni. Tefal yang tersengih-sengih bersalah itu aku jeling sekilas. Baru dia sedar impak ayat tak semenggah dia tu.

“Kenapa tak panggil mak kau tadi. Boleh kita makan durian sama-sama.” Mak masih lagi salah faham.

"Tak la Cik Kiah. Perumpaan. Kan orang selalu kata. Khusyuk sangat makan durian sampai mak mertua lalu pun tak sedar." terang dia lepastu tergelak sendiri.

Aku ni puas la kecik besarkan mata aku beri amaran pada dia. Tapi sikit pun dia tak pandang aku. Takut la tu

Mak dan abah pulak dah melopong.

"Ehem! Berkenan ke dengan anak aku?" Serius abah tanya.

Aku semakin gelabah. Apatah lagi tengok Tefal macam nak kata ya.

"Berke..."

"Tak abah! Dia ni loyar buruk! Sebenarnya dia ada hajat." potong aku laju. Fuhh! Nasib baik sempat.

"Hajat? Hajat apa tu?" soal mak.

"Errr... sebenarnya cikgu saya nak meminang..."

"Dia nak meminang bunga orkid mak! Dia dah lama berkenan dengan anak POKOK mak tu. Cuma dia segan nak cakap." saja aku tekankan perkataan Pokok. Lepastu bila aku sebut anak pokok, aku besarkan sekali mata aku bagi semua tahu betapa bersungguhnya Tefal nak anak pokok mak.

Aku tayang senyum sinis pada dia bila muka dia berubah bengang. Ingat senang nak masuk meminang aku? Memang aku akan halang habis-habisan!

"Laa ye ke. Untuk kau Dan, mak cik sanggup bagi sepasu. Kau nak yang mana? Cakap aje. Mak cik bagi."

Hah? Senyuman aku mati. Tefal yang tadinya beriak bengang pun berubah.

Lantas kami berdua ternganga. Terkejut sebab mak sanggup bagi sepasu pokok orkid dekat mamat tu. Padahal selama ni mana pernah mak nak bagi walaupun kawan baik dia yang mintak. Baru beberapa hari lepas mak membebelkan Cik Tipah yang mahu mintak sepasu orkid mak. Eh! Dengan Tefal bersungguh pulak mak nak bagi.  


 

0 comments:

 
TeEn LoVe StOrY Blogger Template by Ipietoon Blogger Template